Tulisan : Prof
Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin
Dicatat Oleh:
Bicara Marhaen | 16:11:22
| 22042012
Perbincangan ini menyambung artikel yang lepas tentang perlaksanaan
hudud. Ramai orang salah sangka apabila membayangkan negara yang dipimpin
berdasarkan al-Quran dan as-Sunnah itu sebagai negara yang agenda utamanya
mengintip dan menghukum rakyat yang tidak mematuhi syariat.
Gambaran negara yang islamik sebagai negara yang sibuk
mencari pesalah untuk dihukum dengan undang-undang hudud adalah gambaran yang
silap yang ada di fikiran sesetengah pihak yang kurang memahami Islam. Seperti
yang saya jelaskan sebelum ini, hudud hanya makanisme untuk mengatasi jenayah-jenayah
tertentu, bukan gambaran keseluruhan negara Islam, bahkan bukan hudud juga
undang-undang yang merangkumi semua jenayah.
Banyak lagi jenayah yang tidak tersenarai di bawah hudud.
Peratusan besar jenayah yang pelbagai, terutama di zaman ini berada di bawah takzir (discretionary punishment).
Makanisme ini pula memerlukan suasana yang kondusif untuk perlaksanaannya.
Seseorang muslim apabila berbicara tentang pemerintahan dan
tanggungjawab pemerintahan bukanlah membayangkan mekanisma mengatasi jenayah
semata, tetapi membayang tanggungjawab keadilan dan kebajikan yang menjadi asas
tersebarnya kebaikan dan keamanan dalam negara.
“Wahai Fatimah! Aku telah dikalungkan urusan umat Muhammad
ini yang berbagai bangsa. Maka aku terfikir tentang orang fakir yang lapar,
yang sakit lagi derita, orang yang tidak berpakaian yang susah, orang yang
dizalimi lagi dipaksa, tawanan perang yang jauh, orang tua yang uzur, orang
yang mempunyai keluarga yang ramai sedangkan hartanya sedikit dan seumpama
mereka yang berada di segala tempat dan penjuru negara. Aku tahu tuhanku akan
bertanya aku mengenai mereka pada hari kiamat kelak. Aku bimbang alasanku tidak
cukup kukuh untuk menjawabnya, lalu aku pun menangis” (Al-Zahabi, Tarikh
al-Islam wa Wafayat al-Masyahir wa al-A’lam, 7/197. Beirut: Dar al-Kitab
al-‘Arabi/1407H)
Demikianlah gambaran tanggungjawab pemerintahan yang ada
dalam pemikiran beliau. Tanggungjawab menyebarkan kebajikan, pembahagian harta
yang adil dan amanah serta kebaikan untuk rakyat di segenap lapisan masyarakat.
Tanggungjawab inilah yang beliau takut dan bimbang Allah hukum beliau di
akhirat kelak. Inilah asas kerahmatan dalam kepimpinan negara yang berdasarkan
wahyu Allah. Tanggungjawab pemerintah di hadapan Allah tentang kebajikan rakyat
lebih ditakuti dibandingkan di hadapan rakyat sendiri atau ‘suruhanjaya rasuah’.
Itulah gambaran negara yang sepatutnya berada dalam
pemikiran umat Islam yang cintakan Islam. Para sarjana Islam telah lama
memperkatakan hal ini. Muhammad bin Ka’ab al-Qurtubi apabila diminta oleh ‘Umar
bin Abd al-Aziz untuk menyifatkan keadilan pemerintah, katanya:
“Jadilah engkau bapa kepada yang muda, anak kepada yang tua,
saudara kepada yang sebaya. Demikian juga kepada wanita. Hukumlah manusia
dengan kadar kesalahan dan kemampuan mereka. Jangan engkau pukul disebabkan
kemarahanmu walaupun satu pukulan, nanti engkau termasuk dalam golongan yang
melampau”.( Ibn Muflih, Al-Adab al-Syar‘iyyah, 1/202. Beirut: Muassasah
ar-Risalah/1417H).
Membezakan Jenis Jenayah
Dalam hudud ada dua jenis dosa yang dihukum; pertama; dosa yang membabitkan
kesalahan individu dengan Allah S.W.T seperti berzina dan minum arak. Dosa
bahagian ini lebih kepada merosakkan diri pelaku itu sendiri. Kedua; dosa yang merosakkan atau
mengancam keselamatan masyarakat awam seperti merompak, merogol, mencuri,
memberontak dan perkara yang berkaitan dengannya.
Dosa bahagian pertama Islam melarang kita melakukan tajassus ataupun intipan. Sementara dosa
bahagian kedua, oleh kerana ia mengancam masyarakat dan fitnah lebih besar dari tajassus, maka intipan boleh dilakukan.
Ini seperti yang disebut oleh al-Imam al-Syaukani (meninggal 1250H):
“Aku katakan; jika hanya semata-mata sangkaan maka tidak
mencukupi dalam hal ini. Bahkan mestilah dengan pengetahuan, jika tidak ia
termasuk dalam tajassus yang dilarang berdasarkan dalil al-Quran. Namun
dibolehkan untuk suatu kemaslahatan yang mana membantah kemungkaran itu lebih
kukuh dibandingkan meninggalkan tajassus dan kerosakan meninggalkan bantahan
terhadap kemungkaran lebih dahsyat dari kerosakan tajassus. Atau mungkin boleh
digabungkan bahawa pengharaman tajassus berkaitan dengan tanpa pengetahuan
(sangkaan) kerana tidak dinamakan tajassus jika perlaksananya benar-benar
mengetahui”. (Al-Syaukani, Al-Sail al-Jarar, 4/591 Beirut: Dar al-Kutub
al-‘Ilmiyyah/1405H)
Hudud Dan Hak Privasi
Ramai akan menganggap, apabila hudud dilaksanakan bererti privacy individu akan terganggu.
Intipan di sana-sini akan dibuat untuk mencari orang yang berzina dan minum
arak. Ini diburukkan lagi dengan gambaran perlaksanaan sekarang yang dilakukan
oleh pihak penguatkuasa agama di sesetengah tempat apabila mereka seakan
memasang ‘spy’ dalam mencari pelaku maksiat peribadi. Hal ini amat
salah dan bercanggah dengan firman Allah dalam Surah al-Hujurat ayat 12:
(maksudnya)
“Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari
sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana
sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu
mengintip mencari-cari kesalahan orang..”
Dr Yusuf al-Qaradawi menyebut:
“Aku ingin agar diberikan perhatian tentang perkara yang
penting mengenai hudud; bahawa Islam tidak terkejar-kejar mencari bukti, tidak
mengintai untuk melaksanakan hukum ke atas pelaku kesalahan, tidak mencipta
alat untuk mencari rahsia pelaku maksiat atau memasang kamera tersembunyi
mengambil gambar ketika mereka melakukan jenayah. Tidak pula menguatkuasakan
polis pencari jenayah atau perisik untuk mengintip mereka yang menyanggahi
syarak sehingga ditanggap yang terbabit. Bahkan kita dapati panduan Islam dalam
hal ini tegas setegas-tegasnya dalam memelihara kehormatan peribadi manusia,
pengharaman tajassus (mengintip) dan mencari keaiban manusia. Tidak boleh
dilakukan oleh individu, tidak juga oleh pihak kerajaan”. (http://www.qaradawi.net/library/53/2534.html.)
Kemudian beliau mengemukakan dalil riwayat al-Hakim daripada
‘Abd ar-Rahman bin ‘Auf:
“Bahawa dia berkawal bersama Umar bin al-Khattab r.ahuma
pada suatu malam di Madinah. Ketika mereka sedang berjalan, tiba-tiba ternampak
nyalaan api di sebuah rumah. Mereka pun pergi menuju ke situ sehingga apabila
hampiri didapati pintunya berkunci, di dalamnya ada sekumpulan orang dengan
suara yang kuat. Lalu Umar r.a. berkata -sambil memegang tangan ‘Abd
ar-Rahman-: “Kau tahukah ini rumah siapa?”. Jawab: “Tidak”. Kata Umar: “Ini
rumah Rabi’ah bin Umayyah bin Kalaf, mereka sekarang sedang mabuk arak, apa
pendapat kau?”. Kata ‘Abd ar-Rahman: “Aku berpendapat kita sekarang telah
melakukan apa yang Allah larang, Allah berfirman: “Jangan kamu mengintip”. Kita
telah mengintip. Maka Umar pun pergi dan meninggalkan mereka”.( Riwayat
al-Hakim dalam al-Mustadrak, dinilai sahih serta sokong oleh al-Zahabi).
Akibat dari amalan yang salah memberikan gambaran yang salah
tentang hudud. Islam dalam urusan jenayah atau maksiat peribadi tidak
membongkar yang tertutup, sebaliknya hanya mencegah yang nyata dan zahir
sahaja. Seperti kata al-Imam al-Ghazali (meninggal 505H) :
“Hendaklah kemungkaran tersebut zahir (jelas) kepada ahli
hisbah (pencegahan) tanpa perlu melakukan intipan. Sesiapa yang menutup sesuatu
kemaksiatan di dalam rumahnya, dan mengunci pintunya maka tidak harus untuk
kita mengintipnya. Allah Ta’ala telah melarang hal ini” (Al-Ghazali, Ihya ‘Ulum
al-Din, 3/28, Beirut: Dar al-Khair/1990).
Membina Masyarakat Yang Pemaaf
Dalam perlaksanaan hudud, pemerintah hendaklah mendidik
rakyat agar mengelakkan sikap suka mengangkat kes hudud kepada pihak mahkamah
atau berkuasa. Sebaliknya, hendaklah digalakkan kemaafan antara rakyat dan
diselesaikan diluar mahkamah. Ini seperti hadis Nabi s.aw:
“Sesungguhnya pencuri pertama dalam Islam dibawa kepada Nabi
s.a.w lalu diperintahkan agar dipotong tangan. Wajah Rasulullah s.a.w seakan
kecewa sedih. Mereka berkata: “Wahai Rasulullah! Seakan engkau membenci hal
ini”. Jawab Nabi s.a.w: “Mengapa tidaknya aku benci, kamu semua telah menjadi
penolong syaitan menentang saudara kamu. Sesungguhnya tidak wajar bagi
pemerintah yang diangkat kepadanya hukuman had melainkan dilaksanakan”.
Lalu baginda membaca firman Allah: “Hendaklah kamu maafkan
dan lupakan kesalahan, tidakkah kamu suka supaya Allah mengampunkan dosa kamu?
(Surah an-Nur: 22)” (Riwayat Ahmad dan al-Hakim dalam al-Mustadrak. Dihasankan
oleh al-Albani dalam Silsilah al-Sahihah).
Keinginan sesetengah masyarakat awam yang tidak faham yang
seakan ‘mengidam’ untuk melihat tangan dipotong adalah tidak serasi
dengan inspirasi hudud bahkan itu menjadikan mereka ‘penolong
syaitan’.
Hudud Memerlukan Ijtihad Baru
Tiada siapa yang mukmin menafikan kewujudan nas-nas hudud
dalam al-Quran dan as-Sunnah. Cumanya, perincian hudud itu memerlukan ijtihad
yang mengambil kira soal perubahan zaman dan tempat. Umpamanya kadar barang
curian memerlukan ijtihad yang baru kerana fuhaqa sejak dahulu berbeza dalam
hal ini. Cara potongan; penggunaan alatan moden dan ubatan moden juga perlu
diambil perhatian atas sifat ihsan Islam dalam semua perkataan. Demikian juga
suasana masyarakat juga hendaklah diambil kira.
Demikian ruangan taubat dalam hudud juga hendaklah diluaskan
dengan memakai mazhab yang luas dalam hal ini. Mereka yang bertaubat sebelum
tangkapan patut digugurkan hukuman hudud dan boleh diganti dengantakzir (discretionary punishment).
No comments:
Post a Comment