Carian Artikel (Mulakan Dengan Bismillah)

Monday, April 16, 2012

Rancangan Makanan Tambahan Di Sekolah

* Bahan Ilmiah Ini Telah Dikemukakan Kepada Universiti Terbuka Malaysia
* Dicatat Oleh: Bicara Marhaen  |  01:32:11  |  17042012


PENDAHULUAN
          Pemakanan merangkumi hubungan makanan dengan kesejahteraan (kesihatan) tubuh manusia, termasuklah metabolisme makanan, nilai pemakanan sesuatu jenis makanan, keperluan makanan daripada segi kualitatif dan kuantitatif pada peringkat umur dan tahap perkembangan yang berbeza untuk memenuhi keperluan perubahan fisiologi dan aktiviti, perubahan dalam keperluan nutrien dan makanan yang mengiringinya atau mencegah penyakit dan faktor-faktor sosio ekonomi, psikologi, sosial dan juga budaya yang mempengaruhi pemilihan dan pengambilan makanan.
            Menurut Coralie Mathews ( 2001) kesihatan kanak-kanak ialah kesihatan yang merujuk kepada keadaan fizikal, mental, rohani dan keadaan sosial sekitar kanak-kanak, ahli keluarga mereka dan seluruh ahli masyarakat;
“ Health includes the physical, mental, spiritual and social wellbeing of children, their families and the whole community.”
            Menurut Prof. Madya Dr. Mohd Nasir Hashim (1992), cara terbaik amalan pemakanan ialah dengan memastikan makanan seimbang diperolehi ketika bersarapan, makan tengah hari dan makan malam, ia juga penting untuk membolehkan pelajar menghadapi detik penting iaitu mengulangkaji, tubuh yang sihat, tidur yang cukup dan persekitaran yang menggalakkan pembelajaran iaitu faktor-faktor yang mempengaruhi pencapaian pelajar dalam sesuatu peperiksaan. Menurut beliau lagi seseorang perlu memastikan bahawa mereka mendapat bekalan makanan yang mencukupi daripada kumpulan vitamin, karbohidrat, protein dan zat besi. Karbohidrat diperlukan kerana ia menjadi sumber tenaga, manakala protein diperlukan kerana ia membantu pembinaan tubuh dan otot. Vitamin pula berperanan sebagai nutrien yang mencegah penyakit dan membantu kesempurnaan perjalanan metabolisme dalam badan. Zat besi penting untuk pembentukkan enzim kerana ia menjadi pemangkin untuk menggalakkan perubahan satu bahan kimia ke peringkat yang lain.

           Bekas Naib Canselor Universiti Malaya (UM), Profesor Diraja Ungku Aziz (1999) pula berkata, selain faktor pemakanan, kurangnya keazaman berfikir merupakan kelemahan pelajar Melayu dalam mencapai kecemerlangan akademik, tambah beliau lagi;
“ pemakanan bukan faktor utama kerana badan yang sihat, besar berotot tidak semestinya otak cergas dan pandai, untuk jadi pandai ada benda yang kita kena buat dan kena makan”.
            Amalan pemakanan yang sihat amat penting bagi membantu mencegah terjadinya penyakit-penyakit yang kronik kerana pengambilan makanan yang berkualiti dapat menghasilkan perkembangan sepenuhnya, meningkatkan tahap keupayaan mental dan fizikal serta memberi rintangan terhadap penyakit di samping tidak mempercepatkan proses penuaan.
            Rancangan Makanan Tambahan (RMT) yang sedang dilaksanakan di sekolah-sekolah rendah di seluruh Malaysia pada hari ini merupakan salah satu usaha murni pihak Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) dalam membantu meningkatkan taraf pemakanan dan kesihatan pelajar-pelajar sekolah rendah. Rancangan ini bertujuan untuk memberi makanan percuma kepada pelajar-pelajar sekolah rendah terutamanya dari luar bandar dan dari golongan berpendapatan rendah secara imbuhan. Rancangan ini buat sementara waktu adalah untuk memperbaiki taraf pemakanan dan kesihatan mereka sebagai satu usaha yang selaras dengan Dasar Pembangunan Negara. Menurut Aziz Ibrahim (1997) dalam Buletin Institut Penyelidikan Perubatan (IMR), rancangan ini sebenarnya tidak bermaksud untuk mengambil alih tugas ibu bapa dalam memberi makanan kepada anak-anak mereka tetapi ianya adalah sekadar membekalkan 25% hingga 33% daripada keperluan kalori harian kanak-kanak tersebut (http://ilmusvr:imr.gov.my, 20 Ogos 2007).
            Kementerian Pelajaran Malaysia telah mengendalikan pelbagai program untuk membantu murid mencapai satu tahap kecemerlangan dalam mengikuti pelajaran dengan lancar dan berkesan. Antara program utama yang telah dilancarkan ialah program Rancangan Makanan Tambahan (RMT). Program RMT diwujudkan untuk membantu para murid yang berasal dari keluarga miskin atau kurang berkemampuan untuk menikmati makanan tambahan secara imbuhan sebanyak 25%-33% daripada keperluan harian seorang murid. Rancangan ini merupakan satu usaha yang bersepadu dan selaras dengan usaha-usaha lain yang berkaitan dengan kesihatan murid sekolah.

DEFINISI KONSEP
            Rancangan Makanan Tambahan bermaksud memberi makanan tambahan secara imbuhan sebanyak 25% - 30% daripada keperluan harian pelajar. Program Rancangan Makanan Tambahan dilaksanakan bertujuan membantu meningkatkan taraf pemakanan serta kesihatan seseorang murid sekolah rendah daripada kalangan keluarga yang miskin. Dalam Laporan Jawatankuasa Kabinet Mengkaji Pelaksanaan Dasar Pelajaran 1979, program Rancangan Makanan Tambahan pada asalnya dikendalikan oleh Jabatan Perdana Menteri sebelum diperluaskan pelaksanaannya menurut pengesyoran dalam laporan tersebut kepada Kementerian Pendidikan Malaysia.
           
PROGRAM RANCANGAN MAKANAN TAMBAHAN
            Kementerian Pelajaran Malaysia telah mengambil daya usaha mengadakan program RMT di sekolah untuk membantu murid dari golongan tersebut agar mereka turut mendapat bekalan tenaga yang diperlukan untuk meneruskan persekolahan dengan penuh ceria dan bermakna. Pemberian makanan tambahan merupakan faktor utama yang boleh meninggalkan kesan yang mendalam terhadap pengambilan makanan seimbang kekal dalam ingatan murid. Oleh itu, guru yang dipilih sebagai ahli jawatankuasa RMT perlu mempunyai ilmu dan persediaan yang lengkap, mencukupi dan sesuai dalam mengurus program RMT dengan berkesan di sekolah masing-masing.      
            Keutamaan program RMT disasarkan kepada murid sekolah rendah yang berasal daripada golongan keluarga miskin yang berpendapatan di bawah RM400.00 sebulan. Walau bagaimanapun, bantuan ini turut mensasarkan murid yang mengalami malnutrisi dengan pengesanan dan pengesahan pegawai perubatan yang bertauliah. Di samping itu, peluang yang sama turut diberikan kepada murid yang tinggal jauh dari sekolah untuk dipertimbangkan menyertai program RMT jika keadaan kewangan mengizinkan (Kementerian Pelajaran, 2005).
            Perlaksanaan program RMT di sekolah merupakan makanan tambahan kepada murid sasaran yang membekalkan 25% hingga 33% jumlah keperluan harian dari segi taraf pemakanan murid. Perlaksanaannya mengambil kira faktor salah pemakanan, serangan penyakit, masalah pertumbuhan badan, pencapaian pelajaran serta kelakuan penyesuaian diri (Kementerian Pelajaran, 2005).
            Kementerian Pelajaran Malaysia membelanjakan kira-kira RM200 juta setahun untuk menjalankan program RMT di sekolah-sekolah rendah seluruh negara. Melalui program ini, setiap murid yang tersenarai dalam program RMT diberi bantuan dalam bentuk makanan dengan kadar RM 1.20 sehari bagi sekolah di Semenanjung Malaysia, dan RM1.35 sehari bagi sekolah di Sarawak, Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan (Kementerian Pelajaran, 2005).
             Pemakanan memberi kesan ke atas fizikal, dan mental pelajar. Apabila pelajar dapat menumpukan perhatian di dalam kelas, tahap kefahaman mereka akan meningkat dan ini akan memberi kesan peningkatan prestasi mereka dalam pelajaran. Pelaksanaan pengambilan makanan yang berkhasiat banyak membantu murid lebih bersedia untuk belajar dengan lebih sempurna. Bagi pelajar yang kurang bernasib baik, amalan pemakanan harian mereka seringkali tidak sempurna, malah pengambilan sarapan sebelum ke sekolah juga tidak mungkin berlaku. Oleh kerana itu, Kementerian Pelajaran Malaysia telah mengambil daya usaha mengadakan program RMT di sekolah untuk membantu murid dari golongan tersebut agar mereka turut mendapat bekalan tenaga yang diperlukan untuk meneruskan persekolahan dengan penuh ceria dan bermakna. Pemberian makanan tambahan merupakan faktor utama yang boleh meninggalkan kesan yang mendalam terhadap pengambilan makanan seimbang kekal dalam ingatan murid.
            Program RMT adalah untuk memberi makanan tambahan kepada murid sekolah rendah, namun terdapat objektif khusus RMT, iaitu;

  • 1.         Memberi makanan tambahan berzat dan seimbang kepada murid yang berkenaan.
  • 2.         Menyelenggarakan program pendidikan kesihatan dan pemakanan di sekolah.
  • 3.         Memupuk budaya sopan santun, disiplin, timbang rasa serta pelaksanaan-pelaksanaan yang diingini berkaitan dengan kebersihan diri, kebersihan makanan dan kebersihan alam sekitar.
  • 4.         Menggalakkan penglibatan dan penyertaan masyarakat dalam usaha sekolah.         
             Perakuan Laporan Jawatankuasa Kabinet 1979 telah memperakukan bahawa Rancangan Pelaksanaan Pemakanan dan Pemakanan dapat menghasilkan peningkatan taraf kesihatan umum, pertumbuhan tubuh badan yang tidak terencat, pengurangan serangan penyakit dan pertambahan daya pembelajaran murid. Ini telah mendorong Kementerian Pelajaran Malaysia meneruskan program Rancangan Amalan Makanan dan Pemakanan (AMP) dan khususnya RMT, disamping memperbaiki segala kelemahan yang mungkin berlaku (Kementerian Pelajaran, 2005).
            Terdapat beberapa kajian yang dibuat sebelum ini telah membuktikan hubungan yang positif di antara pemakanan dan perkembangan diri kanak-kanak terutama terhadap fungsi otak. Kajian terhadap kesan pemakanan pada fungsi otak kanak-kanak dan remaja menunjukkan pemakanan yang seimbang mempunyai kesan yang mendalam terhadap otak. Pengambilan protein, zat besi, iodin dan pengambilan sarapan pagi mempunyai kesan terhadap pembelajaran kanak-kanak dan tingkah laku. Pemakanan seperti asid lemak, mineral dan vitamin adalah penting dan turut dikesan mempunyai kaitan serta kesan terhadap fungsi otak. Pengambilan sarapan dapat meningkatkan kesan terhadap daya pembelajaran kanak-kanak. Memenuhi keperluan nutrisi sepanjang tempoh pembesaran di kalangan kanak-kanak adalah penting dalam pembangunan tingkah laku dan daya intelek.

PENGURUSAN DAN PERLAKSANAAN RMT
            Pelaksanaan pengurusan RMT di sekolah perlu dilaksanakan dengan mematuhi garis panduan yang telah ditetapkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia. Aspek pelaksanaan pengurusan yang meliputi aspek pemilihan murid hingga kepada penyediaan makanan perlu menjadi keutamaan dalam pengurusan RMT. Pengurusan RMT perlu dikendalikan seiring dengan keperluan pendidikan yang memberikan penekanan kepada aspek kepentingan pengambilan makanan. Oleh itu, ahli jawatankuasa RMT yang dilantik di sekolah perlu mempunyai kesediaan dan maklumat yang cukup dalam mengendalikan RMT terutama dari aspek mendidik murid-murid tentang pemakanan yang seimbang, kesihatan dan adab sopan yang sempurna.
            Keutamaan pelaksanaan program Rancangan Makanan Tambahan di sekolah, menitikberatkan pendidikan amalan pemakanan yang seimbang. Amalan pemakanan yang seimbang membekalkan kesemua nutrien yang diperlukan pada kadar yang betul (NCCFN, 2005). Amalan ini boleh dilakukan dalam pelbagai cara, namun demikian ia harus mengandungi amaun karbohidrat, lemak, protin, vitamin, mineral, serat dan air yang mencukupi (NCCFN, 2005). Jadual 2.1 menunjukkan secara ringkas senarai nutrien dan fungsinya.
            Makanan mengandungi tenaga, zat makanan (nutrien) dan komponen-komponen lain yang memberi kesan kepada kesihatan. Tenaga dan zat makanan yang penting sebab badan tidak dapat mengeluarkan sendiri dan mesti diambil dari makanan. Terdapat lebih 40 zat makanan yang dikumpul dalam enam jenis zat makanan utama iaitu karbohidrat, lemak, protein, vitamin, garam galian dan air.
            Karbohidrat, lemak dan protein adalah zat yang membekal tenaga, sebab mereka terdiri dari bahan kimia dikenali sebagai bahan organik yang mengandungi karbon dan boleh membakar. Protein, garam galian dan air adalah sebahagian dari komposisi tisu badan dan sangat penting untuk membina dan membaikpulih sel dan tisu. Vitamin adalah bahan dari pelbagai jenis organik terdapat dalam kandungan sedikit dalam makanan, tetapi amat penting untuk pembesaran dan kesihatan. Fungsi utama vitamin ialah mengawal proses badan seperti proses metabolisma, fungsi urat dan otot dan kesihatan tisu. Air adalah bahan pengawal, membawa bahan-bahan dalam bentuk cairan dalam jus pencernaan (penghadaman, darah dan tisu, membantu mengawal suhu badan. perkumuhan, pengaliran darah, dan lain-lain. Makanan juga mengandungi serat (fibre) berfungsi dengan air bagi menjaga proses pembuangan, membersih usus dan mengelak dari sembelit.
            Walaupun setiap nutrien berfungsi secara spesifik dalam badan, gabungan kesemua nutrien adalah perlu untuk penjagaan kesihatan. Kandungan nutrien juga berbeza dalam makanan dan tiada satu-satu makanan pun mengandungi semua nutrien yang diperlu, kecuali susu ibu yang lengkap untuk bayi baru lahir hingga berumur 6 bulan.

PROGRAM RMT DI SEKOLAH RENDAH KEBANGSAAN PEKAN RANAU
Organisasi Pentadbiran RMT Sekolah
          Rancangan Makanan Tambahan merupakan Bantuan Persekolahan yang disediakan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia, mampu memenuhi matlamat dalam memastikan semua sekolah dan murid mempunyai peluang dan keupayaan yang sama untuk mencapai kecemerlangan dalam pelajaran dan aktiviti kokurikulum.
            Keprihatinan KPM untuk merapatkan jurang pendidikan yang wujud merupakan satu agenda utama dalam meningkatkan kecemerlangan pendidikan selaras dengan aspirasi Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) 2006-2010. Dalam hal ini, jurang pendidikan berupaya dirapatkan melalui pengurangan kadar keciciran di kalangan murid miskin, murid pedalaman, murid berkeperluan khas dan kumpulan minoriti. Sehubungan itu, usaha menambah baik sistem pengagihan Bantuan Persekolahan seperti Program Rancangan Makanan Tambahan ini kepada golongan tersebut sentiasa menjadi keutamaan Kementerian Pelajaran Malaysia.
            Sekolah Rendah Kebangsaan Pekan Ranau ditadbir oleh Puan Hajjah Jenong Binti Latun sebagai Guru Besar sekolah, Puan Adzillah Abdullah sebagai Penolong Kanan 1, Puan Anna Goddos sebagai Penolong Kanan Hal Ehwal Murid, Encik Paul Gambisir sebagai Penolong Kanan Kokurikulum dan Puan Rosnie Abie sebagai Penyelia Petang.
            Pentadbiran Rancangan Makanan Tambahan di Sekolah Rendah Kebangsaan Pekan Ranau, dikendalikan di bawah bidang kuasa Penolong Kanan 2 Hal Ehwal Murid. Antara objektif RMT di sekolah ini ialah;

  • 1.                  Untuk memberi makanan tambahan kepada murid-murid sekolah rendah, terutama dari luar bandar dan dari golongan berpendapatan rendah, secara imbuhan dan buat sementara waktu, untuk memperbaiki keadaan kesihatan sebagai satu usaha yang selaras dengan Dasar Pembangunan Negara.
  • 2.                  Untuk memberi makanan tambahan yang berzat dan seimbang kepada murid-murid yang berkenaan untuk membantu mereka mengatasi masalah dari segi pertumbuhan badan dan kekurangan tenaga.
  • 3.                  Untuk menyelenggarakan pendidikan kesihatan dan pemakanan secara langsung dan secara tidak langsung.
  • 4.                  Untuk mengendalikan tabiat sopan santun, disiplin, timbang rasa serta amalan yang diingini berkaitan dengan kebersihan diri, kebersihan makanan dan kebersihan alam sekitar.
  • 5.                  Untuk menggalakkan penglibatan dan penyertaan masyarakat dalam usaha-usaha sekolah mengelolakan RMT.

Peranan Guru Besar Dan Guru

  • 1.                  Memilih dan mengedarkan senarai murid yang layak menerima RMT mengikut kriteria-kriteria yang ditetapkan oleh KPM.
  • 2.                  Merekodkan penerimaan makanan oleh murid-murid di hari-hari berkenaan.
  • 3.                  Mengawas murid ketika menikmati makanan sambil menunjuk ajar akan budaya makan yang sesuai sambil menyerapkan Pendidikan Kesihatan dan Pemakanan secara tidak formal.
  • 4.                  Mengikut pertumbuhan fizikal murid seperti mengukur berat dan tinggi mereka sekurang-kurangnya di awal dan akhir tahun.
  • 5.                  Mengawas pengurusan penghidangan makanan.
  • 6.                  Memastikan rekod penerimaan perbelanjaan peruntukan RMT disimpan secara kemaskini oleh pihak sekolah.
            Sekolah Rendah Kebangsaan Pekan Ranau, mempunyai sejumlah 540 pelajar keseluruhan. Daripada jumlah tersebut, 231 adalah pelajar lelaki dan 309 pelajar perempuan. Kesemua pelajar adalah bumiputera tempatan. Sejumlah 64 orang murid sekolah ini daripada “golongan termiskin” (keluarga yang berpendapatan kurang RM400.00 sebulan atau RM80.00 per kapita) menerima bantuan ini secara makanan tambahan dan minuman bagi tempoh 190 hari mulai hari pertama persekolahan pada setiap tahun. Kadar bantuan setiap murid adalah RM1.35 sehari. Kadar ini adalah untuk sekolah di negeri Sabah dan Sarawak sahaja dan berbeza dengan sekolah di negeri-negeri di Semenanjung, iaitu RM1.20 sehari.

Sumber Kewangan Program RMT
            Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU), Jabatan Perdana Menteri, bertanggungjawab melaksanakan kajian tentang penyaluran peruntukan RMT kepada sekolah. Hasil kajian yang dikeluarkan pada bulan Jun 2002 telah melaporkan bahawa penyaluran peruntukan oleh JPN kepada sekolah adalah terlalu lewat kerana sekolah perlu membuat tuntutan sebelum bantuan RMT diberikan. MAMPU mengesyorkan bahawa penyaluran bantuan RMT itu hendaklah dibuat terus kepada sekolah berasaskan kepada rekod jumlah murid yang layak pada tahun semasa, tanpa tuntutan daripada sekolah. Dengan cara ini program RMT boleh dimulakan lebih awal dan pada hari pertama persekolahan.
            Bagi melaksanakan syor yang dikeluarkan oleh pihak MAMPU prosedur pembayaran bantuan RMT telah diseragamkan dan penyelenggaraan program RMT hendaklah diawasi oleh Penyelia Kesihatan di JPN. Prosedur pembayaran yang ditetapkan adalah seperti berikut:

  • 1.         Jumlah murid yang sedang menerima bantuan RMT pada 1 Oktober tahun semasa di setiap sekolah rendah akan menjadi asas perkiraan untuk membayar bantuan RMT bagi tahun 2003.
  •  2.         Bagi tahun-tahun berikutnya, perkiraan jumlah penerima bantuan hendaklah dikemaskini dengan mengambil kira kemasukan murid baru ke tahun satu dan jumlah murid tahun enam yang tamat sekolah, berserta dengan pertambahan murid bagi sekolah-sekolah yang baru dibuka.
  •  3.         Kod dan nama sekolah berserta dengan jumlah penerima bantuan hendaklah dikemukakan oleh Penyelia Kesihatan dengan menggunakan Format A kepada Unit Pengurusan Kewangan di JPN sebelum 30 November untuk bayaran secara berkomputer melalui sistem e-PCG terus kepada akaun kerajaan sekolah-sekolah yang terlibat. Bagi negeri Sabah dan Sarawak pembayaran hendaklah dibuat secara waran peruntukan kepada Pejabat Pendidikan Daerah negeri masing-masing.
  •  4.         Penyelia Kesihatan di JPN hendaklah menyampaikan rekod pengagihan peruntukan RMT di sekolah sehingga 31hb. Januari tahun berkenaan kepada Bahagian Sekolah. Bahagian Sekolah pula akan menyediakan laporan pengagihan mengikut negeri kepada Bahagian Kewangan.
  •             Permohonan RMT dikemukakan oleh sekolah kepada JPN/ PPG/ PPD berdasarkan Buku Panduan RMT di sekolah tahun 2002.
  •             Keperluan peruntukan RMT hendaklah dikemukakan oleh JPN kepada Bahagian Kewangan sebelum 30 November tahun sebelumnya.
  •             Agihan pertama 80% disalurkan oleh Bahagian Kewangan kepada JPN pada bulan Januari. JPN mengagihkan peruntukan RMT terus ke sekolah yang melaksanakan sistem geran dalam tempoh 2 minggu selepas waran diterima. Sekolah mengakaunkan di bawah lajur pelbagai dalam Buku Tunai Kumpulan Wang Kerajaan (KWK) dan menyelenggara Akaun Subsidiari RMT.
  •             Sekolah yang belum melaksanakan sistem geran, JPN mengagihkan peruntukan RMT ke PPG/ PPD/ PPDk dalam tempoh 2 minggu selepas geran diterima. PPG/ PPD/ PPDk hendaklah mengakaunkan di bawah lajur RMT dalam Buku Tunai Akaun Khas PPG/ PPD/ PPDk.
  •             Peruntukan yang diagihkan hanya boleh digunakan untuk bayaran kepada pengusaha/ pembekal makanan RMT sahaja.

Pemilihan Peserta RMT
            RMT adalah salah satu program yang diselaraskan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia dalam membantu para pelajar yang berada dalam kategori miskin atau miskin tegar. Antara Kriteria kelayakan bantuan RMT adalah seperti berikut:

  • 1.                  Murid warganegara Malaysia dari Darjah 1 hingga Darjah 6 bersekolah di semua Sekolah Kerajaan dan Sekolah Bantuan Kerajaan;dan
  • 2.                  Ketua Isi Rumah (KIR) yang berdaftar dengan Bank Data Kemiskinan Nasional (eKASIH) yang dibangunkan oleh Unit Penyelarasan Perlaksanaan (ICC), Jabatan Perdana Menteri dan disahkan sebagai ketegori miskin atau miskin tegar sahaja.
  • 3.                  Murid yang menunjukkan tanda-tanda salah pemakanan (dipilih oleh Pasukan Perkhidmatan Kesihatan Sekolah dan/atau guru darjah dan selaraskan oleh satu Jawatankuasa Khas di peringkat sekolah).
  • 4.                  Murid daripada keluarga yang berpendapatan rendah dan keahliannya besar.
  • 5.                  Murid yang rumahnya jauh dari sekolah.
            Penyaluran bantuan RMT diberi kepada murid yang KIR tersenarai dalam data eKASIH. Bagi KIR yang belum berdaftar dengan sistem eKASIH, mereka boleh membuat permohonan melalui laman web http://www.ekasih.gov.my/ Pihak JPN/PPD/Sekolah boleh membantu mendaftar murid di dalam sisitem eKASIH.
            Jawatankuasa RMT sekolah hendaklah bertanggungjawab memantau perlaksanaan RMT setiap hari dan hendaklah memastikan pelaksanaan RMT mengikut garis panduan RMT dan peraturan yang ditetapkan. Pihak JPN dan PPD akan melakasanakan pemantauan bagi memastikan perlaksanaan RMT adalah mengikut garis panduan RMT dan peraturan yang ditetapkan.

Pemilihan Tender RMT
            Di bawah bidang tugas Penolong Kanan Hal Ehwal Murid, satu jawatankuasa RMT sekolah, biasanya akan membuat pilihan terhadap pengusaha RMT dari kalangan pengusaha kantin sekolah apabila menepati syarat-syarat perjanjian yang dikemukakan oleh kerajaan. Pemilihan tender RMT diputuskan berdasarkan kelayakan dan mempersetujui syarat-syarat seperti berikut;

  • 1.                  Jawatankuasa RMT Sekolah bersetuju memberikan hak kepada Pengusaha Kantin berkuatkuasa dari 04.01.2010 sehingga 05.07.2010 dengan kadar RM 1.80 bagi seorang murid.
  • 2.                  Pengusaha RMT dengan ini bersetuju untuk menyediakan makanan dengan mengikut kadar yang disebutkan pada no.1.
  • 3.                  Pengusaha bersetuju menuntut bayaran daripada Jawatankuasa RMT Sekolah setiap bulan setelah peruntukan diperolehi daripada Kementerian Pelajaran Malaysia.
  • 4.                  Peralatan dapur, alat memasak dan alatan menghidang makanan adalah ditanggung sepenuhnya oleh Pengusaha RMT.
  • 5.                  Keselamatan peralatan dan bahan-bahan yang digunakan adalah di bawah tanggungjawab Pengusaha RMT dan Jawatankuasa RMT Sekolah tidak bertanggungjawab di atas sebarang kerosakan dan kecurian peralatan dan bahan-bahan tersebut atau kemalangan akibat daripada penggunaannya.
  • 6.                  Kualiti dan kuantiti makanan hendaklah mengikut ketetapan menu seperti dalam Buku Panduan Rancangan Makanan Tambahan Di Sekolah.
  • 7.                  Pengusaha RMT bersetuju tidak akan meminda mana-mana menu kecuali setelah mendapat kebenaran bertulis daripada Jawatankuasa RMT Sekolah.
  • 8.                  Makanan hendaklah disediakan pada waktu yang sesuai agar ianya dapat dihidangkan pada waktu rehat sesi persekolahan pagi dan petang.
  • 9.                  Kebersihan tempat memasak serta peralatan, tempat menghidang dan bekas-bekas makanan hendaklah sentiasa dijaga dan diutamakan seperti yang terdapat dalam Buku Panduan Pengurusan Kantin Sekolah Keluaran 2008 dan Pekeliling Iktisas 2/1983.
  • 10.              Pengusaha RMT dan pembantu-pembantunya hendaklah dalam keadaan sihat dan sentiasa menjaga kebersihan diri dan pakaiannya.
  • 11.              Pengusaha RMT dan pembantu-pembantunya mestilah mendapat suntikan daripada Jabatan Kesihatan.

Pembayaran Penyedia Makanan
          Berdasarkan kandungan syarat-syarat perjanjian tender penyediaan RMT sekolah, Pengusaha RMT hendaklah mengemukakan tuntutan bayaran setiap bulan dan Jawatankuasa RMT Sekolah bertanggungjawab untuk membuat pembayaran tersebut, setelah peruntukan daripada Kementerian Pelajaran diperolehi.
 Pengagihan Makanan Kepada Peserta
            Tahun 2010 Kadar RMT adalah RM1.80 sehari bagi setiap murid di Negeri Semenanjung Malaysia dan RM2.05 bagi setiap murid di Negeri Sarawak, Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan. Tempoh perlaksanaan RMT ialah 190 hari setahun.
            Pengagihan makanan kepada peserta RMT, hendaklah dilakukan oleh Pengusaha RMT sendiri dengan dibantu oleh guru-guru bertugas. Pengagihan dilakukan di kantin sekolah. Kantin sekolah telah menyediakan ruang khas untuk pengagihan makanan ini kepada peserta RMT. Ini bertujuan untuk memudahkan pemantauan pengagihan ini, supaya semua murid yang terlibat dapat menikmatinya tanpa berlaku keciciran.

Pemilihan Pekerja-Pekerja Yang Terlibat RMT
          Proses pemilihan pekerja-pekerja yang terlibat dengan program RMT, hendaklah dari kalangan guru-guru sekolah, pekerja-pekerja sekolah, ibu bapa dan guru-guru, pasukan-pasukan daripada badan sukarela, pekerja upahan dan pihak kontrak (kantin sekolah dan lain-lain). Bagi pihak pengusaha RMT, syarat mengambil pekerja dalam membantu penyediaan bahan makanan mestilah memenuhi syarat yang ditetapkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia, iaitu Pengusaha RMT dan pembantu-pembantunya hendaklah dalam keadaan sihat dan sentiasa menjaga kebersihan diri dan pakaiannya serta mendapat suntikan daripada Jabatan Kesihatan.

Pemilihan Bahan-Bahan Mentah
          Pengusaha RMT yang dilantik, perlu membuat pemilihan bahan-bahan mentah yang digunakan dalam masakan penyediaan makanan RMT dan perlu menepati kualiti yang ditetapkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia dan dipantau pelaksanaannya oleh Jawatankuasa RMT sekolah. Untuk mendapatkan bahan-bahan mentah, Pengusaha RMT, haruslah mengambilkira makanan yang berkhasiat dan perlu berasaskan pemilihan makanan pelbagai berasaskan piramid makanan iaitu daripada 5 kumpulan utama makanan, iaitu Bijirin, Sayur-sayuran dan buah-buahan, Daging, Susu atau hasil tenusu dan Lemak dan gula.
            Kandungan nutrien dalam makanan juga sangat penting bagi proses dalam badan yang bertujuan untuk metabolisme tenaga, pertumbuhan otot, pembentukan darah, pembentukan tulang dan perkembangan otak. Oleh yang demikian, pemilihan bahan-bahan mentah untuk penyediaan makanan dalam program RMT perlu mengambil kira semua keperluan ini.

Menu Makanan RMT
            Bahagian Sekolah telah menyediakan senarai menu dalam Program Makanan Tambahan dan sekolah-sekolah dibenarkan mengambilkira kemampuan dan kesesuaian dengan keadaan tempatan bagi menyediakan makanan bagi murid-murid yang terlibat. Bagi sekolah rendah kebangsaan Pekan Ranau, menu makanan disediakan mengikut 2 minggu pusingan. Ini bermaksud, menu makanan yang disediakan setiap hari pada minggu pertama, berlainan dengan menu pada minggu kedua. Seterusnya, minggu berikutnya berulang seperti minggu pertama dan kedua. Berikut adalah menu yang disediakan oleh Pengusaha RMT dengan kelulusan Ahli jawatankuasa RMT sekolah rendah kebangsaan Pekan Ranau;

MINGGU PERTAMA
HARI
MENU
ISNIN
NASI LEMAK, AIR SOYA, JAMBU BATU
SELASA
BIHUN GORENG, MINUMAN BERMALTA/MILO, LIMAU
RABU
NASI GORENG, AIR SOYA, PISANG EMAS
KHAMIS
MEE GORENG, MINUMAN BERCOKLAT, EPAL MERAH
JUMAAT
ROTI CANAI, MINUMAN BERMALTA, AIR OREN
MINGGU KEDUA
ISNIN
NASI PAPRIK / NASI LEMAK, AIR SOYA, JAMBU BATU
SELASA
KOEY TEOW GORENG,
MINUMAN BERMALTA/MILO, TEMBIKAI
RABU
NASI BERLAUK, AIR SOYA, PISANG EMAS/ BELIMBING
KHAMIS
MEE GORENG BASAH, MINUMAN BERCOKLAT/MILO
EPAL MERAH
JUMAAT
ROTI SARDIN, MILO, OREN


Penyediaan makanan RMT
            Pihak Pengusaha RMT yang dilantik oleh sekolah, mestilah mematuhi semua syarat-syarat penyediaan makanan yang ditetapkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia dengan dipantau oleh Ahli Jawatankuasa RMT Sekolah. Dalam menyediakan makanan RMT, pengusaha RMT mestilah;
1.                  Memastikan kebersihan dalam proses penyediaan dan pengendalian pemberian makanan, mementingkan kebersihan makanan dan mengawasi segala peraturan kebersihan terutama sekali semasa menyediakan dan menghidangkan makanan kepada peserta RMT untuk mengelak keracunan makanan dan penyakit-penyakit berjangkit.
2.                  Pilih makanan yang rendah lemak dan kurang manis. Elakkan pengambilan kolesterol secara berlebihan.
3.                  Lebihkan makan sayur-sayuran dan buah-buahan kerana makanan ini kurang mengandungi lemak, mempunyai serat dan membekalkan vitamin dan zat-zat yang sangat penting untuk kesihatan dan mencegah penyakit kanser ataupun penyakit kronik
4.                  Gunakan sedikit sahaja garam di dalam masakan dan elakkan pengunaan MSG (Monosodium Glutamate).
            Bagi menyelaraskan dan menyeragamkan urusan pembelian, penyediaan dan pengendalian pemberian makanan RMT, pihak yang terlibat secara langsung dalam program RMT ini dikehendaki mengikuti garis panduan pemakanan yang disediakan, di samping menguatkuasakan dan memantau pelaksanaannya. Pegawai Jabatan hendaklah mengawasi pelaksanaan pengendalian dan pemberian makanan kepada murid-murid sekolah yang terlibat dalam program RMT ini secara rapi untuk memastikan pelajar berkenaan memperolehi makanan seimbang yang diperlukan.

DAPATAN KAJIAN
          Sokongan sekolah terhadap pemakanan dan nutrisi seimbang akan memberi pengetahuan kepada pelajar tentang pemakanan yang sihat kepada pelajar, seterusnya pengetahuan akan mencetuskan kesedaran yang membawa kepada pemilihan makanan yang seimbang, dan pengambilan makanan yang seimbang secara konsisten akan membantu meningkatkan daya penumpuan pelajar. Sokongan sekolah terhadap pemakanan dan nutrisi seimbang pula merujuk kepada sumber makanan yang disediakan oleh pihak sekolah kepada para pelajar. Sokongan sekolah juga dilakukan penglibatan bersama-sama ibubapa penjaga pelajar dalam penyediaan sarapan, makanan semasa rehat serta makan tengahari (UNESCO, 2004; Havaz et al., 1995; Bowker et al., 1999; Christie, 2005; Jacobson, 2005; NASBE, 2000; Stroper, 2003; Tesler, 2003; Delisle, 2005).
            Faktor-faktor yang mempengaruhi pemilihan makanan merujuk kepada pengaruh dari individu, organisasi, sosio-ekonomi dan biologi. Kesedaran dan pengetahuan pelajar akan diet seimbang merujuk kepada pengetahuan sedia ada pelajar berkaitan amalan pemakanan yang sihat dan sejauh mana mereka mengaplikasikannya (UNESCO, 2004; Stroper, 2003; Pelto et al., 2004; McBean, 1999; Ziegler et al. 1999; Cook-Cottone dan, Keca 2005; Tesler, 2005; Kurtzweil, 1995). Konsistensi pengambilan makanan oleh pelajar melihat kepada kekerapan pengambilan makanan dan pengambilan makanan mengikut waktu yang ditetapkan.
            Amalan pemakanan telah dikenalpasti dapat memberi pengaruh ke atas daya penumpuan pelajar semasa proses pengajaran dan pembelajaran kerana pemakanan memberi kesan ke atas fizikal, dan mental pelajar. Tambahan lagi apabila pelajar dapat menumpukan perhatian di dalam kelas, tahap kefahaman mereka akan meningkat dan ini akan memberi kesan peningkatan prestasi mereka dalam pelajaran. Dalam hal ini, tumpuan kajian berkisar kepada sejauh manakah sokongan sekolah terhadap pemakanan yang sihat, faktor-faktor yang paling mempengaruhi pemilihan makanan pelajar, kesedaran dan pengetahuan pelajar akan diet seimbang dan adakah konsistensi pengambilan makanan oleh pelajar mempengaruhi daya penumpuan pelajar di dalam kelas.
            Dalam kajian ini, seramai 15 orang pelajar daripada jumlah keseluruhan pelajar yang terpilih dalam program Rancangan Makanan Tambahan di sekolah rendah kebangsaan Pekan Ranau, diambil sebagai sampel kajian. Analisis kajian yang dibuat, adalah berdasarkan kepada pencapaian prestasi pelajar tersebut dalam ujian mata pelajaran Sains yang diberikan pada awal tahun (Ujian 1) sebagai andaian prestasi sebelum pengambilan makanan dalam program RMT dan ujian pertengahan tahun (Ujian 2) untuk menguji keberkesanan pemakanan dalam program RMT. Responden di kalangan pelajar yang dipilih, mempunyai seramai 10 orang pelajar lelaki dan 5 pelajar perempuan.

1.            Profil Responden Kajian
1.1         Taraf sosio ekonomi    
Pekerjaan Ibu Bapa
Kekerapan
Peratus
Petani
8
53.3%
Peniaga Gerai
4
26.7%
Pemandu Lori
3
20%
Jumlah
15
100%
           
            Kebanyakan ibu bapa responden bekerja sebagai petani. Berdasarkan analisa yang diperolehi daripada dapatan kajian seperti yang ditunjukkan dalam jadual di atas, responden yang mempunyai ibu bapa yang bekerja sebagai petani adalah sebanyak 8 orang, mewakili 53.3%. Sebanyak 4 orang responden yang ibu bapa mereka bekerja sebagai peniaga di pasar-pasar dengan mewakili 26.7% dan selebihnya 3 orang responden yang ibu bapa mereka bekerja sebagai pemandu lori dengan mewakili 20% daripada jumlah keseluruhan bilangan responden yang dikaji.
1.2         Kawasan tempat tinggal       
Jauh Dari Sekolah
Kekerapan
Peratus
1 – 5 KM
2
13.3%
5 – 10 KM
4
26.7%
10 – 15 KM
9
60%
Jumlah
15
100%
         
            Hampir semua responden tinggal jauh dari sekolah dan datang ke sekolah hanya berjalan kaki. Berdasarkan analisa yang diperolehi daripada dapatan kajian seperti yang ditunjukkan dalam jadual di atas, responden yang tinggal sejauh 10 hingga 15 kilometer dari sekolah, seramai 9 orang dengan mewakil 60%, 4 orang tinggal sejauh 5 – 10 kilometer dengan 26.7% dan selebihnya hanya 2 orang yang tinggal sejauh 1 – 5 kilometer dari sekolah dengan mewakili 13.3%.
1.3         Taraf pendidikan ibu bapa   
Taraf Pendidikan Ibu Bapa
Kekerapan
Peratus
Tidak Pernah Bersekolah
4
10%
Darjah 5
5
30%
SRP
6
60%
Jumlah
15
100%

            Ibu bapa responden tergolong dalam kategori kurang mendapat pendidikan yang sewajarnya. Ini mungkin kerana taraf kemiskinan yang mereka hadapi, kemungkinan hal ini berlaku. Sebanyak 6 orang pelajar yang mempunyai ibu bapa yang hanya mendapat pendidikan hingga ke tahap SRP, mewakili 60%, 3 orang pelajar yang mempunyai ibu bapa yang mendapat pendidikan peringkatdarjah 5, mewakili 30% dan hanya 1 orang pelajar yang mempunyai ibu bapa yang tidak mendapat pendidikan langsung dengan mewakili 10%.
1.4         Bilangan adik-beradik 
Bilangan Adik-Beradik
Kekerapan
Peratus
2 - 4
8
53.3%
5 - 7
6
40%
8 - 10
1
6.7%
Jumlah
10
100%

            Latar belakang keluarga responden, kebanyakannya mempunyai bilangan adik-beradik 2 hingga 4 orang, iaitu seramai 8 orang dengan mewakili 53.3%, bilangan adik-beradik  5 hingga 7 orang ialah seramai 6 orang responden dengan mewakili40% dan selebihnya hanya seorang responden yang mempunyai bilangan adik-beradik 8 – 10 orang dan mewakili 6.7%.

2.            Analisa Pencapaian Ujian Oleh Responden Yang Mengikuti Program Rancangan Makanan Tambahan
BIL.
Pelajar
UJIAN 1 ( % )
UJIAN 2 ( % )
01.
Pelajar 1
20
41
02.
Pelajar 2
21
40
03.
Pelajar 3
19
36
04.
Pelajar 4
23
45
05.
Pelajar 5
15
37
06.
Pelajar 6
17
29
07.
Pelajar 7
31
49
08.
Pelajar 8
29
34
09.
Pelajar 9
26
37
10.
Pelajar 10
34
56
11.
Pelajar 11
30
52
12.
Pelajar 12
27
53
13.
Pelajar 13
25
40
14.
Pelajar 14
36
51
15.
Pelajar 15
38
57

            Perlaksanaan ujian telah diadakan sebanyak 2 kali iaitu ujian 1 yang diadakan awal tahun dan ujian 2 yang telah diadakan pada pertengahan tahun. Berdasarkan kepada analisis keputusan yang dapat dilihat di dalam jadual di atas, terdapat peningkatan yang ketara di kalangan pelajar yang dipilih. Dalam kajian yang dilaksanakan, ia tidak melibatkan bagaimana kaedah pengajaran dan pembelajaran dilaksanakan. Tumpuan diberikan hanya kepada kesan pemakanan melalui program RMT. Pengkaji percaya, pengagihan dan pengambilan makanan yang seimbang oleh responden melalui program Rancangan Makanan Tambahan yang dilaksanakan di sekolah, mampu memberi sokongan dalam peningkatan keupayaan minda pelajar.
            Amalan pemakanan yang sihat membawa kepada pelbagai kebaikan. Rosso (1999) menyatakan bahawa peningkatan nutrisi dan kesihatan boleh membawa kepada pencapaian akademik yang lebih baik, pengurangan pengulangan gred dan pengurangan kadar berhenti sekolah. Demikian juga, Whitman (2000) menyatakan bahawa kesihatan dan nutrisi adalah penyumbang utama kepada pelajar dalam proses pembelajaran.
            Sementara itu, Stroper (2003). Menyatakan bahawa pengambilan buah-buahan dan sayur-sayuran yang tinggi kandungan serat dan vitamin adalah amat penting bagi manusia. Beliau mendapati bahawa remaja perlu mengambil lebih buah-buahan dan sayur-sayuran dan peningkatan kepekaan remaja dipengaruhi oleh amalan pemakanan mereka. Menurut Govindji et al. (2002), buah-buahan dan sayur-sayuran telah dibuktikan menunjukkan kesan positif dalam meningkatkan daya ingatan dan penumpuan, melalui dua ujian yang dijalankan di antara kumpulan manusia yang memakan banyak sayur-sayuran dan buah-buahan dengan kumpulan yang kurang memakan sayur-sayuran dan buah-buahan, mereka yang memakan lebih sayur-sayuran dan buah-buahan menunjukkan daya ingatan dan penumpuan yang lebih baik.

KEBERKESANAN PROGRAM RANCANGAN MAKANAN TAMBAHAN
          Terdapat pelbagai kepentingan amalan pemakanan yang sihat. Diantaranya ialah, memberi faedah kepada pencapaian dan pembelajaran pelajar seperti penumpuan di dalam kelas dan peningkatan daya kefahaman dan ingatan mereka (Govindji et al., 2002) Selain itu, menurut Blades (2001), pemakanan mempengaruhi fizikal dan penampilan seseorang. Menurut Rahman (1999) pula, pemakanan memberi kesan kepada kesihatan seseorang.
            Amalan pemakanan manusia dipengaruhi oleh beberapa faktor. Menurut Kelly-Plate dan Eubanks (2000), di antara faktor-faktor yang mempengaruhi pemilihan makanan ialah keluarga dan budaya, rakan-rakan, kepercayaan agama, emosi, kawasan geografi, pengiklanan serta nilai dan gaya hidup. Kajian Hoolihan (2003) mengenai pemilihan makanan individu pula mendapati bahawa faktor-faktor yang mempengaruhi keperluan nutrien termasuklah umur, jantina, tahap aktiviti, bangsa dan etnik, cara hidup, persekitaran, sejarah keluarga dan pemendapan penyakit genetik. McBean (1999) turut menyatakan faktor lain yang mempengaruhi amalan pemakanan termasuklah faktor genetik dan persekitaran. Sementara itu Blades (2001) mendapati bahawa selain daripada pengaruh oleh individu dan organisasi, pemilihan makanan turut dipengaruhi oleh organoleptik, sosio-budaya dan faktor biologi. Manakala Delisle (2005) pula melaporkan bahawa budaya, rakan sebaya dan keluarga mampu mempengaruhi tabiat pemakanan pelajar dan beliau turut menyatakan bahawa apabila tiada halangan dari segi ekonomi dan keselamatan makanan, pemilihan makanan ditentukan oleh faktor-faktor psikososial.
            Program Rancangan Makanan Tambahan mampu memenuhi matlamat dalam memastikan semua sekolah dan murid mempunyai peluang dan keupayaan yang sama untuk mencapai kecemerlangan dalam pelajaran dan aktiviti kokurikulum. Pihak sekolah boleh memainkan peranan ketika melaksanakan program RMT ini untuk memupuk amalan pemakanan yang sihat di kalangan pelajarnya dengan mengintegrasikannya di dalam kurikulum pengajaran. Sokongan pengajaran berkaitan amalan pemakanan boleh dilakukan dari sudut berbeza dan kreatif agar dapat meransang minat pelajar.
            Contohnya, Stroper (2003) melaporkan tentang suatu kelas dinamakan ‘Cookshop’ iaitu kelas yang direka oleh ‘New York Community Food Resource Center’ untuk membantu pelajar bersama-sama guru mereka memasak pelbagai jenis masakan yang diperolehi dari hasil tanamam mereka di sekolah. Stroper (2003) turut menyatakan bahawa masakan yang dimasak bersama guru mereka kemudiannya dijual di kantin dan kafeteria sekolah. Melalui penilaian yang dilakukan ke atas tindakan tersebut menunjukkan perubahan pemakanan pelajar meningkat dengan mendadak terhadap makanan yang dahulunya hanya dipelajari di dalam kelas. Sokongan melalui kurikulum turut dinyatakan oleh NASBE (2002), iaitu pendidikan kesihatan perlu diintegrasikan ke dalam bidang mata pelajaran sedalam mungkin dan teknik pengajaran ‘cross-teaching’ dijalankan sebagai pelengkap dan bukannya sebagai pengganti kepada program pendidikan kesihatan komprehensif.
            Lazimnya manusia berminat untuk menyediakan dan memakan makanan yang enak dan mudah disediakan, maka mengikut laporan Havas et al. (1995), pembentukan satu kurikulum yang dinamakan kurikulum pendidikan nutrisi sekolah dapat meningkatkan rasa minat pelajar terhadap buah-buahan dan sayur-sayuran kerana dalam kurikulum ini, panduan resepi yang diberikan akan meningkatkan kebolehan pelajar dalam menyediakan hidangan berasaskan buah-buahan dan sayur-sayuran yang cepat, selamat, mudah dan enak.
            Tabiat pemakanan yang tidak sihat tidak mudah diubah, tetapi oleh kerana pelajar banyak menghabiskan masa mereka di sekolah, maka perubahan boleh dilakukan oleh pihak sekolah. Melalui kajian yang dijalankan oleh UNESCO (2004), di Amerika Syarikat mendapati bahawa kurikulum pendidikan kesihatan yang komprehensif yang direkabentuk dan dilaksanakan di sekolah dapat menghindarkan tabiat pemakanan yang tidak sihat di kalangan pelajar.

PENUTUP
          Kesihatan yang baik merupakan nikmat yang tidak ternilai harganya. Ia turut memberi kesan terhadap potensi pembelajaran dan pencapaian pelajar. Amalan pemakanan merupakan salah satu faktor yang menyumbang kepada kecemerlangan pelajar. Untuk merealisasikan amalan pemakanan yang sihat di kalangan pelajar, pelbagai langkah perlu diambil dan langkah-langkah tersebut memerlukan penglibatan pelbagai lapisan masyarakat. Dapatan kajian menunjukkan bahawa faktor persekitaran memberikan pengaruh yang besar terhadap pelajar. Pendekatan secara serius, efektif dan konsisten perlu diambil oleh pihak sekolah dalam usaha memupuk amalan pemakanan yang sihat di kalangan pelajar. Ini adalah sebagai penjana kepada kesihatan fizikal dan mental pelajar bagi membantu mereka mencapai kejayaan yang cemerlang dalam pelajaran. Secara tidak langsung amalan pemakanan yang sihat akan membentuk pelajar menjadi warga yang cemerlang dalam kehidupan.
            Perlaksanaan program Rancangan Makanan Tambahan di sekolah, seharusnya tidak mengabaikan keutamaan pendidikan pemakanan yang sempurna dan seimbang kerana ia sangat berguna untuk meningkatkan amalan pemakanan yang sihat di kalangan pelajar dan meningkatkan prestasi pencapaian persekolahan mereka.
            Melalui program RMT ini, peranan pihak sekolah untuk menyediakan hidangan makanan yang lebih berkhasiat, sedap dan menarik kepada para pelajar sangat dituntut. Sekolah perlu menyediakan maklumat mengenai apakah pemakanan yang seimbang dan tempat di mana pelajar boleh mendapatkan bantuan untuk mengetahui cara yang betul mengamalkan diet seimbang. Selain itu, apabila ceramah berkaitan pemakanan yang sihat diadakan, ia perlu disertakan dengan grafik-grafik, petikan video dan penerangan yang jelas berkaitan apakah implikasi kepada tubuh badan manusia sekiranya tidak mengamalkan pemakanan yang sihat. Ceramah dan peringatan perlu diberikan secara konsisten untuk meningkatkan dan mengekalkan kepekaan pelajar untuk sentiasa mengamalkan pengetahuan berkaitan pemakanan yang sihat.

RUJUKAN
1.            Zainab Tambi (2000). “Amalan Pemakanan Sihat”. Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak : Nota
2.            Taras H. H. & Datema, W. P., (2005). “Sleep and Student Performance at School”. Journal of School Health. 75, 7. 248.
3.            Rahmah, M. A., (1999). “Rancangan Kesihatan Sekolah”. Buletin Kesihatan Masyarakat, 5, 90-91.
4.            Suhaime M (1985). Bahan-bahan Tambah didalam Makanan Snek Ekstruksi Tempatan dan Penerimaannya oleh Murid-murid Sekolah Rendah. Tesis Ijazah Sarjanamuda Sains Kepujian, Fakulti Sains Hayat, UKM.
5.            Kementerian Pendidikan Malaysia (1984). Usaha Kementerian Pendidikan bagi meningkatkan taraf pemakanan murid-murid sekolah. Prosiding Bengkel Amalan Makanan Murid-murid Sekolah Rendah.
6.            Kementerian Pendidikan Malaysia (1993). Rancangan Makanan Tambahan di sekolah. Unit Kesihatan Sekolah, Bahagian Sekolah, Kementerian Pendidikan Malaysia.
7.            Jabatan Audit Negara (1990). Kajian khas audit ke atas Rancangan Makanan Tambahan dan Program Susu Sekolah.
8.            WHO/UNICEF (1972). The Health Aspects of Food and Nutrition. (A manual for developing countries in The Western Pacific Region of the WHO). Regional office for The Western Pacific of The WHO, Manila and the regional office for East Asia and Pakistan of UNICEF, Bangkok. ms 118 - 121.

2 comments:

  1. pengiraan tuntutan harian RMT berdasarkan kehadiran harian murid layak atau jumlah layak keseluruhan????

    Contoh : Murid layak = 100
    Murid Hadir = 95

    soalan saya ialah adakah dibayar 100 org murid atau 95 org sahaja??

    ReplyDelete
    Replies
    1. dibayar untuk 100 orang. Setiap peruntukan yang dikeluarkan, adalah untuk jumlah maksimum, mengikut senarai awal murid layak RMT.

      Delete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...