Carian Artikel (Mulakan Dengan Bismillah)

Tuesday, April 3, 2012

Formula Perkongsian Kuasa Dan Kontrak Sosial Di Malaysia

* Bahan Ilmiah Ini Telah Dikemukakan Kepada Universiti Malaysia Sabah 
* Dicatat Oleh : -Bicara Marhaen-  |  16:04:12  |  03042012


PENDAHULUAN

Di antara dilema yang dihadapi negara yang mempunyai komposisi penduduk pelbagai kaum seperti Malaysia ialah untuk memastikan setiap kaum diwakili ataupun terbabit secara langsung dalam proses pentadbiran. Ia berkait rapat dengan persoalan mengenai sejauh mana kerajaan yang dibentuk dapat memenuhi aspirasi setiap kaum yang pelbagai. Ini kerana setiap kaum mempunyai sistem kepercayaan serta kebudayaan mereka sendiri.

Oleh itu, kegagalan kerajaan yang dibentuk membuat keputusan yang mampu menyantuni kehendak setiap kaum, dikhuatiri akan mengakibatkan ketidakstabilan terutama sekali di peringkat akar umbi. Keadaan diburukkan lagi seandainya kerajaan yang memerintah, membuat keputusan ataupun dasar berasaskan kepada persepsi ataupun kehendak sesebuah etnik semata-mata.

Pakar sains politik terkemuka, Arend Lijphart[1], menawarkan penyelesaian kepada persoalan ini. Beliau memperkenalkan konsep Consociational Democracy yang kini diamalkan di Belgium, Belanda serta beberapa negara di Eropah. Dalam konsep ini, setiap etnik mempunyai peluang untuk berpartisipasi secara langsung dalam proses penggubalan dasar serta pentadbiran, melalui pemimpin yang dipilih untuk mewakili sesuatu etnik.

Pemimpin yang dipilih akan bekerjasama dengan pemimpin yang mewakili etnik lain. Untuk memudahkan kerjasama ini berlaku, pemimpin itu akan menubuhkan pakatan kerjasama di antara parti politik yang dipimpin mereka. Parti-parti politik ini ditubuhkan untuk menjaga kepentingan etnik yang diwakilinya.

Di Malaysia, konsep ini dipelopori Parti Perikatan[2]. Ia ditubuhkan pada 1955, di mana ia membabitkan Umno, MCA, dan MIC. Ketiga-tiga parti politik dibentuk untuk mewakili kepentingan tiga etnik terbesar iaitu; Melayu, Cina, dan India. Melalui konsep perkongsian kuasa ini, ia memberikan ruang sama rata untuk semua etnik yang ada di negara ini, melalui pemimpin yang dipilih, untuk membabitkan diri secara langsung dalam proses pentadbiran. Kini, kesinambungan konsep perkongsian kuasa yang dirintis melalui Parti Perikatan, diteruskan pula oleh Barisan Nasional (BN), yang turut dinaungi beberapa lagi parti politik termasuk yang mewakili etnik Sabah dan Sarawak.

Dalam konteks politik Malaysia, proses perkongsian kuasa ini telah berjaya mencipta kestabilan kepada iklim politik di negara ini. Kejayaan ini dibantu oleh dua faktor utama. Faktor pertama membabitkan interaksi di antara pemimpin serta etnik yang diwakilinya. Untuk menjamin kejayaan perkongsian kuasa ini, barisan pemimpin terbabit dituntut untuk sentiasa berinteraksi serta peka terhadap sebarang pandangan atau isu yang diutarakan oleh etnik yang diwakili di peringkat akar umbi. Segala permasalahan yang diutarakan, kemudian akan diterjemahkan melalui pelaksanaan dasar oleh kerajaan yang memerintah. Pemimpin ini juga perlu memainkan peranan di dalam menerangkan sebarang kekeliruan terhadap sebarang isu yang timbul. Melalui interaksi ini, keharmonian perhubungan di antara etnik dapat dijaga.

Faktor kedua membabitkan interaksi serta permuafakatan yang dicapai di kalangan pemimpin yang dipilih, dalam menyelesaikan pelbagai isu berbangkit. Permuafakatan ini tercapai melalui sikap toleransi serta keprihatinan pemimpin terbabit, terhadap batas-batas sensitiviti yang telah dipersetujui bersama. Malaysia adalah salah satu negara yang berjaya menerapkan sistem perkongsian kuasa ini dengan jayanya. Kejayaan ini dibantu sikap toleransi serta saling hormat menghormati yang diamalkan rakyat negara ini. Dalam hal ini, interaksi pada peringkat akar umbi adalah penyumbang utama kepada kejayaan yang dicapai. Justeru, keharmonian hubungan di antara kaum perlu sentiasa dijaga dan disuburkan, agar setiap lapisan rakyat dapat menjalani kehidupan mereka dengan aman dan damai.

DEFINISI

Perkongsian ialah suatu persekutuan atau pergabungan yang mengandungi dua orang atau lebih yang bekerjasama dalam sesuatu usaha[3]. Kuasa pula diterjemahkan sebagai daya, keupayaan, kekuatan, tenaga atau kemampuan untuk melakukan atau mengerjakan sesuatu[4]. Kuasa tersebut diberi atau dipertanggungjawabkan sebagai hak atau kewibawaan atas sesuatu atau untuk melakukan, mengurus, memerintah, dan lain-lain yang mana sesuatu kuasa tersebut ditentukan oleh undang-undang, peraturan, dan sebagainya. Konsep perkongsian kuasa di Malaysia telah didirikan sekian lama atas semangat untuk memacu kejayaan negara secara kolektif tanpa mengira kaum. Tidak dapat dinafikan bahawa antara perkara pokok yang mempengaruhi kekuatan konsep ini adalah prinsip yang dikenali sebagai “kontrak sosial”, iaitu suatu perjanjian yang telah dicapai sebelum merdeka. Maka prinsip kontrak sosial yang telah dimeterai oleh tokoh-tokoh terdahulu yang menjadi landasan kepada pembinaan konsep perkongsian kuasa ini seharusnya dihormati oleh semua pihak.

LATARBELAKANG PERKONGSIAN KUASA DAN KONTRAK SOSIAL DI MALAYSIA

Perkongsian kuasa di Malaysia berteraskan kepada kerjasama antara Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (United Malays National Organisation atau UMNO)[5] dan Persatuan Cina Malaysia (Malaysian Chinese Association atau MCA)[6] dan kemudian disertai oleh Kongres India Malaysia (Malaysian Indian Congress atau MIC)[7] dalam Parti Perikatan, akhirnya ahli gabungannya bertambah hingga ke Sabah dan Sarawak lalu melahirkan Barisan Nasional pada 1974.

Kini anggota Barisan Nasional terdiri daripada parti politik di Semenanjung iaitu UMNO, MCA, MIC, Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan)[8], Parti Progresif Penduduk (PPP)[9]; di Sarawak diwakili oleh Parti Pesaka Bumiputera Bersatu Sarawak (PBB)[10], Parti Progresif Demokratik Sarawak (SPDP)[11], Parti Bangsa Dayak Sarawak (PBDS)[12], Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP)[13], manakala di Sabah pula ialah Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS)[14], Parti Maju Sabah (SAPP)[15], Parti Liberal Demokratik Sabah (LDP)[16], United Pasok Momogun Kadazandusun Organisation (UPKO)[17] dan Parti Bersatu Sabah (PBS)[18].

Di bawah kepimpinan Tunku Abdul Rahman (UMNO) dan Tan Cheng Lock (MCA), elit politik dan intelektual Melayu-Cina bergabung untuk bertanding dalam pilihan raya majlis bandaran 1952. Kewujudan persahabatan politik antara kaum Melayu dan Cina mendorong MIC untuk menyertai Perikatan pada 1953 dan membantu Perikatan memenangi 54 daripada 55 kerusi yang dipertandingkan dalam pilihan raya perbandaran 1955.

Melalui pertemuan itu ketua-ketua parti yang berteraskan kaum itu akhirnya beransur-ansur melahirkan Perikatan. Dan daripada Perikatan, komponen parti itu bertambah besar maka lahirlah Barisan Nasional.

Pada awalnya gabungan Barisan Nasional disertai oleh Parti Social Front dan Parti Buruh. Ini bermakna modul perkongsian kuasa ini memang diamalkan oleh parti kerajaan ataupun parti pembangkang.

Formula bagi politik Malaysia sejak dahulu ialah bersatu dalam satu barisan. Ini formula politik di Malaysia. Dan kini modul perkongsian kuasa dalam Barisan Nasional cuba diikuti oleh pakatan parti pembangkang pada pilihan raya lalu di antara Parti Islam Se-Malaysia atau PAS[19], Parti Tindakan Demokratik atau DAP[20], Parti Keadilan Rakyat atau PKR[21] dan Parti Rakyat Malaysia (PRM)[22] yang menamakan gabungan mereka sebagai Barisan Alternatif, dan dikenali sebagai Pakatan Rakyat pada masa kini.

Selama 51 tahun perkongsian kuasa, usaha Barisan Nasional menampakkan kejayaan di mana ia berjaya meletakkan nama Malaysia kembali di pentas utama dunia selepas kejatuhan Kerajaan Melayu Melaka pada 1511. Barisan Nasional terbukti berjaya.

Masyarakat negara ini seharusnya tidak boleh menafikan kejayaan yang telah dibawa oleh kerajaan Barisan Nasional lima dekad lalu. Dasar-dasar Barisan Nasional yang kukuh dan kepimpinannya yang cemerlang berjaya membawa rakyat Malaysia menikmati hidup aman damai dan harmoni walaupun dalam masyarakat berbilang kaum, berbilang bahasa dan berbilang agama.

Dasar bertolak ansur kerajaan BN yang diwakili oleh parti berteraskan pelbagai kaum dan kaum tertentu perlu dipelihara dan dipertahankan. Dasar perkongsian kuasa dan keputusan sebulat suara yang dipegang oleh BN dalam menangani sesuatu masalah negara atau polemik dalaman anggota komponen ternyata amat baik bagi negara ini, selain BN bernasib baik mempunyai parti-parti politik yang tidak ekstrem.

Anggota komponen BN harus sedar dan menerima hakikat bahawa negara ini adalah sebuah negara berbilang kaum dan pelbagai agama, oleh itu mereka patut mengamalkan sikap toleransi antara kaum, budaya, agama dan bahasa kaum-kaum lain. Istimewanya dasar perkongsian kuasa BN ialah menolak pandangan radikal supaya dasar asimilasi dilaksanakan demi perpaduan kaum. Justeru, Malaysia terus melaksanakan pendidikan serta penggunaan bahasa di sekolah-sekolah mengikut kaum itu sendiri berasaskan Dasar Pendidikan Negara. Tiada negara di dunia yang mengamalkan sistem pendidikan seperti yang dijalankan di negara kita.

PERKONGSIAN KUASA DI MALAYSIA

Jikalau kita menelusuri sejarah kontrak sosial ini, dua bentuk persetujuan telah dicapai antara bangsa Melayu dan kaum bukan Melayu. Pertama, kaum bukan Melayu hendaklah menerima hakikat bahawa orang Melayu adalah pewaris Tanah Melayu, maka warisan Melayu seperti agama Islam, bahasa Melayu, tanah-tanah orang melayu dan hak-hak untuk memerintah negeri Melayu hendaklah dipelihara, dijamin dan dikekalkan selepas kemerdekaan dicapai.

Perjanjian yang kedua ialah orang Melayu bersetuju i) bahawa tiap-tiap penduduk Tanah Melayu yang lahir di Tanah Melayu sebelum merdeka hendaklah diterima sebagai warganegara Persekutuan Tanah Melayu menerusi undang-undang secara automatik, ii) hak budaya kaum lain termasuk bahasa dan agama mereka dipelihara iaitu tidak dihapuskan, iii) orang melayu bersetuju berkongsi dengan kaum-kaum bukan Melayu dalam aspek pemerintahan.

Maka persetujuan ini telah diletakkan sebagai isi kandungan dalam Perlembagaan Persekutuan seperti yang terkandung dalam Artikel 153[23] yang menyatakan bahawa Yang Dipertuan Agong bertanggungjawab memelihara kedudukan istimewa orang Melayu termasuk peribumi Sabah dan Sarawak dalam bidang pendidikan (seperti biasiswa, kemudahan latihan dan kuota tempat di institusi pendidikan awam), perkhidmatan awam (kuota dalam pengisian jawatan), bidang ekonomi dan perniagaan (kuota dalam pemberian permit dan lesen) dan hak Melayu dalam tanah rizab.
Sejauh manakah generasi muda hari ini tanpa mengira kaum menyedari akan kewujudan kontrak sosial ini dan sanggup untuk menerima dan menghormatinya. Senario pada hari ini menunjukkan betapa masih ada lagi rakyat Malaysia yang tidak memahami ruang lingkup perkongsian kuasa dan prinsip perjanjian ini. Seperti contoh, sehingga kini kita masih menghadapi pelbagai persoalan dan cabaran yang dilontarkan oleh pihak tertentu yang dilihat lebih bersifat provokatif untuk mengeruhkan perpaduan kaum. Maka dalam menjawab persoalan ini, pemahaman yang lebih mendalam berhubung konsep dan prinsip asas tadi harus dijelaskan kepada seluruh rakyat.

Terdahulu negara tersentak dengan ancaman Suqiu[24] terhadap “hak-hak keistimewaan” dan “ketuanan Melayu” menerusi satu memorandum yang mengandungi 83 isi tuntutan yang dikemukakan lebih dari 2,000 persatuan cina terhadap kerajaan. Menurut Datuk Dr Hasan Ahmad, tuntutan tersebut dianggap oleh kaum lain sebagai tuntutan untuk mengubah atau mencabar atau memusnahkan kontrak sosial. Sekiranya kontrak sosial mahu diubah oleh dasar atau tuntutan baru itu, maka orang Melayu berhak menuntut supaya dasar tersebut dibatalkan.

Pada hakikatnya, prinsip yang meliputi kontrak sosial seperti hak istimewa orang Melayu tidak boleh disentuh, dicabar atau dijadikan bahan permainan termasuk dalam Parlimen. Menurut Akta Hasutan 1948[25], tindakan seperti membentangkan draf cadangan pindaan Artikel 153 Perlembagaan Persekutuan ke Parlimen dianggap sebagai “menghasut” dan bersalah di sisi undang-undang.

KONSEP KONTRAK SOSIAL

Idea tentang kontrak sosial (social contract) telah dikemukakan oleh Plato, seorang ahli falsafah Greek lebih 2500 tahun yang lalu dalam tulisannya Republic. Ramai ahli falsafah terkemudiannya menerangkan konsep kontrak sosial ini, antaranya ialah Hugo Grotius, Kant, Rousseau dan Hobbes. Ahli-ahli falsafah ini bersetuju tentang wujudnya kontrak sosial antara pemerintah dengan rakyat. Idea kontrak sosial itu diasaskan atas premis bahawa kuasa terletak pada rakyat jelata.

Kontrak sosial di Malaysia merujuk kepada perjanjian oleh bapa-bapa kemerdekaan negara dalam Perlembagaan, dan merupakan penggantian beri-memberi atau quid pro quo[26] melalui Perkara 14-18 yang berkenaan dengan pemberian kewarganegaraan Malaysia kepada orang-orang bukan Melayu, dan Perkara 153 yang memberikan hak istimewa rakyat kepada mereka daripada kaum bumiputera. Istilah ini juga kekadang digunakan untuk merujuk kepada bahagian-bahagian yang lain dalam Perlembagaan, seperti Perkara yang mengatakan bahawa Malaysia adalah sebuah negara sekular.

Kontrak sosial merupakan satu istilah permuafakatan antara kaum yang dicapai sebelum merdeka melalui satu persetujuan di kalangan rakyat dan pemimpin yang terdiri daripada kaum Melayu, Cina dan India. Pemeteraian kontrak sosial ini juga turut disertai dan dipersetujui oleh parti-parti yang mereka wakili iaitu UMNO, MCA dan MIC.

Istilah ini sebenarnya tidak wujud dalam Perlembagaan Persekutuan 1957 tetapi dari perspektif lain, kontrak sosial sememangnya wujud dalam sejarah negara dan permuafakatan yang dicapai itulah yang mentakrifkan negara kita dan seterusnya menentukan sifat negara.

Kontrak sosial sebenarnya merupakan watikah asas keadilan sosial untuk negara. Keadilan sosial yang terkandung dalam perjanjian ini merangkumi bukan sahaja soal keadilan ekonomi tetapi juga keadilan politik dan keadilan kebudayaan. Oleh itu, kontrak sosial yang dipersetujui perlu dijadikan rujukan asas segala usaha untuk menegakkan keadilan sosial di negara ini[27].

ELEMEN-ELEMEN KONTRAK SOSIAL MENURUT PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN

Perlembagaan Persekutuan adalah hasil daripada persetujuan yang tercapai antara penduduk di Malaysia daripada kalangan kaum Melayu, Cina dan India. Perlembagaan Malaysia bukan sahaja dokumen perundangan akan tetapi ia adalah kontrak sosial dan perjanjian perdamaian[28].

Beberapa peruntukan yang digubal dalam perlembagaan mengekalkan beberapa elemen penting yang menjadi tradisi sejak zaman sebelum penjajahan British lagi. Para penggubal menganggap elemen-elemen tersebut penting memandangkan peranan yang dimainkan dalam menjaga kestabilan negara terutamanya dalam konteks negara Malaysia yang berbilang kaum[29]. Peruntukan itu adalah hasil proses tawar menawar pada asasnya merupakan semangat perjanjian di sebalik pembentukan perlembagaan tahun 1957.

Inilah asas yang menjadi perjanjian sosial di antara masyarakat majmuk di Malaysia dengan memberi pengorbanan dalam sebahagian hak mereka dan menghormati hak sebahagian komuniti yang lain demi untuk keseimbangan dalam masyarakat bernegara. Sebahagian besar ciri-ciri utama yang wujud dalam Perlembagaan Persekutuan adalah unsur kontrak sosial yang dipersetujui oleh semua pihak.

Di mana-mana negara sekalipun, perlembagaan lahir hasil daripada perkembangan sejarah. Perlembagaan juga merakamkan sifat-sifat asal negara itu merangkumi nilai tradisi, politik dan kebudayaan[30]. Elemen-elemen ini yang menjadikan bangsa Melayu selaku bangsa asal yang mendiami Tanah Melayu memasukkannya ke dalam Perlembagaan bagi mengekalkan keistimewaan mereka. Di antaranya ialah:

1.    KEDUDUKAN RAJA MELAYU DALAM PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN

Apabila akhirnya kemerdekaan diberikan kepada Semenanjung Tanah Melayu, institusi beraja diteruskan tetapi dengan beberapa pindaan supaya dapat disesuaikan dengan konsep demokrasi berparlimen dan kemerdekaan[31]. Raja-raja Melayu menggambarkan ciri-ciri asal negara Malaysia. Ia melambangkan kesinambungan sejarah dan menjadi sebahagian daripada identiti negara. Sebagai sebuah negara Malaysia perlu mempunyai satu identiti yang berbeza dan unik. Inilah yang mendasari bentuk dan menyediakan isi kepada upacara rasmi negara. Kewujudan sistem beraja dengan sendirinya menekankan ciri-ciri kemelayuan[32].

2.    HAK KEISTIMEWAAN ORANG MELAYU

Perlembagaan Malaysia mempunyai satu peruntukan khas di bawah Perkara 153 bertujuan memelihara orang Melayu dan bumiputera Sabah dan Sarawak. Perkara 153 menggariskan bahawa Yang di-Pertuan Agong, atas nasihat Perdana Menteri atau Kabinet berkuasa menyelamatkan kedudukan istimewa orang Melayu dan bumiputera di Sabah dan Sarawak dengan menentukan bagi mereka kedudukan dalam perkhidmatan awam, agihan biasiswa atau pendidikan atau latihan atau lain-lain kemudahan yang diberikan oleh kerajaan termasuk permit atau lesen perniagaan.

Kedudukan istimewa orang Melayu yang lain termasuklah peruntukan Perkara 89 dan 90 yang memberi kuat kuasa undang-undang perlembagaan kepada undang-undang yang sedia ada yang melindungi tanah rizab orang Melayu daripada diselenggarakan oleh orang bukan Melayu. Selain itu, kemasukan orang Melayu dalam Rejimen Askar Melayu dengan pengecualian orang bukan Melayu sebagaimana dikuatkuasakan oleh Perkara 8(5)(f) juga dianggap sebagai sebahagian daripada kedudukan istimewa orang Melayu.

3.    KEDUDUKAN ISLAM SEBAGAI AGAMA RASMI

Kedudukan Islam dalam Perlembagaan Persekutuan adalah satu isu yang penting kerana ianya berkait rapat dengan kepercayaan dan iktikad majoroti penduduk (orang Melayu) di Malaysia. Dalam Perlembagaan Persekutuan dinyatakan:
“Agama Islam ialah bagi seluruh persekutuan, tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian Persekutuan” [33]

4.    BAHASA MELAYU

Bahasa sentiasa menjadi faktor terpenting dalam menentukan jati diri sesebuah negara. Keperluan satu bahasa kebangsaan yang menjadi pertuturan umum dan bahasa rasmi kebangsaan disedari penting untuk menyatukan rakyat pelbagai asal keturunan yang masing-masing dengan bahasa pertuturannya. Maka bahasa Melayu diiktiraf sebagai bahasa kebangsaan dengan tidak mengenepikan bahasa lain. Ini seperti yang termaktub dalam Perkara 152 Perlembagaaan Persekutuan.
  
KONTRAK SOSIAL SEBAGAI PEMANGKIN PERPADUAN MASYARAKAT

Ternyata selepas hampir 50 tahun kemerdekaan Malaysia, formula kontrak sosial yang telah dipakai telah berjaya menyatupadukan semua kaum di Malaysia tanpa berlaku sebarang konflik perkauman. Kontrak sosial ternyata berjaya membawa semua kaum di Malaysia supaya menghormati setiap hak yang telah ditetapkan oleh perlembagaan.

Sesungguhnya elemen-elemen kontrak sosial yang terdapat dalam perlembagaan persekutuan tanpa syak lagi adalah asas bagi melicinkan urusan pentadbiran negara dan menolak sebarang percubaan mempersoalkan mana-mana daripada elemen-elemen ini yang berkemungkinan akan mencetuskan perpecahan dalam keharmonian kaum.

Meskipun kaum bumiputera telah diberi keistimewaan dan hak-hak tertentu berbanding kaum lain, namun kaum lain turut sama dapat hidup dengan aman damai di Malaysia tanpa berasa tertindas. Ini berlainan dengan masyarakat di negara lain yang mempunyai konflik antara kaum disebabkan kegagalan masyarakat untuk menghormati dan patuh pada kontrak sosial yang telah ditetapkan.

Sebahagian masyarakat bukan Melayu ketika itu mungkin menganggap kontrak sosial sebagai sesuatu yang dikaitkan dengan kewarganegaraan yang diberikan kepada mereka yang pada masa itu terdiri daripada imigran atau keturunan imigran. Generasi bukan Melayu sekarang pula menganggap kontrak sosial ini sebagai sesuatu yang sudah berlalu.

Mereka tidak nampak kenapa ia masih dibangkitkan kerana bagi mereka ia adalah sesuatu yang automatik. Mereka juga tahu bahawa hak istimewa masyarakat bumiputera merupakan sebahagian daripada kontrak sosial. Jika golongan bukan Melayu diberi kewarganegaraan atas syarat-syarat tertentu, masyarakat bumiputera pula diberi perlindungan melalui fasal-fasal dalam Perlembagaan tentang hak istimewa orang Melayu.

Masyarakat bukan Melayu perlu memahami kedudukan politik Melayu atau sistem kenegaraan Melayu dan pengaruhnya kepada negara manakala kaum bumiputera pula harus memahami hakikat masyarakat berbilang kaum yang terdapat di negara ini. Hak orang bukan Melayu tidak boleh disangkal kerana mereka telah lama bermastautin, lahir dan membesar di Malaysia. Apa yang penting ialah kedua-dua pihak harus saling memahami.

Oleh yang demikian seharusnya polemik berkaitan hak-hak kaum lain tidak dipertikaikan. Ini kerana ia telah pun termaktub di dalam perlembagaan. Polemik berkaitan isu kontrak sosial ini yang pernah ditimbulkan oleh Jawatankuasa Rayuan Pilihan Raya Persatuan-Persatuan Cina Malaysia (Suqiu)[34] satu ketika dahulu iaitu tentang 83 tuntutan yang antaranya menuntut agar semua orang Cina mendapat semua perkara yang dianggap sebagai hak mereka dan menghapuskan hak istimewa orang Melayu[35].

Begitu juga kenyataan yang dibuat oleh Presiden Gerakan, Datuk Seri Dr. Lim Keng Yaik yang menggesa parti-parti politik melupakan formula kontrak sosial antara kaum yang dipersetujui semasa negara mencapai kemerdekaan[36]. Menurut beliau, formula kontrak sosial itu membuatkan masyarakat Cina dan India merasa kecil hati.

Malah negara kita juga pernah gempar dengan kontroversi berkaitan isu agama iaitu tentang cadangan penubuhan Suruhanjaya Antara Agama (IFC) dan usaha Kumpulan Artikel 11[37] yang giat berkempen ke seluruh negara atas nama kebebasan individu untuk bebas beragama sehingga menimbulkan suasana tegang dan kemarahan umat Islam setiap kali mengadakan kempen-kempen penerangan mereka[38]. Ini adalah rentetan daripada polemik kes Lina Joy dan juga kes perebutan mayat Moorthy, Nyonya Tahir dan juga terbaru Rayappan antara keluarga si mati dan juga Jabatan Agama Islam.

Contoh-contoh polemik di atas seharusnya perlu dielakkan bagi menjamin keharmonian kaum di Malaysia. Ini kerana mengapa perlu kontrak sosial dirombak sedangkan formula tersebut ternyata berkesan hingga kini dalam memelihara perpaduan antara kaum. Mungkin jika kontrak sosial ini dibincangkan secara terbuka akan memberi lebih banyak kesan kepada setiap kaum di Malaysia.

Ini kerana jika ini berlaku sudah tentu orang Melayu akan memprotes dan ini sekaligus boleh menimbulkan ketidaksefahaman dan sangsi dengan kaum lain. Oleh itu bagi mengelakkan rasa prejudis ini dan mengelak perkara yang tidak dijangka adalah lebih wajar jika kita mengambil jalan mudah dengan tidak membicarakan tentang kontrak sosial secara terbuka.

PENUTUP

Hakikat yang tidak boleh dinafikan, Islamlah agama terawal yang merumuskan satu formula berkaitan kontrak sosial sebagaimana terangkum dalam Piagam Madinah[39]. Bahkan kontrak sosial yang terbentuk melalui piagam Madinah pada tahun 622 Masihi itu merupakan dokumen perlembagaan terawal yang menggariskan prinsip kebebasan dan jaminan hak yang sama rata di kalangan pelbagai kaum. Kontrak sosial tersebut jelas memperincikan dan mempertahankan hak, keistimewaan, kebebasan dan keadilan setiap kaum di Madinah termasuklah kaum minoriti Yahudi dan bangsa Arab lain yang bukan beragama Islam. Malah jika diperhatikan, daripada 47 fasal yang terkandung dalam Piagam tersebut, 24 daripadanya adalah peruntukan hak dan kewajipan masyarakat minoriti Yahudi.

Prinsip kebebasan agama amat dititikberatkan Rasullulah S.A.W hingga baginda secara jelas menegah sebarang usaha merobohkan gereja dan tempat peribadatan agama lain bagi digantikan dengan pembinaan masjid. Paderi-paderi dan ketua-ketua agama lain yang tinggal di Bukit Sinai umpamanya turut diberikan perlindungan khusus oleh Rasullulah daripada sebarang ancaman musuh.

Dr. Yusuf Qardawi[40] dalam bukunya Ghayr al-Muslimeen fil Mujtama’ al-Islami turut membahaskan hak-hak golongan minoriti bukan Islam yan wajib dipertahankan oleh kerajaan Islam. Dalam bukunya, beliau menukilkan bagaimana di zaman Khalifah Umar al-Khatab, rakyat di Ilya (Jerusalem) yang terdiri daripada pelbagai agama termasuklah Islam, Kristian dan Yahudi dikehendaki memeterai kontrak sosial yang menjamin kebebasan dan hak mereka sebagai warganegara. Ini termasuklah hak untuk mengamalkan agama masing-masing tanpa penindasan dan penganiyaan. Malah penegasan turut dibuat bagi menghalang sebarang unsur-unsur paksaan terhadap penganut agama lain termasuklah yang bersangkutan dengan harta mahupun agama.

Khalid al-Walid[41] pula dalam memeterai kontrak sosial bersama masyarakat ‘Anat yang terdiri daripada penganut agama Kristian jelas menyebut: ”Penganut Kristian mesti dibenarkan membunyikan loceng pada bila-bila masa sama ada siang mahupun malam kecuali ketika waktu umat Islam menunaikan solat. Mereka juga mesti dibenarkan mempamerkan salib pada hari-hari perayaan.

Begitulah betapa hebatnya prinsip keadilan dan kebebasan yang menjadi bukti perakuan Islam terhadap pembentukan kontrak sosial di kalangan masyarakat berbilang kaum dan agama. Semuanya bagi menjamin keharmonian dan kestabilan yang berkekalan khususnya dalam realiti masyarakat plural dalam sesebuah negara.

Oleh itu, dalam mencari formula terbaik untuk merangka pelan tindak memperkasakan persefahaman dan perpaduan kaum di Malaysia kini, semua pihak khususnya generasi muda negara ini harus kembali menelusuri sejarah serta menjunjung prinsip dan nilai luhur yang terkandung di dalam ajaran Islam[42]. Hanya dengan memahami sejarah dan menjiwai prinsip Islam sejati generasi muda akan lebih menghargai kontrak sosial dan sensiviti kaum yang menjadi teras pembentukan masyarakat Malaysia yang aman, makmur dan bahagia.
  
RUJUKAN

1.    Shuid, Mahdi & Yunus, Mohd. Fauzi (2001). Malaysian Studies, p. 50. Longman. ISBN 983-74-2024-3.
2.    Putra, Tunku Abdul Rahman (1986). Political Awakening, p. 31. Pelanduk Publications. ISBN 967-978-135-6.
6.    "Anwar: Time to suspend NEP". (Oct. 28, 2005). Malaysiakini.
7.    Badawi, Abdullah Ahmad (2004). "The Challenges of Multireligious, Multiethnic and Multicultural Societies". Retrieved Nov. 12, 2005.
9.    Yusoff, Marzuki & Samah, Nazeri Nong (Aug. 14, 2005). "Kontrak sosial: Kenyataan Keng Yaik bercanggah Perlembagaan Persekutuan". Utusan Malaysia.


[1]   Lijphart's field of specialization is comparative politics, and his current research is focused on the comparative study of democratic institutions. Lijphart has received numerous awards throughout his prestigious career in recognition of his groundbreaking research. In 1989, he was elected to the National Academy of Arts and Sciences and from 1995-96 served as President of the American Political Science Association.
[2]   Parti Perikatan didaftarkan pada 30 Oktober 1957, sebuah parti politik Malaysia yang dimulakan oleh orang Melayu yang bersatu di bawah presiden UMNO, Tunku Abdul Rahman Putra, untuk satu tujuan, iaitu berjuang bagi mendapat kemerdekaan dan kebebasan daripada penjajah British untuk Tanah Melayu. Kaum Cina dan India, bergabung dengan orang Melayu untuk tujuan yang sama. Gabungan parti itu menggunakan lambang "Kapal Layar". Parti ini berjaya untuk memperoleh pemerintahan sendiri daripada pihak British dan menjalankan pemerintahan demokrasi sehingga hari ini.
[3] Kamus Dewan Bahasa Dan Pustaka
[4]   Kamus Dewan Bahasa Dan Pustaka
[5]   Diasaskan pada 11 Mei 1946
[6]   Diasaskan pada 27 Februari 1949
[7]   Diasaskan Ogos 1946
[8]   Diasaskan pada 24 Mac 1968.
[9]   Ditubuhkan pada tahun 1953 oleh adik-beradik Seenivasagam.
[10]             Ditubuhkan pada 30 April 1973 daripada penggabungan tiga buah parti politik di Sarawak, iaitu Parti Negara Sarawak (PANAS), Barisan Rakyat Jati Sarawak (BARJASA), dan Parti Pesaka Anak Sarawak (PESAKA).
[11]             Perbalahan pucuk pimpinan dalam Parti Kebangsaan Sarawak (SNAP) telah melahirkan parti yang dipimpim oleh Presiden SPDP iaitu Dato' Sri William Mawan Ikom atas nasihat ketua menteri Sarawak.
[12]             Ditubuhkan pada 1983 di Malaysia.
[13]             Sebuah parti bercorak pelbagai kaum tetapi keahliannya terdiri daripada kaum Cina. Parti ini ditubuhkan pada tahun 1959 di Sarawak.
[14]             Ditubuhkan pada 11 Mac 1994.
[15]             Didaftarkan pada 21 Januari 1994 oleh pemisah dari Parti Bersatu Sabah pimpinan bekas Ketua Menteri Sabah, Datuk Yong Teck Lee.
[16]             Merupakan salah satu parti politik Malaysia yang merupakan komponen Barisan Nasional di Sabah. Majoriti keahlian parti ini didominasi oleh kaum Cina.
[17]             Sebuah parti gabungan yang terdiri daripada dua buah parti politik, iaitu Pertubuhan Kebangsaan Kadazan Bersatu (UNKO) dan Pertubuhan Pasok Momogun Bersatu (PASOK MOMOGUN) yang ditubuhkan di Sabah, Malaysia pada Mei 1964 untuk membela hak-hak serta memperjuangkan pembangunan kaum Kadazandusun Murut/ (KDM).
[18]             Sebuah parti politik Malaysia yang ditubuhkan oleh Datuk Joseph Pairin Kitingan pada tahun 1985 di Sabah.Parti politik ini pernah menguasai Dewan Undangan Negeri negeri Sabah pada tahun 1985 sehingga 1994. Parti ini juga menguasai 14 kerusi Parlimen dalam Pilihan Raya Umum Malaysia 1990.

[19]             PAS atau Persatuan Islam Se-Malaya (nama asalnya) adalah pertubuhan atau parti politik Melayu yang berteraskan kepada Islam yang ditubuhkan sebelum merdeka sesudah Hizbul Muslimin diharamkan oleh penjajah pada tahun 1948. Diasaskan pada 4 April, 1956.
[20]             Sebuah parti serpihan daripada Parti Tindakan Rakyat (PAP: People's Action Party) di Singapura yang diasaskan pada Oktober 1965 sebelum didaftarkan secara rasmi enam bulan kemudian sebagai salah satu parti politik Malaysia, pada 18 Mac 1966.
[21]             Parti KeADILan Rakyat (PKR, juga dikenali sebagai KeADILan) adalah salah sebuah parti pembangkang di Malaysia yang merupakan hasil gabungan Parti Keadilan Nasional dan Parti Rakyat Malaysia (PRM). Diasaskan pada April 4, 1999.
[22]             Parti Rakyat merupakan salah satu daripada parti politik tertua di Malaysia yang diasaskan oleh Ahmad Boestamam dan pejuang-pejuang kemerdekaan yang lain pada 11 November 1955. Parti ini diinspirasikan menerusi perjuangan kemerdekaan di Indonesia yang diketuai oleh Sukarno, parti ini sesuai untuk semangat patriotisme ke atas Se-Malaya/Indonesia. Diasaskan pada 11 November 1955
[23] Artikel 153 Perlembagaan Malaysia - Perkara 153. Perizaban kuota berkenaan dengan perkhidmatan, permit, dsb. bagi orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara Negeri Sabah dan Sarawak.
[24]             JAWATANKUASA RAYUAN PILIHAN RAYA PERSATUAN-PERSATUAN CINA MALAYSIA. Suqiu dibentuk oleh NGO Cina menjelang pilihanraya umum 1999 dan tuntutannya mendapat dukungan lebih 2000 persatuan kaum itu sehingga dipertikaikan dengan lantang oleh Pemuda Umno pada 2001.

[25]             49(1)(a) AKTA HASUTAN 1948 (ISU PERKAUMAN)

Akta Hasutan 1948 merupakan suatu akta undang-undang di Malaysia yang digubal untuk menghalang perbincangan yang dikatakan sebagai menghasut. Akta ini sebenarnya digubal oleh penjajah British pada tahun 1948. Akta ini menjadikan ucapan yang "mempunyai kecenderungan menghasut" sebagai suatu kesalahan jenayah.
[26]             From the Latin meaning "something for something" - Merriam-Webster, the American Heritage Dictionary of the English Language (Fourth Edition), and the New Dictionary of Cultural Literacy (Third Edition)[1] all so define the Latin expression.
[27]             Mohamed Jauhar Hassan, 1996
[28] Ahmad Mohd Ibrahim, 1995
[29]             Mohamed Suffian Hashim, 1984
[30]             Abdul Aziz Bari, 1996
[31]             Salleh Abbas, 1997
[32]             Abdul Aziz Bari, 1999
[33]             Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan
[34]             Suqiu dibentuk oleh NGO Cina menjelang pilihanraya umum 1999 dan tuntutannya mendapat dukungan lebih 2,000 persatuan kaum itu sehingga dipertikaikan dengan lantang oleh Pemuda Umno pada 2001.
[35]             Utusan Malaysia, "Suqiu keterlaluan - PM -Kerajaan menolak sama sekali tuntutan hapuskan hak istimewa orang Melayu", 24 Disember 1998
[36]             Utusan Malaysia, "Lupakan formula kontrak sosial antara kaum - Keng Yaik", 14 Ogos 2005
[37]             Artikel 11 Perlembagaan Malaysia menyatakan bahawa Islam merupakan Agama rasmi Persekutuan. Sungguh pun begitu setiap orang berhak mempraktikkan agamanya sendiri.
[38]             Utusan Malaysia, "Agama: Amaran Pemuda UMNO bangkit kesedaran", 16 November 2006
[39]             Piagam Madinah telah digubal oleh Nabi Muhammad s.a.w. pada tahun 622M bersamaan tahun pertama Hijrah, merupakan perlembagaan bertulis pertama di dunia.

    Kandungan piagam ini terdiri daripada 47 fasal.
·   23 fasal piagam tersebut membicarakan tentang hubungan antara umat Islam sesama umat Islam iaitu antara Ansar dan Muhajirin.
·   24 fasal yang berbaki membicarakan tentang hubungan umat Islam dengan umat bukan Islam iaitu Yahudi.

Selain Piagam Madinah, ia juga dikenali dengan pelbagai nama seperti Perjanjian Madinah, Dustar al-Madinah dan juga Sahifah al-Madinah. Selain itu Piagam Madinah juga boleh dikaitkan dengan Perlembagaan Madinah kerana kandungannya membentuk peraturan-peraturan yang berasaskan Syariat Islam bagi membentuk sebuah negara (Daulah Islamiyah) yang menempatkan penduduk yang berbilang bangsa atau kaum.

[40]             Yusuf Qardhawi, lahir di Shafth Turaab, sebuah desa kecil di Mesir, pada 9 September 1926, adalah seorang pemikir Islam modern yang sangat yakin akan kebenaran cara pemikiran Islam yang moderat (al-washatiyah al-Islamiyah). Sebagai ulama yang memiliki apresiasi tinggi terhadap Alquran dan Sunnah Nabi, Qardhawi sangat fleksibel dalam memandang ajaran Islam. Namun pada saat yang sama, ia juga sangat kuat dalam mempertahankan pendapat-pendapatnya yang digali dari Alquran dan Hadits.
[41]             Khalid ibni al-Walid adalah bangsa Arab berketurunan Quraisy yang pernah menentang Nabi Muhammad s.a.w. , juga dikenali sebagai Saifullah al-Maslul (bermaksud Pedang Allah yang terhunus atau Pedang Allah), adalah antara panglima tentera Arab yang memainkan peranan penting dalam peperangan antara tentera Islam dengan tentera Byzantine dan tentera Parsi pada kurun ketujuh. Beliau terkenal dengan kebijaksanaan dalam peperangan dan mengepalai tentera Islam ketika zaman Nabi Muhammad s.a.w. dan juga zaman khalifah Abu Bakar as-Siddiq dan Uthman bin Affan. Pencapaian terulung ialah dimana beliau berjaya mengalahkan pasukan Byzantine dan Parsi dalam masa tiga tahun sahaja.
[42]             Asyraf Wajdi Dusuki, 2006

2 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...