Dicatat Oleh: Bicara
Marhaen | 20:35:04
| 15042012
BERAPA
ramai di antara kita masih mengingati tragedi ummah yang berlaku pada tahun
1992? Iaitu pada tarikh 6 Disember tahun itu, Masjid Babri di Ayodhya, India
tidak dapat dipertahankan dan diselamatkan apabila institusi suci umat Islam
itu dimusnahkan oleh puak pelampau Hindu.
Seramai
150,000 pejuang nasionalis Hindu yang tidak dapat dihalang memusnahkan masjid
itu dalam konflik berpanjangan perebutan antara Hindu dan Muslim di India. Salah
seorang pelampau Hindu atau lebih tepat, dalang untuk meruntuh dan memusnahkan
Masjid itu merupakan seorang pemuda yang bernama Shive Prasad berasal dari
Faisabad, iaitu daerah di mana terletaknya masjid itu.
Prasad
ialah ketua sebuah parti politik Bajrang Dal yang diberi kepercayaan dan
tanggungjawab ‘suci’ untuk mengetuai hampir 4,000 penduduk kampungnya, Kar
Sevak bagi
memastikan masjid itu akhirnya runtuh. Tindakan melampau untuk
meruntuhkan masjid purba itu telah dirancang dengan baik oleh Prasad. Beliau
memberi arahan dan latihan yang secukupnya kepada para pengikutnya seramai
4,000 orang itu bagi memastikan rancangan itu berjaya.
Perbuatan
ini merupakan satu tindakan yang melanggar undang-undang apatah lagi
menghormati perasaan penduduk Islam yang lain. Sedangkan masjid itu merupakan
salah sebuah masjid terbesar di negeri Uttar Preadesh, utara India dengan
bilangan umat Islamnya seramai 31 juta orang. Pada hari kejadian itu, Prasad
tidak sahaja menceroboh masuk malah berjaya memanjat kubah besar masjid dan
bersama pengikut-pengikut yang lain mereka berjaya menawan masjid itu. Kemudian
bersorak gembira apabila mereka akhirnya berjaya meruntuhkan kubah dan
keseluruhan masjid tersebut. Mereka melaung-laungkan perkataan “Ram! Ram!”
sebagai tanda kemenangan kononnya masjid itu akhirnya berjaya jatuh ke tangan
pelampau Hindu. Prasad puas hati kerana berjaya mengembalikan hak penganut
Hindu yang kononnya masjid Babri itu dibina atas tapak kuil, yang dibina bagi
memperingati tempat kelahiran tuhan mereka yang bernama Rama.
Namun
tujuh tahun selepas kejadian itu, pada tarikh yang sama kejadian runtuhan
Masjid Babri itu, Prasad akhirnya sujud memohon ampun kepada Allah atas
‘kejahatan’ beliau terhadap Masjid Babri itu. Malah beliau berpuasa dan
menyesali sehingga mengalir air mata memohon Allah mengampuninya yang tergamak
meruntuhkan rumah ibadat itu.
Kuasa Allah
Ya,
pada tarikh 6 Disember 1999 itu, dengan kuasa Allah, Prasad memeluk Islam dan
menukar namanya kepada Mohammed Mustafa. Berita pengislaman pemuda itu
disiarkan oleh Malayalam News keesokan harinya iaitu pada 7 Disember 1999 yang
kemudiannya dipetik oleh Arab News Publications di Arab Saudi. Berita itu amat
mengejutkan apabila melihat sendiri latar belakang Prasad, terutama bapanya,
Trigal Ramanathan merupakan Ketua Puak Sangh Parivar di mana seluruh puak itu
terbabit secara aktif dalam usaha meruntuhkan Masjid Babri.
Menurut
pemuda ini, sejak kejadian runtuhan masjid itu, Prasad dihantui perasaan
bersalah sehingga begitu menekan jiwanya. Walaupun pada tangannya masjid itu
akhirnya runtuh, namun ia tidak menjanjikan kedamaian berikutan beliau
merasakan telah melakukan satu dosa yang amat besar. Mungkin
dengan keluar dari India, Prasad mengharap beliau tidak lagi diburu oleh
perasaan bersalah itu. Lalu beliau mencari pekerjaan di Sharjah salah sebuah
negara anggota Emiriah Arab Bersatu (UAE).
Namun fikirannya masih tidak tenang walaupun beliau menyibukkan diri dengan pekerjaan dan suasana yang baru di negara itu. Sehinggalah pada 4 Disember tahun 1998, pada hari itu beliau berjalan seorang diri di sebatang jalan di bandar Sharjah. Secara tiba-tiba beliau terdengar suara khatib dari sebuah masjid berhampiran. Menariknya, khutbah itu disampaikan dalam bahasa Urdu dan beliau dapat mengikuti khutbah itu dengan jelas.
Prasad
berhenti untuk mendengar khutbah itu dan alangkah terkejutnya pemuda ini
apabila sang khatib menyebutkan bahawa Allah Yang Maha Berkuasa atas segala
sesuatu, mampu mengubahkan hati-hati yang tidak mempercayai kewujudan-Nya
selama ini. Sejurus mendengar khutbah itu sehingga akhir, semacam
satu perasaan yang tenang menyelinap masuk ke hatinya. Malah seolah-olah telah
tercabut satu beban besar yang selama ini menyebabkan fikirannya menjadi begitu
serabut. Segala puji-pujian terhadap
Allah yang akhirnya telah memberi hidayah dan membukakan hatinya walaupun
dirinya telah melakukan kesalahan yang lazimnya sukar untuk diterima apatah
lagi dapat dimaafkan.
Namun
berita Prasad memeluk Islam itu tidak sahaja menimbulkan kemarahan keluarga.
Malah akibat tidak dapat menanggung malu, Prasad akhirnya dibuang oleh
keluarganya sendiri. Beliau tidak dibenarkan pulang semula ke India, kalaupun
dia pulang juga maka nyawanya akan terancam.
Berita
pengislaman Prasad itu juga menyebabkan parti-parti politik dan pelbagai
pertubuhan Hindu yang menyokong tindakan beliau beliau meruntuhkan Masjid Babri
turut marah dan mengancam untuk membunuhnya tanpa mengira masa dan tempat.
Namun
apa pun ancamannya Prasad tetap teguhkan imannya terhadap Islam. Islam
menjadikan beliau seorang manusia ‘baru’ yang dahagakan kebenaran sehinggakan
dalam tempoh yang masih baru mengenal Islam beliau berjaya menghabiskan bacaan
dan mempelajari 17 surah dalam al-Quran. Malah beliau bersungguh-sungguh untuk
khatam kitab suci itu. Cita-citanya kini adalah untuk berkongsi kebenaran
mengenai Islam dengan orang lain termasuk ahli-ahli keluarganya sendiri.
No comments:
Post a Comment