Dicatat Oleh: Bicara Marhaen |
15:46:28 | 14042012
Baitulmaqdis merupakan sebuah kota yang
terletak di dalam wilayah Palestin dan diiktiraf sebagai kota ketiga paling
suci bagi umat Islam selepas Mekah dan Madinah. Dalam kalangan masyarakat
antarabangsa, kota ini lebih dikenali dengan nama Jerusalem yang bermaksud
'tempat yang aman untuk didiami'.
Catatan sejarah menunjukkan kota ini telah
diduduki manusia selama sekitar 5,000 tahun sekaligus merupakan antara kota
yang tertua di dunia dan masih dihuni sehingga sekarang. Kota ini merupakan
tempat pertembungan antara tiga agama samawi iaitu Islam, Yahudi, dan Kristian
bahkan setiap agama mempunyai kawasan masing-masing di sekitar kota lama yang
mengelilingi sebuah tanah tinggi yang terkepung dengan tembok yang tinggi lagi
kukuh.
Masyarakat dunia menamakan kawasan tanah tinggi
ini sebagai 'Mount Temple' disebabkan sejarahnya yang pernah menempatkan kuil
Yahudi kuno iaitu dipanggil juga sebagai Haikal Sulaiman sebelum ia
dimusnahkan, dibina semula dan sekali lagi dimusnahkan selepas kota ini dijajah
oleh kerajaan-kerajaan yang berbeza.
Mengikut catatan sejarah, umat Islam pada era
awal Islam dahulu menggelarkan kawasan di mana terletaknya 'Mount Temple'
sebagai Madinah Baitulmaqdis yang membawa erti 'City of the Temple' yang
mengambilkira akan kewujudan Haikal Nabi Sulaiman A.S yang menjadi tempat
ibadat pertama kaum Yahudi sebelum dimusnahkan oleh orang Babylon pada tahun
586 sebelum Masihi.
Selepas kemusnahan pertama itu, Haikal ini
dibina semula kira-kira selepas 70 tahun kemusnahan pertamanya apabila orang Babylon
berjaya diusir, namun ia diruntuhkan kembali pada tahun 70 Masihi oleh Empayar
Roman. Manakala kawasan kota yang wujud di sekeliling 'Mount Temple' ini
dipanggil Iliya, berasal daripada nama 'Aelia Capitolina' yang diberikan semasa
penjajahan orang Roman. Kawasan 'Mount Temple' pada asalnya agak tinggi dengan
keadaan yang tidak rata tetapi pada tahun 19 sebelum Masihi, pemerintah ketika
itu iaitu Herod the Great telah membina tembok tinggi mengelilingi kawasan ini
lalu meratakan permukaannya di dalam kawasan tembok sepertimana keadaan
sekarang.
Selepas pengislaman Kota Baitulmaqdis yang
bermula ketika zaman khalifah Umar al-Khattab, nama 'Mount Temple' telah
ditukarkan kepada Haram al-Sharif yang menggambarkan kedudukan kawasan suci ini
yang mendapat tempat yang mulia di dalam Islam sementara kota disekitarnya
inilah dinamakan Baitulmaqdis.
Pada Zaman Khalifah Sulaiman iaitu salah
seorang khalifah di dalam era Turki Uthmaniyyah, beliau telah membina semula
dinding seakan-akan sebuah tembok di sekeliling kota Baitulmaqdis. Sekarang ini
Baitulmaqdis yang asal dirujuk sebagai kota lama Baitulmaqdis iaitu kawasan
yang dikepungi tembok tadi. Di kota inilah terletaknya Masjid al-Aqsa yang
telah disebut di dalam kitab suci al-Quran dan al-Hadis yang mana beribadat di
dalamnya mendapat seribu ganda pahala berbanding di tempat-tempat lain.
Masjid al-Aqsa di dalam bahasa Arab bermaksud
'masjid yang jauh', merujuk pada jaraknya yang berjauhan daripada bumi Mekah
yang menempatkan Masjid al-Haram. Di sini juga menjadi tapak kepada salah satu
peristiwa terpenting di dalam Islam iaitu Isra' dan Mikraj yang mana ketika
itu, Nabi Muhammad S.A.W telah dinaikkan ke langit untuk menghadap Allah S.W.T.
Baitulmaqdis juga menjadi kiblat pertama umat Islam sebelum berpindah ke Mekah,
iaitu kira-kira selama enam belas bulan. Kedua-dua peristiwa besar Islam ini
iaitu pembinaan Masjid al-Aqsa dan peristiwa Isra' Mikraj ini berlaku di atas
tapak Haram al-Sharif.
Selain itu, Masjid Kubah Batu turut dibina
berdekatan dengan Masjid al-Aqsa dan telah dibina pada zaman pemerintahan
Khalifah Abdul Malik semasa era Bani Umayyah. Diriwayatkan senibina masjid ini
yang begitu indah dengan kubah berwarna keemasannya yang menonjol adalah untuk
menyaingi kehebatan senibina gereja-gereja di sekitar Baitulmaqdis yang menjadi
tumpuan ramai pelawat. Kini Masjid Kubah Batu menjadi antara monumen tertua
orang Islam yang sangat dikenali.
Masjid ini mendapat namanya berikutan
dipercayai didirikan di atas tapak batu terapung yang terjadi ketika peristiwa
Isra' dan Mikraj. Ironinya batu ini juga dianggap suci oleh penganut Yahudi
disebabkan kepercayaan bahawa ia merupakan pusat bagi 'Mount Temple' dan
dianggap sebagai asas untuk pembinaan kuil mereka satu masa nanti.
Tetapi menurut catatan sejarah ketika Khalifah
Umar al-Khattab r.a yang bertanggungjawab menjadikan Baitulmaqdis sebagai salah
sebuah wilayah Islam, setibanya di kota ini beliau lalu bertanyakan mengenai
batu yang menjadi tempatnya Baginda Rasul dinaikkan ke langit, lalu ditunjukkan
oleh penduduk kota pada sebuah batu terbiar di atas tanah tinggi yang dikepungi
oleh tembok. Lebih malang apabila kaum Yahudi mengotorkan kawasan itu dengan
najis dan sampah sarap sebagai tanda penghinaan kepada lokasi peristiwa Isra'
Mikraj itu. Khalifah Umar membersihkan kawasan itu bersama-sama dengan orang
Mukmin yang lain dan membina Masjid al-Aqsa buat kali pertamanya di bumi
Baitulmaqdis itu.
Masyarakat Yahudi menganggap Haikal ketiga dan
sepatutnya menjadi yang terakhir seharusnya dibangunkan di atas lokasi yang
sama iaitu Haram al-Sharif bahkan perkara yang sama turut dicatatkan di dalam
kitab Injil. Perebutan tapak suci inilah yang menjadi teras konflik antara
Islam dan Yahudi selanjutnya menjadikan kawasan suci ini sebagai tempat krisis
yang masih belum selesai sehingga sekarang.
Salah satu tembok yang mengelilingi Haram
al-Sharif ini, iaitu tembok di bahagian barat ataupun 'Western Wall' ini
menjadi tempat suci bagi penganut Yahudi. Tembok yang dibina lebih daripada
2,000 tahun yang lampau ini merupakan satu-satunya bahagian Haikal kedua mereka
yang masih wujud. Mereka menganggap Tuhan mereka berada di sebalik tembok itu
dan pandangan mereka terhalang disebabkan dosa-dosa yang telah mereka lakukan.
Oleh kerana itu lokasi ini menjadi tempat mereka beribadat dan meratap di atas
dosa-dosa yang mereka lakukan dan amalan ini masih berlangsung sehingga
sekarang ini, susulan dengan itu kadang-kadang tembok ini juga dirujuk sebagai
'Wailing Wall' ataupun tembok ratapan.
Mengikut agama Kristian pula, Baitulmaqdis juga
mendapat kedudukan yang mulia dan dianggap sebagai tanah suci mereka. Nabi Isa
A.S yang dilahirkan di Baitullaham iaitu sebuah bandar yang berhampiran dengan
Baitulmaqdis terus dibawa ke Baitulmaqdis sebaik sahaja dilahirkan. Semasa
remajanya, penganut Kristian percaya bahawa Nabi Isa A.S pernah berkhidmat
untuk mencuci Haikal kedua yang pada ketika itu masih tertegak utuh di
Baitulmaqdis. Selain itu juga, peristiwa penyaliban dipercayai berlaku di dalam
kawasan Baitulmaqdis tetapi lokasi yang tepat masih lagi menjadi pertikaian
sarjana-sarjana Kristian.
Pendapat yang paling diterima ramai adalah
peristiwa itu berlaku pada tapak di mana tertegaknya sebuah gereja yang
dianggap paling suci oleh penganut Kristian iaitu Gereja 'Holy Sepulchre',
salah sebuah gereja di dalam kawasan kota lama. Di sini juga dianggap sebagai
lokasi orang yang mereka percayai sebagai Nabi Isa A.S dimakamkan. Kota
Baitulmaqdis sehingga kini masih menerima pengunjung Kristian yang ramai dari
seluruh dunia terutamanya menjelang musim Easter.
Perang Salib yang berlaku pada 1099 Masihi juga
menunjukkan keazaman penganut Kristian untuk menawan tanah suci ini daripada
penguasaan orang Islam dan mereka telah berjaya menduduki kota ini selama
kira-kira 200 tahun sehinggahlah kota ini dibebaskan oleh panglima Islam yang
unggul iaitu Salahuddin al-Ayubbi pada tahun 1187 Masihi. Diriwayatkan bahawa
ketika tentera salib dihalau sepenuhnya dari kota ini, Salahuddin al-Ayubbi
sendiri yang membersihkan Masjid al-Aqsa yang dijadikan kandang kuda oleh
tentera salib, manakala Masjid Kubah Batu yang dijadikan sebagai gereja
dikembalikan fungsinya sebagai sebuah masjid.
Penguasaan orang Islam berterusan sehinggalah
ke akhir zaman Khalifah Uthmaniyyah yang menyaksikan Baitulmaqdis dikuasai oleh
British sehinggalah mandat penguasaan itu tamat. Kewujudan negara Israel pada
tahun 1948 menyaksikan peperangan antara Arab dan Yahudi berlaku untuk
menguasai wilayah Palestin yang ketika itu dibahagikan secara berat sebelah
oleh badan dunia PBB.
Penduduk Arab yang mewakili dua pertiga
diperuntukkan hanya sepertiga kawasan, sementara Yahudi mendapat selebihnya
tanah Palestin. Ketika itu PBB mengisytiharkan Baitulmaqdis sebagai wilayah
antarabangsa tetapi pertempuran tentera Israel dan Arab menyebabkan bahagian
barat kota jatuh ke tangan Yahudi dan diisytiharkan sebagai ibu kota negara
Israel tetapi tidak diiktiraf oleh dunia.
Bahagian timur Baitulmaqdis dikuasai oleh
negara Jordan, termasuklah kawasan kota lama Baitulmaqdis ini. Sehingga waktu
ini, Haram al-Sharif merangkumi keluasan hampir seperlima daripada keluasan
kota lama Baitulmaqdis masih dikuasai oleh orang Islam.
Kota lama Baitulmaqdis terbahagi kepada empat
bahagian. Bahagian pertama adalah bahagian orang Islam iaitu bahagian yang
terbesar antara kesemua bahagian, Kompleks Haram al-Sharif adalah sebahagian
daripada kawasan orang Islam. Bahagian kedua adalah bahagian Yahudi dan
selebihnya merupakan bahagian Kristian dan bahagian Kristian Armenia, iaitu
bahagian yang paling kecil antara semua. Walaupun Orang Armenia juga merupakan
penganut Kristian, tetapi mereka mendapat kawasan mereka sendiri di dalam kota
dan bilangan mereka juga hanya kecil jika dibandingkan dengan kumpulan-kumpulan
lain. Ketika Jordan menguasai kota lama, penganut Yahudi tidak dibenarkan
beribadat di sekitar 'Western Wall' ataupun tembok ratapan itu dan kebanyakan
tempat ibadat Yahudi ditutup dan sebahagian bahagian orang Yahudi di kota lama
turut menempatkan penduduk Arab yang menjadi pelarian akibat wilayah mereka
dirampas oleh Israel.
Selepas perang pada tahun 1967, ia merubah
lanskap kota ini sampai sekarang. Penglibatan Jordan di dalam perang
negara-negara Arab dengan Israel menyebabkan bahagian timur kota ini jatuh ke
tangan Yahudi, lebih teruk apabila wilayah Palestin yang selebihnya turut jatuh
bersama sehinggalah ke Tebing Barat Sungai Jordan. Mesir pula kehilangan
Semenanjung Sinai dan Genting Gaza sementara Syria terlepas Tanah Tinggi Golan.
Bermulanya kejatuhan Baitulmaqdis ini
menyaksikan banyak pencabulan dilakukan oleh bangsa Yahudi ke atas
Baitulmaqdis. Antaranya menjadikan kawasan 'Western Wall' sebagai tapak ibadat
mereka selain pembinaan penempatan haram Yahudi yang mengelilingi kejiranan
Arab di dalam usaha memastikan kota ini didominasi secara penuh oleh Yahudi.
Penempatan masyarakat Yahudi turut dibina di dalam bahagian orang Islam.
Rumah-rumah penduduk Palestin dirampas dan
digantikan dengan perumahan Yahudi. Lebih teruk lagi apabila kerajaan Israel
meluluskan akta yang menggabungkan timur dan barat Baitulmaqdis sebagai satu
kota dan menjadi ibu kota Israel yang rasmi menggantikan Tel Aviv yang sebelum
ini menempatkan kedutaan-kedutaan asing. Pejabat Presiden dan Perdana Menteri,
kediaman Presiden dan Perdana Menteri, bangunan Parlimen, Mahkamah Agung dan
kementerian-kementerian Israel semuanya dipindahkan ke Baitulmaqdis secara
beransur-ansur.
Masjid al-Aqsa juga beberapa kali telah
dicabuli termasuklah dibakar oleh fanatik Yahudi sehingga membawa kemusnahan
mimbarnya. Paling diingati adalah peristiwa yang berlaku pada tahun 2000,
lawatan penuh provokasi Perdana Menteri Israel ketika itu iaitu Ariel Sharon ke
kompleks Haram al-Sharif. Untuk rekod, Ariel Sharon terlantar koma akibat
serangan strok semasa masih bertugas sebagai Perdana Menteri pada tahun 2006 dan
masih tidak sedarkan diri.
Perlu diingatkan bahawa walaupun Israel
menguasai kota ini secara total namun pengawalan kompleks Haram al-Sharif
diberikan kepada badan Islam sebagai kawasan wakaf dan juga Raja Jordan
dianggap sebagai penjaga Masjid al-Aqsa. Bendera negara Israel juga tidak
dibenarkan dikibarkan di sekitar Haram al-Sharif. Penganut agama lain juga
dilarang memasuki kompleks suci ini dan askar-askar serta polis Israel berkawal
di pintu masuk dan pengunjung mesti membuktikan mereka ini adalah Islam sebelum
memasuki kompleks untuk beribadat. Langkah ini diambil bagi mengelakkan
terjadinya pertikaian seterusnya membawa kepada pertumpahan darah memandangkan
lokasi ini amat sensitif bagi semua penganut agama samawi.
Namun sampai bilakah langkah ini berterusan
menjadi tanda tanya memandangkan sikap kerajaan zionis Israel sendiri yang suka
melakukan provokasi ke atas penduduk Palestin dan pengyahudian Baitulmaqdis
bukan lagi sesuatu agenda yang rahsia.
Hari ini, Kota Baitulmaqdis masih berada di
bawah kekuasaan bangsa Yahudi yang menyimpan impian untuk meruntuhkan Masjid
al-Aqsa yang mahu digantikan dengan Haikal ketiga mereka yang dipercayai
menjadi Haikal terakhir mereka, malahan mereka bertungkus lumus melakukan
aktiviti carigali di sekitar kompleks Haram al-Sharif untuk menguatkan dakwaan
pemilikan mereka ke atas kawasan suci itu sebelum terbinanya masjid-masjid di
atasnya.
Mengikut berita yang tersebar luas, mereka
melakukan penggalian di bawah tapak masjid sehingga meletakkan Masjid al-Aqsa
dan Masjid Kubah Batu di dalam risiko keruntuhan akibat aktiviti yang kononnya
berlandaskan kerja-kerja arkeologi itu. Kaum Yahudi kelihatan begitu teruja
untuk merealisasikan pembinaan Haikal Sulaiman mereka itu, bagi mereka
pembinaan itu adalah sesuatu yang menjadi tuntutan agama mereka dan perlu
dilaksanakan, yang menjadi persoalan hanyalah bila Haikal Sulaiman itu akan
dibangunkan?
No comments:
Post a Comment