PENDAHULUAN
Sesungguhnya
Syariah Islam adalah Syariah terakhir yang diutuskan oleh Allah SWT kepada umat
manusia. Perutusan tersebut adalah melalui RasulNya yang terakhir iaitu Nabi
Muhammad SAW. Syariah ini adalah perundangan yang kekal untuk semua masa dan
tempat.
Kebelakangan ini, seruan yang
mengajak ke arah mengenepikan Syariah makin mendapat sambutan. Ini kerana,
mereka menganggap bahawa Syariah Islam yang disyariatkan sejak seribu empat
ratus tahun yang lampau sudah tidak relevan lagi pada zaman sains dan teknologi
ini. Dakwaan ini diperkukuhkan lagi dengan kenyataan bahawa zaman sudah berubah
dan sentiasa berubah, dan Syariah pula statik dan tidak berubah, kerana itu
mengamalkan Syariah bererti kembali ke arah kemunduran dan ke belakang. Dan
seruan untuk kembali mengamalkan Syariah bererti seruan mengajak manusia ke
arah kemunduran. Syariah juga dikatakan sesuai untuk memajukan masyarakat Arab
jahiliyyah pada satu abad yang lampau dan bukannya umat moden sejagat. Adakah
dakwaan ini benar?
Sebagai muslim sudah tentu kita
menolak dakwaan ini. Kita menolak dakwaan ini bukanlah kerana taksubkan dengan
Syariah Islam yang kita anuti ini, tetapi kerana realiti fakta yang sebenar
adalah bercanggah dengan kenyataan dan dakwaan tersebut. Untuk menolak dakwaan
ini, kita mestilah dahulu memperkenalkan Syariah dan ciri-cirinya yang
membolehkan ia sentiasa relevan pada setiap masa, tempat dan keadaan.
Kita
sering mendengar masyarakat Islam mendakwa merekalah umat terbaik dan agama
Islam sentiasa relevan dengan setiap masa dan budaya. Namun, jarang pula kita
mendengar perbincangan tentang bagaimanakah proses yang menjadikan syariah
Islam itu sesuai untuk semua umat manusia yang pelbagai bangsa, budaya dan
tahap perkembangan teknologi. Dakwaan bersifat simplistik sebegini walaupun
tepat, jika tidak disusuli oleh langkah-langkah perbahasan yang realistik,
boleh memusnahkan kepercayaan masyarakat terhadap Islam. Kita sedia maklum
bahawa syariah Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW (wafat 632 Masihi)
tidak pernah berubah sejak termaktub di dalam al-Quran hingga hari
kiamat.
Dengan
sifat statik tersebut, bolehkah syariah Islam diamalkan oleh manusia yang
sentiasa berubah budayanya? Bahkan, bolehkah syariah Islam yang bersumberkan
al-Quran dan sunah Rasulullah yang satu itu, mengatasi permasalahan umat yang
pelbagai budaya, bangsa, bahasa dan adat resamnya?
Menurut
Ibnu Khaldun (meninggal 1405 Masihi) dalam buku Muqaddimah, manusia itu
dijadikan berbeza dari segi bahasanya, adatnya dan budayanya. Setiap kaum
mempunyai sifat-sifat tersendiri, adat setempat dan sudut pandangan semesta
yang tersendiri. Bertepatan dengan firman Allah s.w.t. di dalam al-Quran: ``Dan
sebahagian daripada tanda-tanda kebesaran-Nya ialah penciptaan langit dan bumi,
dan berbezanya bahasa-bahasa kamu dan warna kulit kamu, sesungguhnya yang
demikian itu mempunyai tanda-tanda bagi mereka yang mempunyai pengetahuan.''
(Ar-Rum: 12)
Perbezaan
ini cukup jelas hari ini dengan tersebarnya banyak bentuk ideologi dan aliran
pemikiran. Bahkan di dalam Islam sendiri, terdapat pelbagai jenis mazhab. Dalam
mazhab perundangan sahaja, kita boleh melihat bagaimana perbezaan antara Mazhab
Syafie, Hanafi, Hanbali dan Maliki. Wujudnya perbezaan ini bukan alasan untuk
kita berpecah belah tetapi itulah lambang kebesaran Allah yang menghendaki kita
bersatu melalui perbezaan tersebut.
Ini
kerana adalah mustahil Allah mencipta manusia yang berbeza budayanya tetapi
memberikan satu cara hidup yang hanya sesuai untuk satu-satu budaya sahaja.
Bagaimana Islam boleh sesuai dengan keadaan budaya yang pelbagai? Inilah rahsia
Islam, akarnya ia tetap statik dan kukuh pada tunjangnya, tapi rantingnya yang
lembut begitu fleksibel untuk menyelinap ke setiap ruang dan keadaan. Dengan
kata lain, perundangan Islam bersifat dengan tetap (thabit) pada prinsipnya dan
bersifat fleksibel (al-murunah) pada peringkat cabang pelaksanaannya.
DEFINISI
Pengertian Islam dari segi bahasa Islam bermakna taat,
menyerah, damai, aman dan tidak ada kecacatan baik dari segi zahir mahupun
batin. Dengan sebab inilah agama ini diberi nama Islam. Pengertian Islam
dijelaskan oleh Allah dalam firmanNya:
"Dan siapakah yang lebih baik
Deennya dari orang yang menyerahkan wajahnya (dirinya) kepada Allah, sedangkan
dia berbuat ihsan dan mengikut Deen Ibrahim dengan hanaya cenderung kepada
Allah." (Surah An-Nisa':125)
Berpandukan
kepada ayat ini, Islam diertikan sebagai penyerahan diri kepada Allah
dengan keikhlasan hati. Bahkan inilah intipati seluruh makna
Islam. Islam dengan makna induk ini tidak hanya dikhususkan kepada manusia
tetapi merangkumi segala kejadian di alam semesta seperti firman Allah:
"Apakah selain dari agama Allah
yang mereka masih tercari-cari sedangkan segala yang ada di langit dan di bumi
telah Islam (menyerh diri) kepadaNya dengan relah hati dan terpaksa. Dan
kepadanyalah mereka dikembalikan." (Surah Aali-Imran:83)
Firman Allah:
"Dan kepada Allah sujud segala
yang ada di langit dan bumi dengan rela hati dan terpaksa, dan juga
bayang-bayang mereka setiap hari pada tiap-tiap pagi dan petang." (Surah
Ar-Ra'd:15)
Dari
kedua-dua ayat ini maka dapat disimpulkan bahawa pengertian Islam tersimpul
pula dalampenyerahan diri kepada Allah. Penyerahan yang
setepat-tepatnya di antara hubungan manusia dengan penciptanya ialah sujud
kepada Allah dengan penuh kepatuhan ketundukan. Oleh itu jelas sekali di antara
ketiga-tiganya; Ad-Deen Islam dan sujud mempunyai kaitan dan jalinan makna yang
erat dan tabi'i.
Perundangan Islam dari segi bahasa
bererti jalan yang lurus. Manakala dari segi istilah
perundangan Islam bermaksud hukum-hukum yang telah ditetapkan oleh Allah S.W.T
kepada manusia yang merangkumi aspek politik, sosial, akidah (tauhid Allah
S.W.T), ibadah (solat, zakat, puasa, haji dan ekonomi), syariah, makanan dan
minuman, dan akhlak yang perlu diyakini
dan dipatuhi untuk kebahagiaan di dunia dan di akhirat.
Perundangan
dibahagikan kepada dua iaitu perundangan yang disyariatkan oleh Allah S.W.T
dalam Al-Quran dan Al-Sunnah serta perundangan yang dicipta oleh manusia.
Sungguhpun begitu, perundangan yang dicipta oleh manusia tidak menyentuh
hal-hal keagamaan dan menyentuh hal-hal keagamaan melalui ijtihad sahabat serta
ahli fikah yang berasaskan kepada Al-Quran dan Al-Sunnah.
CIRI-CIRI
SYARIAH DAN KEISTIMEWAANNYA
SYARIAH
ADALAH DATANG DARIPADA ALLAH
Sumber perundangan Syariah Islam
adalah daripada Allah SWT.
Ia merupakan wahyu Ilahi yang disampaikan kepada manusia melalui RasulNya Nabi
Muhammad s.a.w. Ciri inilah yang jelas membezakan antara Syariah dengan
mana-mana perundangan ciptaan manusia. Ini kerana undang-undang yang lain,
sekalipun yang paling terbaru, ia tetap ciptaan manusia, manakala Syariah pula
adalah datang daripada Pencipta manusia itu sendiri, Yang Maha Mengetahui
tentang situasi dan keperluan yang terbaik untuk manusia. Antara natijah
daripada perbezaan sumber dua perundangan ini ialah:-
1.
Asas Syariah dan hukum hakamnya itu
bebas daripada sebarang kezaliman, kekurangan dan menurut hawa nafsu (iaitu tidak berpandukan akal
yang rasional). Ini kerana Allah SWT bersifat dengan sifat yang sangat sempurna
dan Dia adalah Maha Mengetahui dan Maha Bijaksana. Manakala mana-mana
perundangan ciptaan manusia tidak akan terlepas daripada unsur-unsur tersebut,
kerana memang manusia tidak akan terlepas daripada kejahilan (sekalipun kajian
berterusan dan menyeluruh) dan juga kekurangan. Sebagai satu contoh, Syariah
Islam menganggap bahawa manusia hanyalah sama sahaja, dan perbezaan warna kulit
dan keturunan tidaklah mempunyai apa-apa keistimewaan. Kemulian yang sebenar
terletak pada ketaqwaan kepada Allah SWT, iaitu Pencipta mereka semua. Asas ini mampu
menyatukan masyarakat, kerana mereka akan berlumba mentaati Allah SWT, dan
bukannya mementingkan diri dan bangsa sendiri sahaja. Kerana asas inilah,
Syariah Islam mampu menyatukan qabilah-qabilah arab yang terkenal dengan sikap
membezakan etnik. Tetapi perundangan ciptaan manusia tidak mampu menyatukan
hati pelbagai kaum dan etnik yang berpecah, kerana ia tidak akan sunyi dari
sudut teori atau praktikal atau kedua-duanya sekali daripada unsur pilih kasih
dan warna.
2.
Wujudnya perasaan
hebat, hormat dan kagum terhadap Syariah di hati kaum muslimin, samada golongan
pemerintah atau rakyat jelata. Ini kerana mereka semua mengetahui bahawa
Syariah ini adalah daripada Allah SWT. Mereka semua perlu akur dengan perintah
Allah SWT yang berbunyi: "Dan tidaklah patut bagi seorang lelaki
yang beriman dan juga perempuan, bilamana Allah dan RasulNya tetapkan sesuatu
ketetapan, ada bagi mereka pilihan yang lain. Dan sesiapa sahaja yang
menderhakai Allah dan RasulNya, maka sesungguhnya dia telah sesat dengan
kesesatan yang nyata". Surah al-Ahzab, ayat 36. Mereka
semua akur dan faham bahawa melaksanakan syariah adalah ibadat yang wajib
mereka laksanakan untuk mendekatkan diri mereka dengan Allah SWT, sebagaimana
mereka juga yakin bahawa pelaksanaan Syariah Allah merupakan pelaksanaan
terhadap perundangan yang paling adil untuk mereka dan yang paling mampu untuk
menghalang sebarang kezaliman dan kebatilan. Di lubuk hati mereka juga ada
perasaan bahawa Allah SWT sentiasa memerhatikan mereka, samada mereka
melaksanakan Syariah ini atau tidak.
Sebagai contoh, bila turunnya ayat
pengharaman arak iaitu ayat 90, Surah al-Ma'idah yang bermaksud: "Wahai
orang-orang yang beriman, sesungguhnya arak, judi, (berkorban untuk) berhala,
bertenung nasib dengan anak panah adalah perkara keji yang termasuk dalam
perbuatan syaitan. Maka jauhilah perbuatan-perbuatan itu semoga kamu beruntung",
para muslimin berlumba-lumba membuang arak mereka, bahkan mereka memecahkan
bekas-bakas arak supaya tiada walau setitik arak yang berbaki. Sesungguhnya
perkataan "jauhilah" itu memberikan kesan yang begitu
hebat terhadap mereka.
Berbeza dengan perundangan
pengharaman arak yang dilaksanakan di Amerika sekitar tahun 1930, di mana
mereka telah menggunakan segala kemudahan yang ada untuk memberitahu tentang
keburukannya. Mereka telah menghabiskan 65 juta dolar Amerika, dan mencetak
sembilan ribu juta helaian kertas untuk menyatakan keburukan arak dan hukuman
yang akan dikenakan terhadap penjual, pembeli dan pembekal arak. Sehingga awal
1933, mereka telah membunuh 200 orang dan memenjarakan lebih kurang setengah
juta orang dan mendenda mereka dengan jutaan ringgit, namun undang-undang ini
tidak mampu menyekat rakyat mereka daripada terus meminum arak. Akhirnya
kegagalan ini membawa mereka kepada membuang undang-undang pengharaman arak
tersebut. Inilah perbezaannya antara Syariah Islam dan perundangan ciptaan
manusia.
BALASAN DAN HUKUMAN DALAM SYARIAH ADALAH DUNIAWI DAN
UKHRAWI
Syariah
Islam mempunyai persamaan dengan perundangan manusia dengan bahawa kedua-duanya
mengenakan tindakan terhadap para pesalah, bezanya adalah Syariah Islam lebih
menyeluruh kerana asas Syariah itu sendiri dan juga kerana wujudnya balasan di
akhirat. Bahkan asal bagi hukuman dalam Syariah adalah berbentuk ukhrawi, namun
Syariah Islam tidak melupakan realiti kehidupan bahawa untuk mengekalkan
kesejahteraan dan keamanan masyarakat dunia ini, perlunya wujud balasan
berbentuk duniawi. Kerana inilah wujudnya hukuman qisas, hudud, takzir, denda
kewangan dan gantian kebendaan dalam Syariah Islam.
Balasan
akhirat ini dikenakan ke atas setiap perlanggaran hukum Syariah, samada dalam
bab ibadat, muamalat, munakahat dan juga jinayat. Kesan daripada wujudnya
balasan ukhrawi ini menyebabkan seorang muslim yang sejati akan mematuhi
hukum-hakam Syariah secara rela hati samada semasa terlindung dan juga
terang-terangan, bahkan jika dia mampu untuk lari daripada hukuman keduniaan
sekalipun, dia tetap tidak melanggari hukum-hakam Syariah kerana takutkan azab
Allah SWT di akhirat. Dan jika mereka begitu lalai sehingga mereka melanggari
hukum-hakam tersebut, meraka akan kembali bertaubat dan menyesali perbuatan
tersebut. Kerana inilah ada seorang perempuan yang berzina sanggup pergi
berjumpa Rasulullah SAW supaya dijatuhkan hukuman rejam ke atasnya kerana
menyesali dengan perlanggarannya terhadap hukum Syariah. Dan perkara ini tidak
terdapat dalam perundangan ciptaan manusia. Para muslimin akan mentaati
perintah Syariah samada kerana hormatnya terhadap peraturannya atau juga kerana
bimbangkan azab yang akan menimpanya di akhirat. Inilah asas Syariah yang
ditanam dalam jiwa kaum muslimin, sebagaimana firman Allah SWT: "Pada
hari yang mana tiap-tiap diri mendapati segala kebajikannya dikemukakan, dan
(begitu jugalah) setiap kejahatan. Ia ingin kalaulah kiranya antaranya dan
antara hari itu masih terdapat masa yang jauh, dan Allah memperingatkan kamu
dengan diriNya (seksaNya)…". Surah Ali Imran, ayat 30.
Satu
perkara lagi yang membezakan antara kedua-dua perundangan ini, hasil daripada
wujudnya balasan ukhrawi ialah ganjaran kepada individu yang mentaati
perundangan. Dalam perundangan ciptaan manusia, inidividu yang mematuhi
peraturan tidaklah diberikan ganjaran, kecuali dalam keadaan-keadaan tertentu
sahaja, tetapi semua pesalah akan dikenakan tindakan. Manakala dalam Syariah
Islam, individu yang mematuhi hukum-hakam Syariah akan diberikan ganjaran yang
berlipat ganda di akhirat sebagai penghargaan di atas kesungguhannya mematuhi
hukum-hakam tersebut. Ini menambahkaan lagi kekuatan kepada mereka untuk
mematuhi Syariah. Firman Allah SWT: "Sesiapa yang menerjakan
kebaikan walau sebesar zarah sekalipun, nescaya mereka akan melihat
(balasan)nya. Dan sesiapa yang mengerjakan keburukan sebesar zarah sekalipun,
nescaya mereka (juga) akan melihat (balasan)nya". Surah
az-Zalzalah, ayat 7 dan 8.
SYARIAH BERSIFAT UNIVERSAL
Syariah
Islam diturunkan untuk semua manusia dan semua tempat dan masa. Ia adalah
Syariah yang kekal yang tidak boleh diganti atau dipinda dengan sebarang
peraturan yang lain. Sifat Syariah yang sebegini memestikan bahawa asas dan
hukum-hakamnya mampu memberikan kebaikan atau "maslahah" bagi
semua manusia di semua tempat dan masa. Ia juga memastikan bahawa Syariah mampu
memenuhi keperluan manusia dan tidak menyusahkan mereka dan menghalang mereka
daripada mencapai kemajuan. Dan kesemua perkara ini sebenarnya wujud dalam
prinsip-prinsip asas Syariah dan hukum-hakamnya. Ini kerana Allah SWT yang Maha
Meliputi PengetahuanNya, yang mensyariatkan Syariat ini untuk setiap masa dan
tempat telah mengatur prinsip-prinsip asas Syariah dan hukum-hakamnya supaya ia
sentiasa relevan dengan setiap masa dan tempat. Dan perkara ini boleh
dibuktikan dengan realiti Syariah, sumbernya, prinsip-prinsip asasnya dan juga
hukum-hakamnya.
Perkara-perkara
tersebut boleh diperjelas dan dibuktikan kebenarannya dengan hujah dan dalil
seperti berikut:
Dalil Pertama: Syariah Islam diasaskan di atas
prinsip menghasilkan "maslahah" (kebaikan) dan menolak
"mafsadah" (keburukan).
Sesungguhnya
Syariah Islam tidak disyariatkan melainkan untuk memberikan kebaikan kepada
manusia samada di dunia ataupun di akhirat. Kerana inilah para fuqaha sentiasa
menyebutkan bahawa "Sesungguhnya Syariah Islam kesemuanya adalah
"maslahah”, iaitu samada menghasilkan kebaikan atau menolak keburukan".
Hakikat ini adalah satu perkara yang sentiasa wujud dalam Syariah dan boleh
dijelaskan berdasarkan kepada nas-nas Syariah (al-Qur'an dan Hadis) dan juga
hukum-hakamnya. Dan ia adalah sangat banyak dan tidak terhitung kerana asas ini
terdapat pada keseluruhan Syariah. Tidak ada satu tuntutan dan suruhan dalam
Syariah Islam melainkan untuk kepentingan dan kebaikan manusia, dan tidak ada
satu larangan melainkan dengan tujuan mengelakkan mereka daripada bahaya dan
keburukan. Antara dalil yang menunjukkan demikian ialah:
1.
Dalam menyatakan
sebab penurunan al-Qur'an, Allah SWT berfirman: "Tidaklah Kami turunkan
al-Qur'an itu untuk menyusahkan kamu".
2.
Dalam menyatakan
sebab perutusan Nabi Muhammad SAW, Allah SWT berfirman: "Dan tidak
kami utuskanmu wahai Muhammad, melainkan untuk "rahmat" bagi seluruh
alam". Dan kalimah "rahmat" itu membawa
erti menjaga kebaikan manusia dan mengelakkan mereka daripada keburukan.
3.
Hukum-hakam
Syariah semuanya disyariatkan dengan berhikmah dan "ta'lil"
(bersebab) untuk menghasilkan "maslahah"dan menolak "mafsadah",
supaya manusia mengetahui bahawa Syariah itu sentiasa berusaha memberikan yang
terbaik kepada mereka. Ia boleh dibuktikan berdasarkan kepada "istiqra’"
(kaji selidik) yang menyeluruh kepada dalil-dalil Syarak (al-Qur’an dan
al-Hadis). Nas-nas berkenaan dengan perkara ini adalah sangat banyak. Berikut sebutkan
sebahagian daripadanya sebagai contoh. Antaranya ialah seperti berikut:-
3.1
Dalam bab
kewajiban beribadah, hikmahnya ialah untuk menghasilkan ketaqwaan kepada Allah
SWT (Surah al-Baqarah: 21).
3.2
Dalam bab
kewajiban bersolat, hikmahnya ialah untuk mengingati Allah SWT (Surah Toha:
14), menghapuskan dosa-dosa (Surah Hud: 114) dan juga mencegah perkara keji dan
mungkar (Surah al-Ankabut: 45).
3.3
Dalam bab
kewajiban berpuasa, hikmahnya ialah untuk menghasilkan ketaqwaan kepada Allah
SWT (Surah al-Baqarah: 183).
3.4
Dalam bab kewajiban
bertaqwa kepada Allah SWT, hikmahnya ialah untuk kejayaan manusia dunia dan
akhirat. (Surah
al-Baqarah: 189).
3.5
Dalam bab kewajiban melaksanakan qisas,
hikmahnya ialah kelangsungan kehidupan manusia. (Surah al-Baqarah: 179).
3.6
Larangan berjudi dan meminum arak,
ialah kerana ia boleh menimbulkan permusuhan sesama manusia dan melalaikan
daripada mengingati Allah SWT dan bersolat. (Surah al-Ma'idah: 91).
3.7
Larangan mencela berhala, hikmahnya
ialah kerana dibimbangi menjadi punca kepada pencelaan terhadap Allah SWT.
(Surah al-An’am: 108).
3.8
Kewajiban berperang sekalipun tidak
disukai, hikmahnya ialah untuk keharmonian di sebalik peperangan tersebut.
(Surah al-Baqarah: 216).
Kesemua perkara yang disebutkan di
atas dengan jelas menunjukkan bahawa hukum-hakam Syariah adalah untuk
kemaslahatan manusia dan menolak mafsadah ke atas mereka. Prinsip inilah yang
menjadikan Syariah Islam sentiasa relevan dan terbaik untuk setiap masa dan
tempat.
Dalil
kedua: Prinsip asas Syariah dan realiti hukum-hakamnya.
Hukum-hakam dalam Syariah terbahagi
kepada dua bahagian. Bahagian yang pertama ialah hukum-hakam yang bersifat
terperinci dan bahagian yang kedua ialah hukum hakam yang disyariatkan sebagai
prinsip asas dan kaedah umum. Kedua-dua jenis hukum ini disyariatkan supaya
sentiasa relevan dan terbaik untuk setiap masa dan tempat, sesuai dengan sifat
asas Syariah yang bersifat universal.
Bahagian Pertama: Hukum-Hakam Yang Terperinci.
Hukum-hakam
ini terdapat dalam bab aqidah, ibadat, akhlak dan sebahagian daripada hukum
perhubungan sesama manusia. Aqidah yang menjadi tunjang asas kepada Syariah
adalah satu perkara yang diperlukan oleh manusia pada semua masa. Kerana inilah
asasnya diperincikan kerana ia adalah satu perkara yang tidak akan berubah.
Keimanan kepada Allah SWT, RasulNya, hari akhirat dan sebagainnya tidaklah
boleh berubah kerana ia adalah hakikat kebenaran yang tidak menerima sebarang
perubahan.
Masalah-masalah
ibadat pula ialah satu perkara yang menyusun peraturan perhubungan Tuhan dengan
manusia. Kerana inilah caranya telah diperincikan oleh Syariah kerana ia adalah
satu perkara yang diperlukan oleh manusia pada sepanjang zaman dan tidak
diketahui caranya melainkan dengan keterangan daripada Syariah. Ini kerana
ibadat merupakan keperluan manusia kepada Penciptanya, selain ia juga
memberikan "maslahat" kepada individu dan masyarakat. Akhlak dan budi
pekerti pula merupakan satu perkara yang sentiasa diperlukan untuk kebaikan dan
kekuatan masyarakat dan kerana inilah ia juga antara perkara yang diperincikan.
Begitu juga sebahagian daripada perhubungan antara sesama manusia juga telah
diperincikan hukumnya. Contohnya seperti hukum-hakam kekeluargaan seperti nikah
kahwin, hak penjagaan anak, perceraian, harta pusaka dan sebagainya. Tujuan
perincian kepada perkara-perkara seperti ini adalah untuk menjaga kemaslahatan
setiap individu dan juga masyarakat. Bayangkanlah apa yang akan terjadi jika
tidak wujudnya hukum perkahwinan, perceraian dan sebagainya dalam masyarakat.
Pengharaman
riba dalam sistem perhubungan kewangan sesama manusia juga termasuk dalam hukum
yang terperinci demi menjaga "maslahah" individu dan juga masyarakat.
Begitu juga hukuman-hukuman yang telah ditentukan oleh Syariah kepada para
pesalah seperti orang yang murtad, pembunuh, penzina, pencuri, peminum dan
sebagainya telah diperincikan demi menjaga kerukunan masyarakat. Dan kesemua
hukum ini adalah diasaskan di atas kebaikan dan keadilan yang memang diperlukan
oleh masyarakat manusia supaya mereka tidak hidup dalam kezaliman hukum rimba.
Bahagian Kedua: Hukum-Hakam Yang Bersifat Sebagai Asas
Dan Prinsip
Jenis
hukum yang kedua ini adalah hukum-hakam yang diasaskan sebagai prinsip asas dan
kaedah umum yang fleksibel dengan keperluan kehidupan manusia. Antara contoh-contoh jenis hukum ini
ialah seperti:
Pertama: Prinsip
Syura. Islam sangat mementingkan prinsip permuafakatan bersama dalam kehidupan
manusia. Walau bagaimanapun Islam tidaklah menentukan cara-cara tertentu yang
terperinci dalam melaksanakan prinsip ini. Ini kerana ia
boleh berubah mengikut kesesuaian masa dan tempat, asalkan tidak lari dengan
Syariah.
Kedua: Prinsip Keadilan. Islam sangat mementingkan
keadilan bahkan telah menentukan sebahagian hukum yang terperinci ke arah
perkara tersebut. Namun asas pelaksanaan keadilan tidaklah ditentukan kerana ia
boleh berubah. Kerana ini, kalaulah keadilan akan lebih tertegak dengan
wujudnya enakmen yang bertulis, atau beberapa peringkat mahkamah, atau
memerlukan kepada lebih seorang hakim bagi sesuatu kes berat, atau memerlukan
kepada badan yang mengkaji keadilan hakim, atau sebagainya, maka kesemua
perkara ini adalah diharuskan dalam agama demi menegakkan keadilan. Kalaulah
dalam menentukan harga barangan oleh pemerintah itu merupakan cara ke arah
keadilan, maka ia juga diharuskan. Perlu diperingatkan bahawa menghukum pesalah
dengan hukuman yang ditetapkan oleh Syariah adalah termasuk dalam hukum
terperinci yang kita tidak diberi lagi pilihan untuk mengambil hukuman dan
peraturan yang lain.
Ketiga: Prinsip Tidak Harus Memulakan Penindasan Dan
Membalasnya. Dalam prinsip ini, tidak ada seorang pun harus untuk menganiayai
dirinya sendiri, apatah lagi individu lain. Atas prinsip ini, tidak harus bagi
seseorang yang dibakar rumahnya (sebagai contoh) untuk membakar rumah orang
yang lain, kerana ia menambahkan lagi kekusutan dalam masyarakat, bahkan orang
yang bertanggungjawab hendaklah membayar ganti rugi kepadanya selain dikenakan
tindakan oleh pemerintah. Atas prinsip inilah, adanya hak "Syuf'ah"
dalam Islam. Atas prinsip inilah, kerajaan perlu menentukan lesen-lesen untuk
dikeluarkan kepada para penternak ayam dan sebagainya, kerana ia boleh
menyakiti orang yang lain. Atas prinsip ini juga haramnya "ihtikar"
iaitu sorok barangan jualan untuk menaikkan harganya.
Berdasarlan
kenyataan ini semua, maka jelaslah bahawa dakwaan yang mengatakan Syariah Islam
itu statik dan jumud adalah dakwaan yang tidak berasas dan merupakan fitnah
kepada agama Allah SWT.
Dalil
Ketiga: Sumber Perundangan Syariah.
Qur'an dan Sunnah (Hadis) yang
merupakan sumber perundangan asli bagi Syariah telah datang dengan hukum-hakam
yang mampu menangani setiap apa jua keadaan, yang membolehkan ia bersesuaian
dengan setiap masa dan tempat, sebagaimana yang baru sahaja disebutkan tadi.
Manakala
ijmak dan segala jenis ijtihad seperti "Qias", "Istihsan",
"Maslahah Mursalah", "Sadduz Zaraie”,
adalah sumber perundangan yang fleksibel yang didasarkan kepada sumber asli
Syariah, iaitu Qur'an dan Hadis. Keseluruhan sumber untuk mengetahui dan
mengeluarkan hukum Syariah ini membolehkan hukum-hakam Syariah menjawab setiap
persoalan baru yang tidak disebutkan nas keterangan tentangnya secara nyata
dalam sumber asli. Hukum-hakam yang dikeluarkan melalui ijtihad juga adalah
hukum yang diiktibar oleh Syariah kerana ia didasarkan kepada sumber
perundangannya yang asli, iaitu Qur'an dan Hadis. Kerana semua inilah Syariah
akan sentiasa relevan bagi semua masa, tempat dan keadaan.
SYARIAH
YANG SYUMUL
Syariah Islam adalah Syariah atau
perundangan yang mencakupi setiap aspek kehidupan manusia. Ia adalah
perundangan yang menyatakan tentang hubungan manusia dengan dirinya,
Penciptanya dan juga sesama mereka. Keseluruhan perjalanan kehidupan
manusia tidak akan terkeluar dan terlepas daripada hukum-hakam Syariah.
Kesempurnaan hukum Syariah ini boleh kita bahagikan kepada
tiga bahagian:-
Pertama: Hukum-hakam Syariah yang berkaitan dengan
aqidah (kepercayaan) seperti prinsip "ketuhanan",
"kenabian" dan juga "sam'iyyat" (perkara-perkara ghaib).
Contohnya seperti keimanan kepada Allah, para Rasul, Kitab-kitab, hari akhirat dan
sebagainya. Perkara-perkara ini dipelajari dalam ilmu "Tauhid".
Kedua: Hukum-hakam Syariah yang berkaitan dengan
budi pekerti seperti, benar, amanah, menunaikan janji, menghormati orang lain
dan sebagainya. Perkara-perkara ini dipelajari dalam ilmu "Akhlak".
Ketiga: Hukum-hakam berkaitan dengan keseluruhan
perbuatan manusia. Ia dipelajari dan diperbahaskan dalam ilmu
"Feqah".
Perbuatan-perbuatan
manusia pula boleh dibahagikan kepada dua bahagian.
Bahagian Pertama:
Hukum-hakam
"ibadat" seperti sembahyang, puasa, haji dan sebagainya. Ia adalah
hukum-hakam yang menyusun perhubungan manusia dengan Penciptanya.
Bahagian Kedua:
Hukum-hakam
yang menyusun perhubungan manusia sesama mereka. Ia dipanggil sebagai
"adat" atau juga "muamalat".
Bahagian ini merangkumi perkara-perkara berikut:-
Pertama: Hukum-hakam yang berkaitan dengan
kekeluargaan, seperti nikah, cerai, nafkah, hak penjagaan anak, nasab dan
sebagainya. Ia dipanggil sebagai "hukum kekeluargaan".
Kedua: Hukum-hakam yang berkaitan dengan hubungan
kewangan seperti jual, beli, sewa, gadaian dan sebagainya. Ia dipanggil sebagai
"muamalat".
Ketiga: Hukum-hakam yang berkaitan dengan pendakwaan
dan hukuman. Ia adalah hukum yang berkaitan dengan kehakiman dan pengadilan.
Keempat: Hukum-hakam yang berkaitan dengan hubungan
dengan bukan muslim, samada sesama rakyat senegara atau bukan muslim dengan
kerajaan Islam.
Kelima: Hukum-hakam yang berkaitan dengan hubungan
Negara Islam dengan Negara-negara yang lain, samada ketika aman atau perang.
Keenam: Hukum-hakam yang berkaitan dengan sistem
pemerintahan Negara, pendidikan, hak-hak individu dalam Negara dan hubungannya
dengan Negara lain.
Ketujuh: Hukum-hakam yang berkaitan dengan hasil mahsul
Negara dan cara pengurusannya dan hubungan antara yang kaya dan miskin dalam
sesebuah Negara.
Kelapan: Hukum-hakam yang berkaitan dengan ikatan
kesalahan, denda dan hukuman terhadap individu berhubung dengan Negara.
Berdasarkan
kepada keterangan ini, jelaslah kepada kita bahawa Islam adalah satu peraturan
yang lengkap yang mampu menangani segala permasalahan kehidupan manusia.
Janganlah kita tertipu dengan dakwaan bahawa Syariah hanyalah hubungan antara
manusia dengan Tuhan Pencipta mereka sahaja, kerana ini adalah fitnah dan
tuduhan yang bertujuan memburukkan Syariah, dan mengenepikan
pelaksanaannya.
Kalaulah
kita ingin membandingkan kesempurnaan perundangan Syariah dengan perundangan
ciptaan manusia, kita akan dapati bahawa Syariah Islam adalah jauh lebih
sempurna dan fleksibel. Ini kerana persoalan akidah, akhlak dan ibadat tidak
terdapat dalam sistem perundangan ciptaan manusia. Kesemua eleman tadi adalah
satu perkara yang penting untuk yang boleh membentuk keharmonian manusia
sejagat. Dalam masalah "muamalat" yang merupakan asas kepada
perundangan ciptaan manusia, terdapat perbezaan yang jelas antaranya dan
"muamalat" berasaskan Syariah. Ini kerana aspek akhlak merupakan satu
eleman yang diwajibkan dalam "muamalat" Syariah. Kerana inilah, dalam
bab kewangan sebagai contoh, Islam tetap mengharamkan riba, perniagaan arak dan
judi kerana ia boleh menimbulkan keburukan kepada masyarakat, sekalipun
menghasilkan keuntungan kewangan.
Persoalan halal dan haram juga
merupakan asas "muamalat" Islam. Kerana inilah Syariah tetap
mengharamkan perkara yang pada zahirnya adalah sah, jika pada hakikatnya adalah
haram dan dilarang. Ini kerana hukum yang zahir tidaklah mengubah perkara yang
haram kepada halal, dan begitulah sebaliknya. Kerana inilah tidaklah harus
kepada seorang muslim melakukan satu perkara yang haram, sekalipun diharuskan
di segi perundangan kehakiman. Dalam bab menjatuhkan hukuman dalam pendakwaan,
Rasulullah SAW bersabda: "Sesungguhnya aku hanyalah seorang manusia.
Dan kamu menjadikanku kata pemutus dalam pertelingkahan sesama kamu. Boleh jadi
ada sebahagian kamu yang lebih pandai berhujah berbanding dengan yang lain,
lalu aku bagikan kepadanya (menang dalam kes tersebut) berdasarkan kepada apa
yang aku dengar (pada zahirnya, dan hakikat yang sebenar tidaklah diketahui).
Maka sesiapa yang aku putuskan kepadanya daripada hak (kepunyaan) saudaranya
(lawannya dalam pendakwaan), maka janganlah dia mengambilnya walau sedikitpun,
(kerana) sebenarnya aku telah putuskan baginya satu keratan daripada api neraka".
(Hadis riwayat Bukhari).
Dan roh akhlak dan halal-haram ini
tidak ada dalam sistem perundangan ciptaan manusia.
SUMBER PERUNDANGAN ISLAM
SUMBER ASLI
1.
Al-Quranالقرأن
Al-Quran
ialah kalam Allah S.W.T yang diturunkan sebagai mukjizat kepada Nabi Muhammad
S.A.W melalui Jibril A.S yang merakamkan segala kehendak Allah S.W.T ke atas
manusia dalam perkara akidah, syarak dan akhlak serta perkara yang berhubung dengan
perundangan Islam.
Al-Quran menjadi sumber pertama perundangan islam. Menurut kajian, terdapat
lebih kurang 330 ayat Al-Quran daripada 6,666 ayat yang terdapat dalam Al-Quran
yang menyentuh perundangan. Antaranya 140 ayat menyentuh ibadah dan taharah (bersuci
secara fizikal dan spiritual); 70 ayat menyentuh hukum kekeluargaan; 70 ayat
menyentuh hukum muamalah (urusan dan jual beli); 30 ayat menyentuh hukum
jenayah dan 20 ayat menyentuh kehakiman. Selain itu, Al-Quran hanya
menggariskan secara umum konsep, prinsip, dasar, cirri dan ruang lingkup
kehakiman islam dari sekecil-kecil hinggalah kepada sebesar-besarnya. Misalnya
Al-Quran menggariskan prinsip umum sesuatu hukuman seperti hukuman potong
tangan kepada pencuri.
2.
Al-Hadis الحديث
Al-Hadis
ialah segala yang disandarkan kepada Rasulullah S.A.W sama ada dalam bentuk
kata-kata, perbuatan atau pengakuan serta kejadian, akhlak dan riwayat hidup
baginda, sebelum dan sesudah baginda dilantik menjadi Rasul. Ia
diriwayatkan daripada Rasulullah S.A.W oleh para sahabat, Tabi’in dan
seterusnya sehingga ditulis oleh ulamak Hadis.
Hadis menjadi sumber kedua dalam perundangan Islam. Malah umat Islam
berijmak (bersepakat) bahawa al-hadis menjadi sumber hukum syariah sebagaimana
firman Allah S.W.T menerusi ayat 7 dalam Surah al-Hasyr yang bermaksud:
“……Apa yang diberikan Rasul kepadamu
maka terimalah ia, dan apa yang ditegahnya maka tinggalkan ia”.
Oleh kerana Al-Quran hanya
menggariskan secara umum, kasar dan teori sahaja perkara yang berkaitan dengan
kehakiman dan perundangan Islam maka hadis yang bertanggungjawab memperincikan
ajaran Al-Quran dalam bentuk amali. Tanpa hadis perundangan Islam amat sukar
dilaksanakan. Contohnya Rasulullah S.A.W menjelaskan maksud tangan yang akan
dipotong bagi mencuri ialah pergelangan tangan kanan.
Namun terdapat beberapa perkara
al-sunnah yang bukan menjadi hukum kepada umat islam, iaitu perkara-perkara
yang dilakukan oleh Rasulullah S.A.W sebagaI seorang insan seperti bangun,
duduk, tidur, dan makan; kecuali baginda memerintahkannya, perkara-perkara
duniawi yang diperoleh dari pengalaman baginda sendiri, dari segi pertanian,
perniagaan, peperangan, dan sebagainya, serta perkara-perkara yang khusus bagi
baginda sahaja seperti puasa tanpa buka, wajib bertahajjud dan lain-lain.
SUMBER- SUMBER SEKUNDER
1.
Ijmak
الإجماع
Ijmak
dari segi bahasa ialah sepakat. Dari
segi istilah pula bermaksud persetujuan antara ulama Islam daripada umat
Muhammad S.A.W mengenai hukum syarak pada suatu masa selepas kewafatan
Rasulullah S.A.W. Ijmak merupakan hasil ijtihad majoriti ulama di dalam
sesuatu hal yang tidak jelas nasnya sama ada di dalam Al-Quran atau hadis.
Apabila suatu fatwa itu dipersetujui oleh majoriti ulama yang muktabar, maka ia
diterima sebagai ijmak. Contohnya semua ulama bersepakat mengatakan bahawa
orang-orang yang telah sabit kesalahan qazaf (menuduh zina) tidak boleh
diterima kesaksiannya selagi tidak bertaubat kerana ia telah melakukan maksiat
yang menyebabkan hiang sifat adil yang menjadi syarat menjadi saksi. Ijmak menjadi
perundangan Islam selepas Al-Quran dan hadis.
Terdapat dua jenis ijmak, iaitu
ijmak sarikh dan ijmak sukuti. Ijmak sarikh
berlaku apabila semua mujtahid memberi persetujuan mereka. Manakala
ijmak sukuti berlaku apabila sebahagian sahaja yang menyatakan persetujuan
sedangkan yang lain diam dan tidak membantah.
2.
Qias القياس
Qias
dari segi bahasa ialah ukuran atau anggaran. Manakala dari segi istilah pula
bermaksud menghubungkan sesuatu peristiwa atau masalah yang tidak ada nas untuk
menentukan hukumannya dihubungkan dengan sesuatu perkara yang ditentukan
hukumannya oleh nas, sebab kedua-dua peristiwa itu mempunyai illah (sebab dan
musabab) yang sama.
Contohnya pengharaman dadah dan
semua benda mabuk diqiaskan pengharaman dengan arak yang telah ditentukan
hukumannya oleh nas kerana mempunyai illah yang sama iaitu memabukkan. Qias
menjadi sumber perundangan islam yang keempat dan digolongkan ke dalam sumber
yang disepakati oleh ulama dan yang tidak dipertikaikan.
3.
Al-Istihsan الإستحسان
Istihsan
dalam bahasa Arab memberi erti membilang atau menganggap sesuatu itu baik,
sedangkan Istihan dari segi istilah ulama ialah seorang mujtahid berpaling dari
mengamalkan kehendak qiyas jaliy (yang nyata) kepada mengamalkan qiyas khafiy
(yang tersembunyi), atau berpaling dari mengamalkan hukum kulliy kepada hukum
istithnaiy (pengecualian), atau mengecualikan masalah juziyyah daripada asal
kulliy atau prinsip umum kerana terdapat dalil yang menuntut supaya
dipalingkan.
4.
Al-Masalih
al-Mursalah المرسله
المصالح
Al-Masalih
al-Mursalah itu ialah maslahah-maslahah yang mana Syara’ tidak membina
hukum-hakam bagi memperolehinya dan tidak ada dalil tertentu yang menunjukkan
ia diambil kira atau dibatalkan.
Terdapat
sebahagian ulama menamakan dalil ini al-Istislah yang bermaksud beramal dengan
maslahah. Apakah boleh diwujudkan hukum untuk mendapatkan maslahah seperti ini
? Para jumhur ulama menjawab pasti boleh. Maka setiap persoalan yang tidak ada
Nas, Ijma’, Qiyas dan Istihsan tetapi ada padanya maslahah dan kebaikan kepada
manusia, nescaya haruslah bagi mujtahid mewujudkan hukum yang bersesuaian bagi
memastikan maslahah itu tercapai.
Contoh hukum-hukum yang dibina
berasaskan maslahah antara lain ialah mengumpulkan al-Quran dalam satu Mushaf
oleh Abu bakar, membentuk jabatan-jabatan kerajaan oleh ‘Umar, mewujudkan
penjara, mengenakan hukum Qisas ke atas satu kumpulan yang membunuh seorang
sahaja, mewajibkan tukang membayar ganti rugi sesuatu barang yang rosak
ditangannya, diharuskan mengambil cukai dari orang kaya selain dari zakat
apabila kepentingan negara memerlukannya bagi membangun kekuatan ketenteraan
atau membina keperluan-keperluan dan kemudahan asas.
5.
Al-Urf العرف
‘Urf
dalam bahasa Arab bererti ma’rifah (mengetahui atau pengetahuan) kemudian
digunakan dengan pengertian sesuatu yang ma’ruf dan kebiasaan yang dianggap
baik serta dapat diterima oleh akal fikiran yang sejahtera.
Sementara
‘urf menurut istilah ialah adat majoriti sesuatu kaum dari segi perkataan,
pengucapan atau amalan. Dan ditakrifkan juga sebagai amalan yang biasa
dilakukan oleh manusia dan dihayati dalam urusan kehidupan dan mu’amalat
mereka, sama ada perkataan atau perbuatan atau meninggalkannya.
Dinamakan juga dengan ’adat menurut kebanyakkan para ulama. Tetapi sebahagian
ulama menjadikan adat itu perkara yang berulang-ulang, dan lebih umum dari
‘urf. Maka setiap ‘urf itu adat dan tidak setiap adat itu ‘urf.
Sebahagian
ulama lain pula berpendapat ‘urf itu lebih umum. Walau bagaimana pun pendapat
yang menjadi pilihan kita ialah ‘urf dan adat sama sahaja, kedua-duanya adalah
nama kepada sesuatu yang telah menjadi kebiasaan oleh manusia dan dihayatinya
dalam kehidupan mereka.
6.
Mazhab
Sahabi
Sahabi
atau sahabat mengikut pengertian ulama Usul al-Fiqh ialah mereka yang bertemu
dengan Nabi s.a.w. dan beriman dengannya, bersahabat dengannya dalam tempoh
masa yang agak panjang dan mengambil ilmu darinya sehingga wajar dikatakan dia
sebagai sahabat atau teman rapat dari segi ‘urfnya seperti Khulafa’
al-Rasyidin, Ibnu ‘Abbas, ‘Aisyah dan lain-lain lagi. Sahabi menurut istilah
Muhaddithin ialah mereka yang berjumpa dengan Nabi s.a.w. dalam keadaan Islam
dan mati dalam agama Islam.
Manakala Mazhab Sahabi pula ialah
perkataan yang dinukilkan kepada kita dan sabit di sisi kita dari seseorang
Sahabat dalam bentuk fatwa atau keputusan penghakiman dalam apa jua masalah
Syara’ yang tidak terdapat nas dan tidak berlaku Ijma’.
7.
Al-istishab الإستصحاب
Al-Istishab
dari segi bahasa bererti saling bersahabat (al-Musahabah) atau mengekalkan
persahabatan. Adapun al-Istishab dari segi istilah
ulama’ Usuliyyin memberi erti menghukum dengan kekalnya sesuatu di atas
keadaannya yang dahulu sehingga tertegak dalil yang menunjukkan di atas
perubahannya atau dikekalkan hukum yang telah sabit pada masa yang lalu
sehinggalah didapati dalil yang menunjukkan berubahnya hukum itu. Apabila
ditanya seorang mujtahid tentang hukum sesuatu kontrak atau tindakan, dan dia
tidak mendapati mana-mana nas dalam Al-Quran atau al-Sunnah dan dalil Syara’
lain berkenaan hukum kontrak itu, nescaya dia akan menghukum harus kontrak atau
tindakan itu berdasarkan kaedah “Asal pada beberapa perkara adalah harus”.
Itulah keadaan yang Allah
ciptakannya semua yang terdapat di muka bumi ini, maka sesuatu yang tidak
terdapat dalil di atas perubahannya nescaya hendaklah dikekalkan atas
keharusannya yang asal. Demikian juga apabila ditanya mujtahid tentang hukum
haiwan atau tumbuhan atau apa-apa makanan, minuman atau pekerjaan dan tidak
menemui dalil Syara’ bagi hukum itu, nescaya dia hukumkan dengan harus, kerana
harus itu adalah yang asal dan tidak ada dalil atas perubahannya.
8.
Syar’u man Qablana
Syar’u
man Qablana bermaksud hukum-hukum yang disyara’kan Allah kepada umat sebelum
kita dan diturunkannya kepada Nabi-nabi dan Rasul-rasul yang terdahulu bagi
disampaikan kepada umat-umat tersebut. Apabila al-Quran
atau Sunnah Sahihah menceritakan mana-mana hukum Syara’ yang telah disyara’kan
kepada umat-umat yang terdahulu melalui rasul-rasul mereka dan dinaskan bahawa
ia juga difardhukan ke atas kita sepertimana difardhukan ke atas mereka, maka
tidak berlaku khilaf bahawa ia juga Syari’at kita dan undang-undang yang wajib
diikuti kerana Syari’at kita turut memperakukannya untuk kita.
Seperti firman Allah :-
Wahai orang-orang yang beriman ! Kamu
diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada
kamu, supaya kamu bertaqwa. (Al-Baqarah : 183)
MATLAMAT
PERUNDANGAN ISLAM
Pelaksanaan perundangan Islam di
dalam sesebuah negara adalah sangat penting kerana dengan pelaksanaan tersebut
dapat mengekalkan keharmonian hidup yang amat diperlukan manusia.Islam
mensyariatkan perundangan ini adalah untuk menjaga beberapa perkara yang
merupakan keperluan asas bagi manusia, antaranya ialah:
1. Untuk memelihara agama
Islam agama yang dicipta dan
diturunkan oleh Allah S.W.T kepada manusia untuk menjamin keselamatan dan
kebahagiaan hidup di dunia dan di akhirat. Oleh itu Islam memerintahkan umatnya
supaya mempertahankan agama ini darioada dicemari dana dicerobohi oleh musuh.
Cara-cara perundangan Islam memelihara agama ialah dengan mengambil tindakan
tegas terhadap golongan yang menyeleweng daripada ajaran Islam seperti riddah,
khurafat, dan ajaran sesat. Selain itu, Islam mengharamkan riddah
(murtad) dan mewajibkan hukuman mati ke atas sesiapa yang murtad di samping
memberi kebebasan beragama kepada non-muslim kerana tiada paksaan di dalam
beragama.
2. Untuk menjaga nyawa
Nyawa manusia adalah anugerah Allah
S.W.T yang sangat bernilai dan berharga kerana tanpa nyawa, manusia akan mati.
Justeru itu, islam menjamin memelihara nyawa manusia daripada diceroboh atau
dibunuh dan memastikan tiada unsur-unsur yang boleh membahayakan diri sendiri
dan orang lain. Islam telah mengharamkan pembunuhan serta menetapkan hukuman
qisas ataupun diyat atau Irsy terhadap sesiapa yang melakukan
kesalahan bunuh dan yang berkaitan dengannya.
3. Untuk menjaga akal
Kesempurnaan seseorang manusia
terletak pada akalnya. Melalui akallah manusia boleh mengkaji segala ciptaan
Allah S.W.T yang ada di alam ini dan berfikir untuk menggunakan segala
sumber-sumber yang ada untuk memakmurkannya. Akal juga digunakan untuk
mempelajari segala bidang ilmu pengetahuan untuk kebahagiaan hidup manusia.
Islam mengharamkan arak serta setiap yang memabukkan dan telah menetapkan
hukuman kepada peminum arak iaitu dikenakan sebatan sebanyak 80 sebatan.
4. Untuk menjaga keturunan
Manusia adalah makhluk Allah S.W.T yang
paling mulia jika dibandingkan dengan makhluk-makhluk yang lain. Namun
kemuliaan itu bergantung kepada pembentukan keluarga yang sempurna iaitu
keturunan nasab yang jelas dan diketahui asal usulnya. Justeru itu, manusia
hendaklah menjaga keturunannya daripada dicemari oleh perbuatan-perbuatan yang
boleh merosakkan kesucian keturunan. Oleh hal yang demikianlah Islam telah
mengharamkan perbuatan zina. Sesiapa yang didapati bersalah, Allah S.W.T telah
menetapkan hukuman rejam sampai mati bagi sesiapa yang sudah berkahwin dan 100
kali sebatan kepada mereka yang masih bujang. Perundangan Islam juga telah
mensyariatkan perkahwinan untuk melahirkan keturunan yang sempurna dan mulia.
5.
Untuk menjaga maruah
Maruah seseorang manusia bergantung
kepada ketinggian akhlak dan budi pekertinya. Akhlak yang mulia membentuk
keperibadian yang tinggi dan budi pekerti yang terpuji membentuk sahsiah yang
mulia. Seterusnya, mereka akan mendapat penghormatan daripada masyarakat. Oleh
kerana kehormatan diri sangat penting kepada manusia, perundangan Islam telah
menetapkan beberapa cara untuk memelihara kehormatan dan maruah diri,
iaitu Islam mengharamkan qazaf
(menuduh tanpa bukti). Hukuman kepada pesalah qazaf iaitu sebatan
sebanyak 80 kali. Selain itu, Islam juga menyuruh umat Islam menjaga
batas-batas pergaulan, percakapan dan tingkah laku.
6.
Untuk memelihara harta
Memelihara harta ialah mengakui hak
milik seseorang individu terhadap harta yang dimilikinya secara halal. Islam
telah mengharamkan kegiatan sariqah (pencurian) serta hirabah
(rompakan) dengan cara yang tidak sah. Justeru itu, perundangan Islam telah
mengaturkan peraturan- peraturan yang memelihara harta, iaitu mengenakan
hukuman yang tegas terhadap sesiapa yang mencuri dan merompak. Kepada pencuri
dipotong tangannya sebagai hukuman. Manakala hukuman kepada perompak pula
hendaklah dipotong tangan dan kakinya secara bersilang (tangan kanan kaki
kiri). Sekiranya rompakan itu disertai dengan pembunuhan, maka hukuman mati
hendaklah dijatuhkan terhadap pesalah oleh mahkamah.
KESIMPULAN
Secara tuntasnya di sini jelaslah
bahawa perundangan Islam merupakan perundangan yang amat diperlukan oleh
seluruh umat manusia di alam ini. Tanpanya, kehidupan manusia tidak teratur,
sebarang hukuman tidak akan dijalankan ke atas mereka yang melakukan jenayah
dan penganiayaan, serta tidak wujud sebarang penghinaan bagi mereka yang lemah.
Undang-undang Islam seharusnya dilaksanakan di seluruh Negara khususnya Negara
Islam seperti Malaysia. Insya Allah dengan pelaksanaan undang-undang di Negara
ini kadar jenayah seperti merogol, merompak, mencuri dan sebagainya dapat
dikurangkan malah kemakmuran dan keharmonian Negara kita dapat terus dikekalkan
buat sepanjang zaman.
Justeru didikan sedari kecil perlu
disemai agar dapat meningkatkan kesedaran rakyat tentang kepentingan
perundangan Islam. Hal ini bertepatan dengan peribahasa “Melentur buluh biarlah
daripada rebungnya ”. Para ibu bapa seharusnya mendidik anak-anak cara-cara
beribadah, cara jual beli yang sebenar mengikut syarak dan berakhlak dengan
akhlak nabi-nabi yang terdahulu. Melalui didikan sejak kecil diharapkan
anak-anak yang bakal menggantikan tampuk pimpinan pada masa hadapan dapat
mentadbir melalui tauladan seterusnya mentadbir Negara dengan adil, telus dan
saksama tanpa sebarang diskriminasi.
Disamping itu, pihak kerajaan
mahupun badan bukan kerajaan (NGO) seharusnya berganding bahu mempergiatkan
usaha mendidik masyarakat khususnya di Malaysia mengenai perundangan Islam
dengan mengadakan ceramah-ceramah mahupun mengedarkan risalah-risalah dengan
berkesan. Selain itu, pihak Institut Kemajuan Islam Malaysia (IKIM) juga
seharusnya menerbitkan pelbagai buku ilmiah mengenai perundangan Islam yang
diterjemahkan ke dalam bahasa Malaysia agar masyarakat di Malaysia dapat
maklumat yang lebih mendalam mengenai ilmu syariah. Oleh hal yang demikian, diharapkan masyarakat
di seluruh Negara boleh memahami apa itu perundangan Islam serta kepentingan
pelaksanaannya.
PENUTUP
Hakikat bahawa Islam adalah agama
untuk seluruh umat Islam telah dinyatakan oleh Allah di dalam al-Quran melalui
firman-Nya: ``Dan tidaklah Kami utuskan engkau wahai Muhammad, kecuali untuk
membawa rahmat kepada seluruh alam.'' Allah dengan begitu jelas menyatakan
bahawa Islam bukan hanya menjadi cara hidup yang selamat buat satu-satu bangsa
atau budaya, bahkan semua bangsa di alam ini yang meliputi pelbagai budaya dan
bangsa.
Ulama paling berpengaruh dunia kini,
Dr. Yusuf al-Qardhawi, pernah menulis sebuah buku kecil yang ringkas tetapi
begitu bermanfaat bertajuk Awamil al-Si`ah wa al-Murunah fi al-Islam yang
menjelaskan tentang fleksibiliti Islam yang membolehkan Islam dipraktikkan oleh
semua golongan dan budaya di dunia ini. Ciri fleksibiliti Islam yang pertama
menurut beliau ialah wujudnya banyak ruang, yang tidak dinyatakan hukumnya oleh
Allah dan sengaja ditinggalkan kepada manusia.
Dalam perundangan Islam, mana-mana
yang menjadi keperluan manusia pada pandangan Allah, akan diletakkan hukum
wajib atau sunat, mana yang buruk pada pandangan Allah untuk manusia, akan
diletakkan hukum haram atau makruh, dan mana-mana yang tidak dinyatakan itu
adalah harus, boleh dilakukan tanpa melampaui batas. Betapa banyaknya kes-kes
yang sengaja ditinggalkan oleh Allah sebagai memberi ruang kepada perbezaan
manusia. Sabda Rasulullah; ``Apa-apa yang disuruh, maka kerjakanlah, apa-apa
yang dilarang, maka jauhilah, dan apa-apa yang tidak disebut itu, sengaja
ditinggalkan tanpa lupa, sebagai rahmat untuk kamu sekalian, bukan kerana lupa,
maka janganlah kamu mempertikaikannya.'' (Riwayat Daruqutni). Implikasinya
ialah, kita boleh melakukan apa sahaja selagi mana ia tidak bercanggah dengan
prinsip-prinsip yang ada di dalam al-Quran dan sunah.
Semua hukum di dalam Islam
ditetapkan oleh Allah, bukan oleh manusia. Walaupun begitu, hukum yang
dinyatakan oleh Allah melalui perantaraan al-Quran atau sunah daripada
Rasulullah s.a.w. perlu diterjemahkan oleh manusia menggunakan ketajaman akal
mereka dan kaedah-kaedah yang tertentu. Di dalam teks al-Quran dan sunah, tidak
semua hukum datang dalam bahasa yang jelas. Hukum-hukum yang sudah jelas
pengertiannya biasanya melibatkan hukum-hukum asas ibadah, akhlak dan budi
pekerti, hukum harta pewarisan, hukum akidah yang berkaitan dengan kepercayaan
kepada Allah dan alam ghaib, serta kisah-kisah sejarah umat terdahulu. Manakala
terdapat juga ayat-ayat yang tidak jelas pengertiannya, sama ada kerana
perkataan yang digunakan boleh memberikan pelbagai maksud, atau terlalu luas
untuk dipraktikkan dalam sesuatu kes.
Untuk bersatu dalam realiti
perbezaan masyarakat, undang-undang Islam perlu difahami daripada skop yang
luas dan komprehensif. Bukan diambil hujung sana dan sini sahaja. Islam juga
bukan sekadar meletakkan hukum-hukum sahaja, tetapi wujudnya hukum itu
bermatlamat menegakkan kemaslahatan ummah dan mengelakkan kemudaratan kepada
manusia sejagat. Inilah yang dinamakan maqasid al-syariah (matlamat Syariah).
Hukum tidak boleh sekadar difahami tanpa cuba memahami matlamatnya. Dengan
pemahaman yang luas tentang Islam barulah kita dapat melihat bahawa Islam itu
cukup menghargai perbezaan manusia di dunia ini. Tetapi sekadar melihat itu
masih tidak cukup selagi kita sendiri tidak mengamalkannya untuk membuktikan
bahawa umat Islam tetap bersatu padu di dalam perbezaan.
1.
al-Madkhal Li Dirasati
as-Syariah al-Islamiyyah, karangan Syeikh Dr.
Abdul Karim Zaidan, m/s 38. Cetakan ke 14, Muassasash Risalah, Beirut,
1417H.
2.
Abdul
Aziz Bari, Islam Dalam Perlembagaan Malaysia, Intel Multimedia and Publication,
Petaling Jaya, 2005 Cetakan 1
3.
Ahmad
Ibrahim, Sistem Undang-Undang di Malaysia, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa
dan Pustaka. 1986
4.
Aminuddin
Ruskan al-Dawamy, Syariah dan Perundangan, Cetak Ratu Sdn Bhd, Johor
1998
5.
Jurnal
Hukum JH (1407)H Jld V Bhg II
6.
Mahmood
Zuhdi Abdul Majid, Pengantar Undang-undang Islam di Malaysia, Kuala
Lumpur: Penerbit Universiti Malaya, 1997,
7.
Mohd
Saleh Haji Ahmad, Pengantar Syariat Islam, Pustaka Haji Abdul Majid, Kuala
Lumpur, 1999. Cetakan 1
8.
Syed
Naquib al-Attas, Islam dalam Sejarah Kebudayaan Melayu, Kuala Lumpur:
Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia, 1972
Mohon copy tuan,, terima kasih bg copy....
ReplyDelete