Jika
kita mempunyai keazaman untuk memperbaiki atau mempertingkatan mutu mahupun
kualiti dalam kehidupan kita, apa yang harus dan sepatutnya kita perlu buat
adalah ‘MUHASABAH DIRI’.
Muhasabah ini hendaklah
dilakukan selepas kita melakukan setiap amal, agar hati kita sentiasa tenteram dan
tidak menyeleweng dari ketetapan Allah SWT dan sentiasa mematuhi arahan dan
meninggalkan larangan-Nya.
Mengikut Ibnu Qudamah: "Pengertian muhasabah ialah melihat
keadaan modal, keadaan keuntungan dan kerugian, agar dapat mengenalpasti
sebarang penambahan dan pengurangan. Modalnya dalam konteks agama ialah perkara
yang difardhukan, keuntungan ialah perkara sunat dan kerugiannya pula ialah
maksiat."
Ibnul Qaiyim pula berkata: "Muhasabah ialah membezakan antara apa
yang diperolehinya dan apa yang perlu ditanggungnya. Setelah mengetahui yang
demikian, maka dia hendaklah membawa apa yang diperolehinya dan melunaskan apa
yang ditanggungnya. Dia seolah-olah seorang musafir yang tidak akan
kembali."
Kepentingan
Bermuhasabah
Dengan bermuhasabah diri, kita dapat
menilai setiap perbuatan kita, apakah ianya mencapai
matlamat, menghampiri matlamat atau lebih teruk menjauhi matlamat yang kita
tetapkan. Dengan bermuhasabah juga, seseorang itu dapat mengelakkan diri daripada
melakukan kesalahan yang sama untuk kali kedua, kerana
orang muslim yang hebat adalah mereka yang dapat mempertingkatan kualiti diri
mereka dari masa ke semasa.
Sabda Rasulullah SAW : "Orang muslim itu tidak
akan dipatuk ular pada lubang yang sama untuk kali kedua"
Kelebihan
bermuhasabah
1.
Dapat mengenali kekurangan diri, maka dengan
itu dapatlah kelemahan itu di perbaiki.
2.
Dapat bertaubat, menyesali dan meninggalkan
setiap kesalahan yang lepas.
3.
Dapat mengenali hak Allah taala ke atas diri
kita.
4.
Dapat mengelakkan diri dari mengulangi
kesalahan yang lepas dan seterusnya mempertingkatkan amalan soleh.
5.
Dapat mempersiapkan diri sebelum bertemu
dengan Allah SWT di hari akhirat kelak.
Seperti yang di katakan oleh Umar Al-Khattab: "Hitunglah diri kamu sebelum kamu
dihitung, timbanglah amalanmu sendiri sebelum ia ditimbangkan untukmu, dan
bersedialah untuk hari pembentangan amal yang besar, sesungguhnya hisab pada
hari kiamat menjadi ringan bagi sesiapa yang melakukan muhasabah diri di dunia
ini”.
Oleh yang demikian, marilah kita
sentiasa muhasabah diri kita dari masa ke semasa, agar dapat memperbaiki dan
mempertingkatkan prestasi diri kita dan lebih-lebih lagi dalam mengerjakan amal
ibadah kepada Allah SWT. Semoga hari ini lebih baik dari hari-hari kita yang
sebelum ini.
No comments:
Post a Comment