Sumber: http://harmoni-my.org
Dicatat oleh: Bicara Marhaen
| 01:56:13 |
18042012
Tatacara hidup suami isteri Adam dan Hawa di bumi mulai tertib
dan sempurna tatkala Hawa bersedia untuk melahirkan anak-anaknya yang akan
menjadi benih pertama bagi umat manusia di dunia ini.
Siti Hawa melahirkan kembar dua pasang. Pertama lahirlah
pasangan Qabil dan adik perempuannya yang diberi nama "Iqlima",
kemudian menyusul pasangan kembar kedua Habil dan adik perempuannya yang diberi
nama "Lubuda".
Kedua orang tua, Nabi Adam dan Siti Hawa, menerima
kelahiran keempat putera puterinya itu dengan senang dan gembira, walaupun Hawa
telah menderita apa yang lumrahnya dideritai oleh setiap ibu yang melahirkan
bayinya. Mereka mengharapkan dari keempat anak pertamanya ini akan menurunkan
anak cucu yang akan berkembang biak untuk mengisi bumi Allah dan menguasai
sesuai dengan amanat yang telah di bebankan ke atas bahunya.
Di bawah naungan ayah ibunya yang penuh cinta dan kasih sayang
maka membesarlah keempat-empat anak itu dengan cepatnya melalui masa
kanak-kanak dan menginjak masa remaja. Yang perempuan sesuai dengan kudrat dan
fitrahnya menolong ibunya mengurus rumahtangga dan mengurus hal-hal yang
menjadi tugas wanita,sedang yang laki-laki menempuhi jalannya sendiri mencari
nafkah untuk memenuhi keperluan hidupnya. Qabil berusaha dalam bidang pertanian
sedangkan Habil di bidang penternakan.
Penghidupan sehari-hari keluarga Adam dan Hawa berjalan tertib
sempurna diliputi rasa kasih sayang saling cinta mencintai hormat menghormati
masing-masing meletakkan dirinya dalam kedudukan yang wajar si ayah terhadap
isterinya dan putera-puterinya,si isteri terhadap suami dan anak-anaknya.
Demikianlah pula pergaulan di antara keempat bersaudara berlaku dalam harmoni
damai dan tenang saling bantu membantu hormat menghormati dan bergotong-royong.
Keempat Anak Adam Memasuki Alam Remaja
Keempat putera-puteri Adam mencapai usia remaja dan memasuki
alam akil baligh di mana nafsu berahi dan syahwat serta hajat kepada hubungan
kelamin makin hari makin nyata dan nampak pada gaya dan sikap mereka hal mana
menjadi pemikiran kedua orang tuanya dengan cara bagaimana menyalurkan nafsu
berahi dan syahwat itu agar terjaga kemurnian keturunan dan menghindari
hubungan kelamin yang bebas di antara putera-puterinya.
Kepada Nabi Adam Allah memberi ilham dan petunjuk agar kedua
puteranya dikahwinkan dengan puterinya. Qabil dikahwinkan dengan adik Habil
yang bernama Lubuda dan Habil dengan adik Qabil yang bernama Iqlima.
Cara yang telah di ilham oleh Allah s.w.t. kepada Nabi Adam
telah disampaikan kepada kedua puteranya sebagai keputusan si ayah yang harus
dipatuhi dan segera dilaksanakan untuk menjaga dan mengekalkan suasana damai
dan tenang yang meliputi keluarga dan rumahtangga mereka. Akan tetapi dengan
tanpa diduga dan disangka rancangan yang diputuskan itu ditolak mentah-mentah
oleh Qabil dan menyatakan bahawa ia tidak mahu mengahwini Lubuda, adik Habil
dengan mengemukakan alasan bahawa Lubuda adalah buruk dan tidak secantik
adiknya sendiri Iqlima. Ia berpendapat bahawa ia lebih patut mempersunting
adiknya sendiri Iqlima sebagai isteri dan sekali-kali tidak rela menyerahkannya
untuk dikahwinkan oleh Habil. Dan memang demikianlah kecantikan dan keelokan
paras wanita selalu menjadi fitnah dan rebutan lelaki yang kadang-kadang
menjurus kepada pertentangan dan permusuhan yang sampai mengakibatkan hilangnya
nyawa dan timbulnya rasa dendam dan dengki di antara sesama keluarga dan sesama
suku.
Kerana Qabil tetap berkeras kepala tidak mahu menerima keputusan
ayahnya dan meminta supaya dikahwinkan dengan adik kembarnya sendiri Iqlima
maka Nabi Adam seraya menghindari penggunaan kekerasan atau paksaan yang dapat
menimbulkan perpecahan di antara saudara serta mengganggu suasana damai yang
meliputi keluarga beliau secara bijaksana mengusulkan agar menyerahkan masalah
perjodohan itu kepada Tuhan untuk menentukannya. Caranya ialah bahawa masing-
masing dari Qabil dan Habil harus menyerahkan korban kepada Tuhan dengan
catatan bahawa barang siapa di antara kedua saudara itu diterima korbannya
ialah yang berhad menentukan pilihan jodohnya.
Qabil dan Habil menerima baik jalan penyelesaian yang ditawarkan
oleh ayahnya. Habil keluar dan kembali membawa peliharaannya sedangkan Qabil
datang dengan sekarung gandum yang dipilih dari hasil cucuk tanamnya yang rosak
dan busuk kemudian diletakkan kedua korban itu kambing Habil dan gandum Qabil
di atas sebuah bukit lalu pergilah keduanya menyaksikan dari jauh apa yang akan
terjadi atas dua jenis korban itu.
Kemudian dengan disaksikan oleh seluruh anggota keluarga Adam
yang menanti dengan hati berdebar apa yang akan terjadi di atas bukit di mana
kedua korban itu diletakkan, terlihat api besar yang turun dari langit
menyambar kambing binatang korban Habil yang seketika itu musnah ternakan oleh
api sedang karung gandum kepunyaan Qabil tidak tersentuh sedikit pun oleh api
dan tetap tinggal utuh.
Maka dengan demikian keluarlah Habil sebagai pemenang dalam pertaruhan
itu karena korban kambing telah diterima oleh Allah sehingga dialah yang
mendapat keutamaan untuk memilih siapakah di antara kedua gadis saudaranya itu
yang akan dipersandingkan menjadi isterinya.
Pembunuhan Pertama Dalam Sejarah Manusia
Dengan telah jalurnya keputusan dari langit yang menerima korban
Habil dan menolak korban Qabil maka pudarlah harapan Qabil untuk
mempersandingkan Iqlima tidak puas dengan keputusan itu namun tidak ada jalan
untuk menyoalkan. Ia menyerah dan memerainya dengan rasa kesal dan marah sambil
menaruh dendam terhadap Habil yang akan dibunuh di kala ketiadaan ayahnya.
Ketika Adam hendak berpergian dan meninggalkan rumah beliau
mengamanahkan rumahtangga dan keluarga kepada Qabil. Ia berpesan kepadanya agar
menjaga baik-baik ibu dan saudara-saudaranya selama ketiadaannya. Ia berpesan
pula agar kerukunan keluarga dan ketenangan rumahtangga terpelihara baik-baik
jangan sampai terjadi hal-hal yang mengeruhkan suasana atau merosakkan hubungan
kekeluargaan yang sudah akrab dan intim.
Qabil menerima pesanan dan amanat ayahnya dengan kesanggupan
akan berusaha sekuat tenaga menyelenggarakan amanat ayahnya dengan
sebaik-baiknya dan sempurna berpergiannya akan mendapat segala sesuatu dalam
keadaan baik dan menyenangkan. Demikianlah kata-kata dan janji yang keluar dari
mulut Qabil namun dalam hatinya ia berkata bahawa ia telah diberi kesempatan
yang baik untuk melaksanakan niat jahatnya dan melepaskan rasa dendamnya dan
dengkinya terhadap Habil saudaranya.
Tidak lama setelah Adam meninggalkan keluarganya datanglah Qabil
menemui Habil di tempat penternakannya. Berkata ia kepada Habil:"Aku
datang ke mari untuk membunuhmu. Masanya telah tiba untuk aku lenyapkan engkau
dari atas bumi ini."
"Apa salahku?"tanya Habil. Dengan asalan apakah engkau
hendak membunuhku?"
Qabil berkata:"Ialah kerana korbanmu diterima oleh Allah
sedangkan korbanku ditolak yang bererti bahawa engkau akan mengahwini adikku
Iqlima yang cantik dan molek itu dan aku harus mengahwini adikmu yang buruk dan
tidak mempunyai gaya yang menarik itu."
Habil berkata:"Adakah berdosa aku bahawa Allah telah
menerima korbanku dan menolak korbanmu?Tidakkah engkau telah bersetuju cara
penyelesaian yang diusulkan oleh ayah sebagaimana telah kami
laksanakan?Janganlah tergesa-gesa wahai saudaraku, mempertaruhkan hawa nafsu
dan ajakan syaitan! Kawallah perasaanmu dan fikirlah masak- masak akan akibat
perbuatanmu kelak! Ketahuilah bahawa Allah hanya menerima korban dari
orang-orang yang bertakwa yang menyerahkan dengan tulus ikhlas dari hati yang
suci dan niat yang murni.Adakah mungkin sesekali bahawa korban yang engkau
serahkan itu engkau pilihkannya dari gandummu yang telah rosak dan busuk dan
engkau berikan secara terpaksa bertentangan dengan kehendak hatimu, sehingga
ditolak oleh Allah, berlainan dengan kambing yang aku serahkan sebagai korban
yang sengaja aku pilihkan dari perternakanku yang paling sihat dan kucintai dan
ku serahkannya dengan tulus ikhlas disertai permohonan diterimanya oleh Allah.
Renungkanlah, wahai saudaraku kata-kataku ini dan buangkanlah
niat jahatmu yang telah dibisikkan kepadamu oleh Iblis itu, musuh yang telah
menyebabkan turunnya ayah dan ibu dari syurga dan ketahuilah bahawa jika engkau
tetap berkeras kepala hendak membunuhku, tidaklah akan aku angkat tanganku untuk
membalasmu kerana aku takut kepada Allah dan tidak akan melakukan sesuatu yang
tidak diredhainya.Aku hanya berserah diri kepada-Nya dan kepada apa yang akan
ditakdirkan bagi diriku."
Nasihat dan kata-kata mutiara Habil itu didengar oleh Qabil
namun masuk telinga kanan keluar telinga kiri dan sekali-kali tidak sampai
menyentuh lubuk hatinya yang penuh rasa dengki, dendam dan iri hati sehingga
tidak ada tempat lagi bagi rasa damai, cinta dan kasih sayang kepada saudara
sekandungnya. Qabil yang dikendalikan oleh Iblis tidak diberinya kesempatan
untuk menoleh kebelakang mempertimbangkan kembali tindakan jahat yang
dirancangkan terhadap saudaranya, bahkan bila api dendam dan dengkin didalam
dadanya mulai akan padam dikipasinya kembali oleh Iblis agar tetap menyala-yala
dan ketika Qabil bingung tidak tahu bagaimana ia harus membunuh Habil
saudaranya, menjelmalah Iblis dengan seekor burung yang dipukul kepalanya
dengan batu sampai mati. Contoh yang diberikan oleh Iblis itu diterapkannya
atas diri Habil di kala ia tidur dengan nyenyaknya dan jatuhlah Habil sebagai
korban keganasan saudara kandungnya sendiri dan sebagai korban pembunuhan
pertama dalam sejarah manusia
Penguburan Jenazah Habil
Qabil merasa gelisah dan bingung menghadapi mayat saudaranya.ia
tidak tahu apa yang harus diperbuat dengan tubuh saudaranya yang semakin lama
semakin busuk itu.Diletakkannyalah tubuh itu di sebuah peti yang dipikulnya
seraya mundar-mundir oleh Qabil dalam keadaan sedih melihat burung-burung
sedang berterbangan hendak menyerbu tubuh jenazah Habil yang sudah busuk itu.
Kebingungan dan kesedihan Qabil tidak berlangsung lama kerana
ditolong oleh suatu contoh yang diberikan oleh Tuhan kepadanya sebagaimana ia
harus menguburkan jenazah saudaranya itu.Allah s.w.t. Yang Maha Pengasih lagi
Maha Bijaksana, tidak rela melihat mayat hamba-Nya yang soleh dan tidak berdosa
itu tersia-sia demikian rupa, maka dipertunjukkanlah kepada Qabil, bagaimana
seekor burung gagak menggali tanah dengan kaki dan paruhnya, lalu menyodokkan
gagak lain yang sudah mati dalam pertarungan, ke dalam lubang yang telah
digalinya, dan menutupi kembali dengan tanah. Melihat contoh dan pengajaran
yang diberikan oleh burung gagak itu, termenunglah Qabil sejenak lalu berkata
pada dirinya sendiri:"Alangkah bodohnya aku, tidakkah aku dapat berbuat
seperti burung gagak itu dan mengikuti caranya menguburkan mayat saudaraku
ini?"
Kemudian kembalilah Adam dari perjalanan jauhnya.Ia tidak
melihat Habil di antara putera-puterinya yang sedang berkumpul.Bertanyalah ia
kepada Qabil:"Di manakah Habil berada?Aku tidak melihatnya sejak aku
pulang."
Qabil menjawab:"Entah, aku tidak tahu dia ke mana! Aku
bukan hamba Habil yang harus mengikutinya ke mana saja ia pergi."
Melihat sikap yang angkuh dan jawapan yang kasar dari Qabil, Adam
dapat meneka bahawa telah terjadi sesuatu ke atas diri Habil, puteranya yang
soleh, bertakwa dan berbakti terhadap kedua orang tuanya itu.Pada akhirnya
terbukti bahawa Habil telah mati dibunuh oleh Qabil sewaktu peninggalannya.Ia
sangat sesal di atas perbuatan Qabil yang kejam dan ganas itu di mana rasa
persaudaraan, ikatan darah dan hubungan keluarga diketepikan sekadar untuk
memenuhi hawa nafsu dan bisikan yang menyesatkan.
Menghadapi musibah itu, Nabi Adam hanya berpasrah kepada Allah
menerimanya sebagai takdir dan kehendak-Nya seraya mohon dikurniai kesabaran
dan keteguhan iman baginya dan kesedaran bertaubat dan beristighfar bagi
puteranya Qabil.
Kisah Qabil dan Habil Dalam Al-Quran
Dan bacakanlah (wahai Muhammad) kepada mereka kisah (mengenai) dua
orang anak Adam (Habil dan Qabil) yang berlaku dengan sebenarnya, iaitu
ketika mereka berdua mempersembahkan satu persembahan korban (untuk
mendampingkan diri kepada Allah). Lalu diterima korban salah seorang di
antaranya (Habil), dan tidak diterima (korban) dari yang lain (Qabil). Berkata
(Qabil):" Sesungguhnya aku akan membunuhmu!". (Habil) menjawab:
"Hanyasanya Allah menerima (korban) dari orang-orang yang bertaqwa; (Al-Maidah 5:27)
Maka nafsu jahat (Qabil) mendorongnya (sehingga ia tergamak)
membunuh saudaranya, lalu ia membunuhnya. Oleh itu menjadilah dia dari golongan
orang-orang yang rugi .(Al-Maidah 5:30)
Kemudian Allah hantarkan seekor burung gagak (menyuruhnya)
mengorek-ngorek di bumi supaya, diperlihatkan kepada (Qabil) bagaimana cara
menimbus mayat saudaranya. (Qabil) berkata: "Wahai celakanya aku! Alangkah
lemah serta bodohnya aku, aku tidak tahu berbuat seperti burung gagak ini,
supaya aku dapat menimbuskan mayat saudaraku?". Kerana itu menjadilah ia
dari golongan orang-orang yang menyesal. (Al-Maidah 5:31)
Pengajaran Dari Kisah Putera Nabi Adam a.s.
Bahawasanya Allah s.w.t. hanya menerima korban dari seseorang yang menyerahkannya dengan tulus dan ikhlas, tidak dicampuri dengan sifat riyak, takabur atau ingin dipuji.Barang atau binatang yang dikorbankan harus yang masih baik dan sempurna dan dikeluarkannya dari harta dan penghasilan yang halal.Jika korban itu berupa binatang sembelihan, harus yang sihat, tidak mengandungi penyakit atau pun cacat, dan jika berupa bahan makanan harus yang masih segar baik dan belum rusak atau busuk.
Bahawasanya penyelesaian jenazah manusia yang terbaik adalah
dengan cara penguburan sebagaimana telah diajarkan oleh Allah kepada
Qabil.itulah cara paling sesuai dengan martabat manusia sebagai makhluk yang dimuliakan
dan diberi kelebihan oleh Allah di atas makhluk-makhluk lainnya, menurut firman
Allah dalam surah "Al-Isra" ayat 70 yang bererti ; "Dan
sesungguhnya telah Kami muliakan anak-anak Adam.Kami angkut mereka di daratan
dan di lautan.Kami beri mereka rezeki dari yang baik-baik dan Kami lebihkan
mereka dengan kelebihan yang sempurna atas kebanyakan makhluk yang telah Kami
ciptakan."
No comments:
Post a Comment